Sunday 10 March 2013

FILIPINA TIDAK BERSAMA KIRAM: ZAHID



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
IPOH – Kerajaan Filipina telah mempertingkatkan kawalan di perairan Kepulauan Sulu bagi menghadapi perkembangan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata yang didakwa sebagai tentera Sultan Sulu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire T Gazmin yang menghubunginya baru-baru ini.

“Saya harap Jamalul Kiram sedar bahawa kerajaan Filipina tidak bersama dengan mereka dan Filipina turut menyatakan hubungan diplomatik mereka dengan Malaysia.

“Malah Filipina juga telah mengadakan operasi penyekatan daripada mana-mana penduduk daripada Kepulauan Sulu untuk menyeberang ke Sabah melalui angkatan tentera laut serta pengawal pantai negara berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Barisan Nasional (BN) dan Badan
Bukan Kerajaan (NGO) kawasan Gopeng di sini, hari ini.

Katanya, Malaysia menghargai tindakan Kerajaan Filipina bersama-sama dengan Kerajaan Malaysia, tentera dan polis bagi menghapuskan pengganas militan yang menceroboh Sabah.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Jamalul Kiram III, yang mengisytiharkan perjuangannya terhadap Malaysia adalah satu jihad, Ahmad Zahid menolak kenyataan jihad yang dikatakan Jamalul Kiram.

“Itu istlah dia tapi jihad apa kalau menggunakan anak-anak buah menceroboh negara orang, apa makna jihad kalau mereka mati dengan tidak ada penghormatan pun daripada pemimpin mereka.

“Saya telah melihat gambar mereka dicampakkan di lubang yang digali cuma dua kaki dan ditutup dengan papan serta pelepah kelapa sawit.

"Adakah itu jihad, jihad mesti kita hormati jenazah tetapi bukan dengan cara tidak menghormati jenazah ‘pejuang’ mereka yang telah meninggal,” katanya lagi.
Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment