Monday 14 January 2013

Kasanova Facebook Kecundang


Georgetown: Seorang lelaki kasanova yang mencari mangsa melalui laman sosial Facebook hingga menyebabkan kerugian bernilai RM500,000 ditahan polis di Bukit Gambir, di sini, 4 Januari lalu. 

Hasil pemeriksaan, polis merampas lima surat pajak gadai, tiga telefon bimbit, empat slip transaksi bank, tiga kad ATM, dua komputer riba, kereta Naza Citra dan PERODUA Viva yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu. 
Turut dirampas, dua plastik mengandungi barang kemas bernilai RM27,880 dan enam kertas cetakan komputer mengandungi sembilan rekod gadaian barang kemas. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik, berkata lelaki itu menipu wanita berbangsa India berusia 25 hingga 40 tahun dalam laman Facebook menggunakan pelbagai nama seperti Shiva Nair, Dr Ragunathan Nair, Ragu dan Keeran Raj. 

Perdaya mangsa 

Katanya, suspek berkenalan dengan mangsa untuk dijadikan teman wanita dan meyakinkan mereka dengan berjanji untuk bertunang seterusnya berkahwin, sebelum memperdaya mangsa dengan alasan kesempitan wang serta meminta mangsa memberikan wang tunai atau membuat pinjaman wang di bank. 

“Suspek yang aktif menipu sejak 2001 dipercayai terbabit dalam kes di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang dan Johor,” katanya di sini, semalam.

 
Roslee berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia 45 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah yang turut membabitkan penipuan wang dan barang kemas. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Roslee turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melayari laman sosial seperti Facebook dan tidak mudah terpengaruh dengan individu yang berkemungkinan menyamar sebagai doktor tanpa mengetahui butir peribadi lengkap.

No comments:

Post a Comment