Friday 4 January 2013

JENAYAH KAWASAN PERUMAHAN MENURUN


Ayub (empat dari kanan) berbincang dengan penduduk Taman Segar, Cheras ketika meninjau di kawasan berkenaan, semalam. - Foto Salhani IbrahimAyub (empat dari kanan) berbincang dengan penduduk Taman Segar, Cheras ketika meninjau di kawasan berkenaan, semalam. - Foto Salhani Ibrahim
Kuala Lumpur: Kes jenayah di kawasan perumahan mencatatkan penurunan sejak Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dilancarkan pada 19 Disember lalu bagi mengawasi keselamatan masyarakat dan penduduk setempat.

Berdasarkan kajian fasa pertama dua minggu sebelum dan selepas pelancaran URB oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Bandar Kinrara, di sini, kes jenayah curi, pecah rumah dan samun dilaporkan menurun berbanding sebelum ini. 
Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob, berkata penurunan kes jenayah itu disumbangkan oleh rondaan bermotosikal 24 jam setiap hari bagi mengawasi sebarang kejadian tidak diingini di kawasan perumahan. 


Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan kajian sebelum mendapatkan maklum balas keberkesanan URB untuk diperluaskan ke seluruh negara bagi mencapai hasrat kerajaan untuk melihat negara ini bebas jenayah menjelang 2020.

Beliau berkata, setakat ini 560 anggota URB ditempatkan di taman perumahan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang, manakala baki 440 lagi motosikal memulakan tugas rondaan mereka menjelang Mac akan datang.

Pada peringkat permulaan, setiap anggota URB akan menyesuaikan diri dengan setiap komuniti masyarakat di kawasan penugasan mereka bagi mengeratkan kerjasama antara PDRM dan masyarakat, selain dapat berkongsi maklumat, katanya ketika meninjau tugasan URB, di Taman Segar, Cheras, petang semalam.

Ayub berkata, PDRM turut mempunyai perancangan untuk melengkapkan motosikal digunakan URB dengan sistem teknologi terkini seperti alat perhubungan telekomunikasi terkini dan kamera litar bagi merakam situasi semasa rondaan dibuat. 
Melalui penggunaan peralatan berteknologi tinggi ini juga PDRM dapat memantau keadaan semasa di kawasan kediaman bagi membolehkan perancangan susulan bagi menambahbaik keselamatan dan ketenteraman awam, katanya.

No comments:

Post a Comment