Friday 4 January 2013

Malaysia ke arah digital 10 tahun lagi



KEMAJUAN ICT mungkin turut mengubah landskap pembacaan di Malaysia dalam 10 tahun lagi.


KEPESATAN Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ditambah pula dengan keghairahan majoriti masyarakat mendapatkan informasi terkini di hujung jari membuatkan dua naskhah hebat seperti ensiklopedia Britannica dan majalah berita mingguan kedua terbesar di Amerika Syarikat, Newsweek ditinggalkan pembacanya.
Kemerosotan pembaca menyebabkan dua naskhah yang pernah meniti zaman kegemilangan tersebut akur dan terpaksa keluar daripada 'kepompong' konvensional sekali gus membuka lembaran baharu mendekati pembaca melalui pendekatan digital.
Persoalannya, adakah nasib serupa akan menimpa majalah-majalah dan akhbar-akhbar di Malaysia?
Pensyarah Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Faridah Ibrahim tidak menafikan bahawa senario tersebut akan berlaku di Malaysia.
"Ya, kita akan mengalami nasib yang sama memandangkan generasi Y semakin ramai. Semua sedia maklum bahawa generasi baharu ini tidak gemar membaca akhbar kerana lebih cenderung mendapatkan segala informasi melalui media baharu," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sungguhpun begitu katanya, perubahan berlaku daripada segi saluran komunikasi sahaja kerana pengisiannya tetap sama.
Bezanya, generasi Y lebih suka menggunakan medium saluran yang lebih mudah dan pantas kerana ia menjimatkan masa dan wang.
Ujarnya, walaupun berubah dari segi saluran, profesionalisme wartawan tetap sama, cuma mereka perlu lebih kreatif dan agresif mencari bahan-bahan berita untuk memikat selera generasi baharu.
"Usia generasi Y kini dalam lingkungan 35 tahun dan generasi lama pula dalam lingkungan umur 60 tahun. Dalam beberapa tahun mendatang bilangan generasi lama ini semakin merosot membuatkan generasi Y lebih dominan.
"Kemungkinan dalam tempoh 10 tahun lagi majalah dan akhbar-akhbar di Malaysia mengalami nasib yang sama dan akan menemui pembaca dalam format digital," ujarnya sambil memberitahu media cetak lebih sinonim dan lebih dekat dengan 'orang lama'.
Credit: Kosmo

No comments:

Post a Comment