Saturday 12 January 2013

PENGLIBATAN IBU BAPA DALAMPEMBELAJARAN ANAK


Perspektif IKIM: Ibu bapa mesti terbabit dalam proses pembelajaran

Bab tujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Negara Malaysia (2013-2025) bertujuan menggalakkan pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak dengan hasrat akhirnya, akan akan berubah daripada pendidikan berasaskan sekolah kepada suatu sistem yang mengupayakan pembabitan ibu bapa. 

Ibu bapa diharapkan dapat menjadi rakan dalam pendidikan yang akan memastikan pelajar mendapat pendidikan bermutu tinggi. Bagi meningkatkan peranan ibu bapa, usaha berbentuk kesedaran akan dilaksanakan supaya ibu bapa memahami peranan mereka dalam pendidikan anak. 
Usaha pembaharuan pendidikan negara dengan pengupayaan pembabitan ibu bapa satu berita yang disambut baik. Namun, usaha ini juga apabila difikir lebih lanjut menimbulkan persoalan yang mencabar. 


Pertama, adakah selama ini ibu bapa di Malaysia tidak memahami peranan mereka dalam pendidikan anak sehingga satu pelan diperlukan untuk menarik ibu bapa kembali ke sekolah, adakah setakat ini tahap pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak amat rendah? 

Adakah ibu bapa sedar sekolah memerlukan kerjasama untuk membentuk anak berada atau adakah selama ini ibu bapa beranggapan tanggungjawab mendidik anak adalah tugas guru semata-mata? 

Jelas sekali, ramai ibu bapa yang salah faham dan terlupa peranan mereka dalam pendidikan anak. Ada yang secara sedar atau tidak telah meletakkan tanggungjawab pendidikan anak kepada pihak sekolah semata-mata. Ini tidak sepatutnya berlaku. 

Sekurang-kurangnya, dalam konteks pandangan hidup Islam, individu utama yang seharusnya memainkan peranan dalam pendidikan anak ialah ibu bapa, diikuti guru dan kemudian barulah ahli masyarakat keseluruhannya. 
Namun, aturan kepentingan ini semakin goyah mungkin disebabkan kelalaian ibu bapa. Hadis Rasulullah SAW sebenarnya sudah memberi panduan jelas kaedah mendidik anak yang boleh dicontohi ibu bapa. 

Selain pengabaian, kemungkinan ada ibu bapa yang tidak pasti cara untuk terbabit dalam proses pendidikan anak di sekolah. Selain itu, mungkin juga timbul rasa tidak yakin terhadap sumbangan yang boleh dihulurkan dalam proses pendidikan itu. 

Tidak tahu dan tidak yakin ini akan memberi kesan dalam usaha membabitkan ibu bapa dalam proses pendidikan anak. Bagi mengatasi masalah ini, ilmu pengetahuan sememangnya penting selain sikap keterbukaan serta kreativiti ibu bapa. 

Mungkin ada ibu berstatus suri rumah tangga beranggapan tidak ada apa yang boleh disumbangkan dalam proses pendidikan anak di sekolah. Hakikatnya, banyak yang boleh diajar ibu kepada anak-anaknya. 

Khususnya dalam membimbing mereka mengenai kelangsungan hidup dengan membiasakan melakukan kerja rumah, cara bergaul dengan golongan dewasa melalui komunikasi bersama dan perkara asas yang sepatutnya diketahui anak. 

Kemahiran ibu sebagai suri rumah boleh dikongsi dengan anak dan dimanfaatkan mereka apabila dewasa kelak. Pembelajaran tidak terhad kepada aktiviti di sekolah saja kerana anak-anak turut menimba ilmu ketika mereka berada di rumah. 

Memang ilmu asas yang dididik guru di sekolah seperti membaca, menulis, ilmu sains, matematik, bahasa itu penting namun, dalam menjalani hidup bermasyarakat, anak juga perlu didedahkan dengan adab berjiran, menghormati orang lain serta memelihara adab sopan. 

Pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak secara langsung memang penting, bermakna mereka perlu tahu semua keperluan serta proses pembelajaran. Ini hanya akan diperoleh apabila mereka menjalinkan hubungan baik dengan guru dan pihak sekolah.
Credit: Azrina Sobian

No comments:

Post a Comment