Friday 4 January 2013

Hubungan anak, ibu bukan Islam tak putus


Daripada Asma binti Abu Bakar as-Siddiq, katanya, ibuku telah datang ke tempatku sedang dia masih dalam syirik pada masa hayat Rasulullah SAW. Lalu aku pergi meminta fatwa kepada Rasulullah: Aku berkata kepadanya, ibuku telah datang kepadaku sedangkan dia inginkan sesuatu daripadaku (untuk meminta sesuatu) bolehkah aku menghubunginya? Jawab Rasulullah, Ya, hubungkan ibumu. (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Islam menyuruh umatnya supaya menghubungi ibu walaupun ibu itu bukan seorang Islam kerana hubungan anak dengan ibu walaupun berlainan agama dan kepercayaan tidak terputus. 
Islam sangat mengambil berat dalam soal menjaga hati ibu dan ibu ialah orang pertama yang wajib dihubungi serta diberi perhatian. 


Daripada Abdullah bin Amru al-As, katanya: Seorang lelaki mengadap Rasulullah lalu berkata: Aku mengikat janji dengan engkau untuk turut serta berhijrah dan berjuang (jihad) untuk menuntut ganjaran pahala daripada Allah Taala. Rasulullah bertanya: Adakah salah seorang orang tuamu masih hidup? Jawabnya: Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup. Rasulullah bertanya lagi: Engkau mahukah menuntut pahala daripada Allah Taala? Jawabnya: Ya. Kata Rasulullah:

Pulanglah kepada kedua-dua ibu bapamu dan berbuat baiklah (berbaktilah) kepada kedua-duanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Walaupun hijrah itu wajib tetapi apabila bertembung dengan kewajipannya terhadap ibu bapa maka diutamakan kewajipan terhadap ibu bapa jika agama dapat dipelihara (dilaksanakan perintahnya) di sisi mereka. 

Dan jika tidak maka wajiblah berhijrah dengan meninggalkan mereka untuk menyelamatkan agama seperti yang dilakukan oleh sahabat (muhajirin).

No comments:

Post a Comment