Sunday 13 January 2013

MATI ITU NASIHAT TERBAIK



Apabila tiba masa kita melihat mereka yang hendak menanam kita .....Mengingati mati bukannya hendak mati cepat. Tetapi ia adalah persediaan.

Memikirkan kematian, membuatkan saya mendapat sesuatu. Bukankah mati itu boleh menjadi motivasi?

Ya. Motivasi untuk diri. Juga untuk hati. Oh kamu yang masih hidup, tidakkah kamu memerhati? 

Mengingati mati, menghargai kehidupan. Mati itu tidak mampu dijangka. Bila-bila masa sahaja diri boleh dipanggil pergi. Pagi, petang, siang, malam. Masa berjalan, memandu, tidur, hatta semasa membuang air. Tua, muda, tidak kenal usia. Bila-bila masa.

Alangkah indahnya bagi yang memahami seni dalam kematian. Halus dan tersembunyi.

Maka tidakkah orang yang memahami perkara ini, akan menghargai hari yang sedang dilalui?

Sesiapa yang memahami hakikat kematian, dan menyedari akan seni kematian yang sebenar, dia akan bermati-matian berusaha dalam kehidupannya. Siapakah yang mengahayati kematian, kemudian dia bermain-main dalam kehidupannya?

Hidup itu dua kali. Mati hanya sekali sahaja. Dan hidup yang kali kedua itu, diputuskan keadaanya dengan apa yang telah kita lakukan pada kehidupan yang sebelum melangkah pintu kematian. Kamu yang masih hidup, tidakkah kamu memikirkan?

Sungguh, kematian adalah satu motivasi yang hebat.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.

Credit: Sadaufm.blogspot

No comments:

Post a Comment