Saturday 5 January 2013

MENJEJAKI TAMADUN TURKI


Kompleks Masjid Biru yang menjadi tarikan utama pelancong di Istanbul.

SEMBILAN hari tujuh malam, 3,200 kilometer, turun naik enam hotel dan berada pada suhu di bawah 12 darjah celcius. Menjerihkan, namun perjalanan yang mungkin berlaku sekali seumur hidup ini cukup berbaloi dan mengujakan dalam menjejaki sejarah tamadun Turki.

Mengunjur dari timur ke barat, setiap inci bumi Anatolia ini memiliki sejarah yang cukup panjang - seawal abad ke 10 sebelum zaman Roman dan Byzantine hingga kepada era kegemilangan Empayar Uthmaniyyah dan kemunculan Mustafa Kemal Ataturk yang membawa Turki kepada sebuah negara republik.

Setiap era meninggalkan banyak tinggalan dan kesan-kesan sejarah yang cukup berbaloi untuk diterokai.

Tinggalan kesemua era inilah yang cuba dijejaki dalam tempoh sembilan hari tujuh malam melalui Pakej Musim Sejuk yang dibawakan oleh oleh MAS Holidays.

Perjalanan bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penerbangan pesawat Malaysian Airline System (MAS) mengambil masa 10 jam.

Mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istanbul, peserta rombongan seramai 13 pelancong 'tegar' disambut oleh juru pandu pelancong tempatan, Ahmet Yandik.

Tidak melengah waktu, Ahmet memulakan 'penerokaan' ke sekitar kawasan Sultanahmet yang hanya kira-kira 45 minit perjalanan dari lapangan terbang.

Sultanahmet merupakan tumpuan tarikan pelancong di Istanbul kerana di sini terletaknya beberapa binaan penting termasuk Blue Mosque (Masjid Biru), Muzium Aya Sofya dan Istana Topkapi .

Menyusuri lorong sempit dengan kiri kanan bangunan lama yang merupakan 'wajah' sebenar Istanbul, masjid ini mempunyai sejarah yang cukup besar dalam menyaksikan perkembangan Islam di bumi Turki.

Masjid enam menara yang dikagumi dengan kecanggihan seni bina Islam oleh arkitek, Mehmet Aga, memulakan pembinaannya pada tahun 1609. Ia digelar Masjid Biru sempena penggunaan lebih 20,000 jubin biru Iznik.

Bersebelah Masjid Biru tersergam Aya Sofya atau Haghia Sophia, binaan yang berusia hampir 1,000 tahun.

Asalnya sebuah gereja yang dibina pada zaman Byzantine sebelum diubah fungsinya sebagai masjid ketika pemerintahan Empayar Uthmaniyyah sehingga tahun 1932 apabila kerajaan Kemal Ataturk memutuskan untuk mengubahnya sebagai muzium.

Kesan-kesan sebagai bekas tempat beribadat bagi dua agama iaitu Islam dan Kristian yang kekal hingga ke hari ini menjadikan Aya Sofya begitu unik.

Di pekarangan luar masjid beberapa tinggalan purba tersergam di Dataran Hippodrome (Hippodrome Square) yang menjadi pusat sukan dan politik zaman Constantinople hinggalah ke hari ini.

Tidak dapat berlama di sini, kerana kata Ahmet, perjalanan untuk ke destinasi seterusnya agak jauh iaitu menghala ke bahagian barat Turki, Bolu kira-kira 10 jam perjalanan dari Istanbul.

Lagipun kata Ahmet, penerokaan sebenar di Istanbul, yang merupakan bandar terbesar Turki dengan penduduk seramai 15 juta orang, hanya akan berlaku pada hari terakhir pengembaraan di bumi Anatolia ini.

Kawasan Sultanahmet ini juga terletaknya Grand Bazar (Bazar Besar) dan Pasar Rempah yang cukup popular bagi mendapatkan cenderamata berimejkan Turki.

Keletihan apatah lagi masih belum kebah daripada jet lag, rata-rata peserta rombongan mengambil kesempatan daripada perjalanan yang panjang dan sejuk itu untuk melelapkan mata sehingga bas berhenti Koru Hotel sebagai penginapan pertama.

Memulakan perjalanan hari kedua seawal 8 pagi dengan diselubungi kedinginan cuaca sejuk Bolu untuk bergerak ke ibu negara Turki, Ankara.

Perjalanan melewati kawasan bukit-bukau yang tandus membawa hingga ke tanah-pamah pertanian yang menjadi nadi ekonomi rakyat Turki.

Sayangnya musim sejuk bukan masa terbaik untuk melihat kehijauan tanaman kerana hampir keseluruhan telah habis dituai dan tanah dibiarkan kosong menanti kedatangan musim baru.

Menjelang tengahari destinasi yang dituju semakin hampir. Bandar Ankara merupakan kedua terbesar dengan penduduknya seramai 6 juta orang.

Sebagai bandar pentadbiran, Ankara lebih moden dan tersusun dengan bangunan-bangunan pencakar langit.

Tarikan utama di sini sudah tentunya kompleks makam Mustafa Kemal Ataturk, pemimpin yang disanjung rakyat Turki sebagai bapa pembangunan moden mereka.

"Kompleks ini dibina daripada marmar ini merupakan kunjungan wajib bagi setiap warga Turki daripada rakyat jelata hinggalah kepada pemimpin negara.

"Pelbagai acara negara juga diadakan di sini termasuk sambutan hari kebangsaan," katanya Ahmet
Dari Ankara perjalanan diteruskan ke Cappadocia, yang merupakan hentian terakhir pada hari kedua ini. Satu lagi perjalanan yang panjang namun ada sesuatu yang mengujakan menunggu di wilayah ini.

Namun keterujaan tersebut terpaksa ditangguhkan hingga keesokan harinya memandangkan hari yang semakin gelap.

Adrenalin meluncur deras seawal pukul 5 pagi, namun hanya beberapa orang daripada ahli rombongan saja berpeluang merasainya kerana yang lain lebih enak diulit mimpi.

" Menaiki belon panas melihat keindahan bumi Cappadocia dari udara merupakan pengalaman yang sukar diungkap dengan kata-kata," demikian kata Noorsaadah Mohd. Nordin, salah seorang peserta rombongan.

Pemandangan landskap yang cukup menakjubkan hasil daripada tindak balas hakisan angin dan air, bumi Cappadocia merupakan bukit batu daripada timbunan lava gunung berapi yang meletus beratus tahun dahulu.

Di lembah bukit-bukit batu ini jugalah terletaknya bandar bawah tanah yang merupakan penempatan terawal oleh pendatang dari timur Eropah ribuan tahun dahulu.

Menurut Ahmet, secara ringkasnya bandar bawah tanah merupakan jaluran terowong dibina dengan cara menebuk batu-batuan di bawah tanah.

Ia membentuk satu perkampungan atau penempatan dengan ruang-ruang yang berfungsi sebagai bilik tidur, dapur, tempat beribadat hingga kepada tempat pemprosesan wain dan kandang haiwan ternakan.
"Sebenarnya terdapat 36 bandar bawah tanah yang terkenal di sini antaranya, Kaymakli yang berusia ratusan tahun.

"Biarpun sudah tidak berpenghuni, ia dipelihara elok oleh kerajaan Turki sebagai tinggalan sejarah yang unik dan sebagai tarikan pelancong," katanya.

Menurut Ahmet, Kamyakli pertama kali dibuka kepada pelancong pada 1964 dan terdapat lebih 100 terowong bawah tahan yang bertingkat-tingkat.

Satu lagi tarikan di wilayah ini ialah Muzium Terbuka Goreme yang merupakan kompleks gereja yang dikatakan cukup bermakna bagi penganut Kristian, dibina sekitar abad ke 10 hingga ke 12.

Hari keempat meninggalkan Cappadocia dengan pelbagai kenangan menarik untuk memulakan satu lagi perjalanan yang panjang ke Pamukkale melewati bandar Konya.

Di bandar ini juga terletaknya Muzium Melvana yang dulunya merupakan pusat pengajian golongan sufi Turki.

Perjalanan diteruskan ke Pamukkale yang menjadi lokasi teres kolam air panas yang diiktiraf Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)

Teres berwarna putih dengan ketinggian lebih 100 meter dari lembah ia dikenali penduduk tempatan sebagai Cotton Castle (Istana Kapas) kerana batu putih hasil tindak balas bahan galian kalsium karbonat.
Meninggalkan keseronokan bermain air panas di Pamukkale, perjalanan diteruskan ke bandar purba terbesar di Turki daripada era Roman, Ephesus di Kusadasi.

Ahmet berkata, kerja-kerja menggali artifak dan membina semula runtuhan kota purba yang dipercayai dibina pada tahun 1000 (sebelum Masihi) ini telah bermula sejak 150 tahun lalu ketika kali pertama ia ditemui dan masih berterusan hingga hari ini.

Memulakan hari ke enam dengan meninggalkan Kusadasi untuk bergerak ke Cannakkale menjejaki dua lagi bandar bandar purba, Asclepion yang terkenal dengan kisah perubatannya dan kota Troy, yang terkenal dengan legenda tentera kuda kayu, Trojan.

Pelayaran Boshporus bagai penyudah yang cukup sempurna bagi penerokaan sembilan hari tujuh malam di bumi Turki.

Menyusuri selat Boshporus dengan feri, yang memisahkan benua Eropah dan Asia, pelayaran selama kira-kira 45 minit itu tidak harus dilepaskan.

Credit: SITI ZALEHA JORIMAI



No comments:

Post a Comment