Friday 4 January 2013

Mangsa gempa masih melarat




SEMENTARA menunggu program pembangunan semula yang tidak nampak hujung pangkalnya, ramai mangsa gempa hidup 
melarat di tapak-tapak setinggan.


RAKYAT Haiti dilihat membanjiri gereja pada pertengahan Disember lalu. Mereka hadir ke situ bagi memperingati ulang tahun kedua bencana gempa bumi yang telah membunuh kira-kira 250,000 orang di negara paling miskin di benua Amerika itu.
Tinggalan sisa istana presiden dan gereja yang rosak teruk menjadi lambang kegagalan bantuan antarabangsa yang tidak pernah mencapai tujuannya.
Di sebalik runtuhan Gereja Our Lady of the Assumption selepas gegaran sekuat tujuh magnitud, Jean Wilber, 40, bersama ibunya menetap di kem sementara yang didirikan di situ.
"Saya telah berada di sini selama dua tahun dan sukar bagi saya untuk berpindah dari tempat ini yang menjadi saksi kehilangan dua kaki saya," kata Wilber yang mengakui memang sukar untuk meneruskan hidup.
Kemusnahan
Berdasarkan fakta yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ratusan ribu orang telah dipindahkan dari khemah pada tahun 2011 dan sebanyak 1.1 juta kanak-kanak kini menerima bantuan makanan setiap hari. Malangnya, kerja-kerja pembinaan semula negara tersebut amat perlahan.
Bencana yang berlaku pada 12 Januari 2012 itu telah membunuh dan mencederakan satu per enam daripada seluruh populasi negara Caribbean tersebut. Sekurang-kurangnya 250,000 kediaman di ibu kota telah musnah.
Haiti dikenali sebagai negara miskin di Hemisfera Barat yang sering diperintah oleh golongan elit yang mengamalkan rasuah. Kira-kira 80 peratus daripada penduduknya hidup daif di bawah garis kemiskinan.
Lebih setengah juta penduduk yang hilang harta benda akibat gempa tersebut ditempatkan di kem sementara sekitar ibu kota. Mereka juga berhadapan dengan wabak taun yang telah membunuh hampir 7,000 orang sejak November 2010.
Kebanyakan penduduk negara tersebut terdiri daripada penganut Roman Katolik dan tempat-tempat beribadah menawarkan khidmat memperingati bencana tersebut sepanjang hari serta membuka pintu kepada mangsa terselamat yang masih trauma dengan kejadian tersebut.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban termasuk 100 pegawainya dan menggesa bantuan antarabangsa supaya terus menyalurkan bantuan bagi membina semula negara tersebut dua tahun selepas bencana.

SEORANG wanita terlalu hiba apabila melihat kembali tapak rumahnya yang telah musnah dua tahun lalu.


"Walaupun banyak yang telah dilaksanakan termasuk membersihkan sisa runtuhan bangunan dan penempatan semula mangsa, namun masih ramai rakyat Haiti yang memerlukan bantuan antarabangsa," ujar Ki-Moon.
Wakil Khas PBB ke Haiti, Michaelle Jean berkata, pengabaian telah menyumbang kepada peningkatan angka kematian. Dia juga menegaskan bahawa ketiadaan undang-undang dan peraturan untuk menyeragamkan kerja-kerja pembinaan kini menjadi punca runtuhan bangunan.
Janji bantuan
Terkejut dengan kesan yang ditinggalkan selepas bencana paling buruk abad ini, komuniti antarabangsa menjanjikan wang bantuan berjumlah berbilion dolar untuk pembinaan semula negara yang lebih baik.
Buktinya, terdapat ura-ura yang menyatakan sejumlah AS$3 juta (RM9.18 juta) diperuntukkan di bawah pelan pembangunan semula yang akan diketuai oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Bill Clinton, namun ia hanya tinggal angan-angan.
Kurang separuh daripada AS$4.59 bilion (RM14 bilion) yang diperuntukkan telah diterima dan diagih manakala tabung bantuan agensi-agensi juga mengalami kekurangan dana.
Lebih daripada 50 peratus runtuhan akibat gempa telah dibersihkan, namun hanya sedikit yang telah dibaiki.
Kebanyakan daripada ratusan ribu mangsa yang meninggalkan Port-au-Prince selepas gempa telah kembali semula ke ibu kota yang sesak itu kerana terdesak untuk mencari kerja dan makanan. Ironinya, negara tersebut terus kekurangan peluang pekerjaan.
Bekas penghibur karnival dan penyanyi pop, Michel Martelly mengangkat sumpah sebagai Presiden Haiti yang baharu pada Mei lalu. Dia berjanji akan membawa perubahan yang sangat diperlukan oleh negara tersebut.
Ternyata, Martelly berhadapan dengan ahli parlimen yang kebanyakannya adalah musuh politik beliau, hinggakan tempoh masa selama lima bulan diperlukan untuk melantik seorang Perdana Menteri.
Credit: Utusan/ AFP

No comments:

Post a Comment