Wednesday 9 January 2013

Mahu berubah atau rebah



Susah hendak masuk gear satu dalam membina azam untuk 2013? Situasi berlaku, apabila kita menekan azam untuk ke hadapan mengapa ada tarikh untuk kita menukar kepada gear mengundur?

Apabila bos atau tauke menerangkan sesuatu  perubahan yang akan dilakukan oleh pihak pengurusan dalam sesebuah organisasi, ada banyak persepsi positif dan negatif yang muncul. 

Realitinya tidak semua perubahan yang dilakukan itu akan disenangi oleh semua pekerja. Situasi yang muncul ialah, ada yang menerima, ada menentang dan ada yang berada di tengah-tengah.

Dalam tiga persimpangan ini di manakah kita patut berada? Jika kita berfikir logik, keuntungan tinggi yang tercapai, akan kembali semula kepada pekerja dalam bentuk gaji, bonus dan insentif lain. Namun jika organisasi mengalami kerugian pekerja itu juga akan menanggung rugi.

“Saya tidak yakin syarikat akan telus. Jika untung sekalipun mereka tetap akan kata rugi.” Kata-kata ini adalah fakta yang menunjukkan pekerja itu sendiri sudah rugi berada dalam sesebuah organisasi. Beliau rugi produktiviti.

Atau mungkin ada pekerja yang berkata begini, “ya saya yakin syarikat akan untung. Saya harus bekerja lebih kuat untuk mendapat sebahagian daripada keuntungan ini melalui kenaikan gaji, bonus dan insentif lain.”

Mengikut arus yang ditentukan oleh organisasi bukan bererti kita menjadi “yes man”. Kita mahu memberi kerjasama dan menyokong perubahan yang dibawa bagi tujuan mempertingkatkan kualiti dan produktiviti organisasi. Ini sekali gus menaikkan nama dan imej organisasi serta jaminan masa depan pekerjaan kita.

Orang yang memiliki sifat-sifat positif seperti rajin, sabar, tenang, bersemangat, baik sangka, pemaaf, jujur dan ikhlas akan mendapat hasilnya sekiranya terus mengekalkan sifat berkenaan. Akan kekal dalam industri, merupakan jaminan penting dalam situasi kesukaran mendapat pekerjaan seperti sekarang.

Manakala menjadi pekerja yang ‘anti-establishment’ mungkin akan menyebabkan kita ketinggalan dalam kerjaya. Mempunyai sifat-sifat negatif seperti emosi, panas baran, cepat melenting dan mudah diprovokasi akan menjadi agen yang menarik kita ke arah rugi.

“Aku tak berani, belum bersedia untuk berubah.” Apabila kita menghadapi orang sebegini, sebenarnya tugas kita amat mudah. Kita masih ada masa untuk mengubah beliau. Kita masih ada harapan untuk menyelamatkannya.

Namun apabila menghadapi mereka yang berkata, “buat apa berubah? Kita bekerja kuat macam mana sekalipun, tauke yang akan kaya. Kita tetap dengan gaji kita, ada kenaikan tapi sedikit. Ada bonus tapi tidak cukup. Padahal kita boleh dapat lebih…”

Apa yang jelas ialah setiap kali apabila kita mahu berubah pasti ada sahaja halangan menunggu. Hanya mereka yang cekal dan tidak mengenal putus asa sahaja boleh melakukan dan mengekal perubahan tersebut.

Bukan mudah untuk mengekalkan semangat yang tinggi. Kadang-kala rakan sekeliling akan menarik kita ke belakang. Mereka tidak memberi dorongan dan lebih daripada itu akan menyuruh kita melakukan cara lain untuk jalan pintas.

Sekiranya berhadapan dengan semangat begini, beritahu pada diri anda sekiranya anda malas untuk mencari rezeki ramai orang lain di rumah seperti ibu bapa, isteri atau suami dan anak-anak yang akan menanggung rugi.

Untuk mengekalkan momentum dan sentiasa pada gear satu, anda perlu mencari punca yang menyebabkan semangat itu tidak luntur tetapi tetap membara.

Contohnya jika anda sedang berusaha untuk merubah diri daripada seorang pemalas kepada rajin. Anda boleh menjadikan peribadi orang yang telah berjaya sebagai punca yang menyebabkan anda terus bersemangat untuk berubah.

Sentiasalah meletak tangan pada gear untuk ke hadapan. Jangan langsung menoleh pada gear mengundur.


Credit: Sri Diah

No comments:

Post a Comment