Thursday 10 January 2013

Lepas bedah baru tahu tiada kanser


Singapura: Seorang ahli perniagaan terkenal Malaysia menjalani pembedahan di republik ini kerana disyaki menghidap kanser, tetapi kemudian mendapati dia tidak menghidap penyakit itu.
Dia kini menyaman Pusat Kanser Nasional Singapura (NCC) dan konsultan kanan di pusat itu kerana kerugian dialami.
Datuk Seri Hii Chii Kok, 54, yang menetap di Kuala Lumpur, semalam mendakwa, pusat terbabit gagal memberikan nasihat sewajarnya, tidak memberi pertimbangan terhadap keputusan pelbagai ujian lain dan gagal memaklumkan kepadanya mengenai penyakit itu. 
Kedua-dua defendan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan dalam dokumen mahkamah yang difailkan, mereka tidak pernah memberitahu Hii yang dia menghidap kanser pankreas. 
Mereka menegaskan terdapat pelbagai pendapat pakar lain menunjukkan bahawa dalam kesnya, kanser tidak dapat dielakkan dan pembedahan adalah disyorkan.
Hii adalah Pengarah Urusan syarikat senaraian awam di Kuala Lumpur, Kumpulan Universiti SEGi dan Pengerusi Eksekutif syarikat pelaburan persendirian, Kumpulan HCK Capital.
Pada Jun 2010 selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Malaysia, Hii dirujuk ke NCC, di mana dia dinasihatkan menjalani rawatan imbasan bagi memastikan ‘bintik panas’ atau ketumbuhan berkanser.

Ujian itu menunjukkan terdapat beberapa bintik panas dalam pankreasnya. Dia dinasihatkan agar menjalani Prosedur Whipple - pembedahan untuk mengasing, atau membuang bahagian dalam pankreas, duodenum dan sebahagian perutnya. Selepas pembedahan Ogos 2010, bahagian pankreas yang dipotong itu didapati tiada sel kanser. Dia dibenarkan keluar hospital 10 hari kemudian.
Hii mendakwa ujian lain dilakukan NCC, termasuk ujian darah dan air kencing, semuanya menunjukkan keputusan normal, tetapi NCC tidak memaklumkan kepadanya mengenai keputusan itu atau kepentingannya.

Dia kemudian kembali ke NCC pada September 2010 untuk kajian semula dan diberitahu dia semakin pulih. Namun, kira-kira dua minggu kemudian di Kuala Lumpur, dia muntah darah dan tidak sihat. Ini menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan di Kuala Lumpur. 
Credit: HM/Straits Times

No comments:

Post a Comment