Friday 11 January 2013

‘Belum mati sudah sengsara’


Foto
DUA beradik menceritakan pengalaman memakai susuk.

“Belum mati lagi sudah sengsara, apatah lagi selepas mati. Itulah akibat diterima sesiapa yang memakai susuk,” kata Pengamal Perubatan Islam, Pusat Rawatan Pakar dan Terapi al-Quran Darul Hikmah Abdul Malek Ladzim al-Azhari.
Menurutnya, Islam melarang umatnya memakai susuk kerana amalan itu menyebabkan pengamalnya mempercayai jin atau makhluk lain selain Allah dan perbuatan menduakan Allah adalah syirik serta berdosa besar. Abdul Malek berkata, pemakai susuk bukan saja berdepan situasi paling menyeksakan kerana terpaksa melalui pelbagai prosedur menyakitkan ketika memasukkan susuk, tetapi perlu mematuhi proses pantang larang.
“Apabila si pemakai sudah membuat perjanjian dengan jin, pantang larang pula bergantung kepada pengamal perubatan. Ada yang tidak boleh melangkah telur, tidak boleh terkena air hujan yang jatuh dari atap rumbia dan sebagainya.
“Bagi mendapatkan kesan yang cepat dan baik, lebih dari seekor jin dimasukkan ke dalam anggota si pemakai,” katanya ketika dihubungi mengulas mengenai pemakaian susuk.
Menurutnya, jin yang digunakan untuk menyerap ke dalam tubuh sebagai ‘pendinding diri’ akan mengganggu hidup pengamalnya sekiranya tidak melayan kehendak serta amalan pelik diperturunkan sejak sekian lama.
pix_topright
Di Kuala Lumpur selepas lebih 15 tahun, baru dua beradik perempuan menyedari tindakan ibu memakaikan mereka susuk sejak berusia belasan tahun bagi mengekalkan kecantikan dan memikat sesiapa memandang, adalah perbuatan syirik dan bertentangan ajaran Islam.
Hanya mahu dikenali sebagai Lisa, 30, wanita berdarah kacukan Melayu dan Cina itu berkata, dia dan kakaknya, Lorina, 35, mendapat kesedaran selepas dimaklumkan rakan dan bersyukur kerana selepas berkahwin, suami membantu mereka membuang amalan itu.
Menurut Lisa, amalan memakai susuk ibarat tradisi dalam keluarga dan kekurangan pengetahuan dalam agama menyebabkan mereka menganggap ia perkara biasa serta tidak menyalahi syariat Islam.

“Ibu beragama Islam dan ayah pula saudara baru memeluk Islam kerana mahu berkahwin dengan ibu. Jadi pengetahuan kami dalam Islam memang amat terbatas.
“Selain saya dan kakak, ibu, empat sepupu, tiga ibu saudara dan nenek kami turut memakai susuk. Ia bagai amalan tradisi dalam keluarga dan saya serta kakak dibawa ibu berjumpa seorang bomoh untuk memasukkan susuk sebaik saja kami akil baligh,” katanya.


Credit: Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor dan Mohd Hafizee Mohd Arop/H Metro

1 comment:

  1. Tak payah susuk pun boleh cantik.....bersihkan hati.....cahaya kebersihannya akan terpancar pada wajah.....kan bersih itu menyenanglan... Cantiklah tu.....Allah kan suka yang cantik dan bersih......

    ReplyDelete