Friday 4 January 2013

Australia larang warganya sertai perang Syria



Sydney: Warga Australia yang mengambil bahagian dalam perang di Syria boleh dihukum penjara 20 tahun. 

Jurucakap Menteri Luar, Bob Carr, memberi amaran itu selepas seorang lelaki dari Melbourne dilaporkan terbunuh dalam konflik berkenaan. 


Australia sedar dengan laporan bahawa lebih 100 warga negaranya menyertai konflik itu sejak tahun lalu tetapi tidak ada bukti mengenainya ketika ini, kata jurucakap itu. 

 

Di bawah Akta Jenayah (Pencerobohan Asing dan Merekrut) 1978: Seseorang tidak boleh masuk ke negara asing dengan niat terbabit dalam kegiatan bersenjata atau terbabit dalam kegiatan bersenjata. 

Hukumannya ialah 20 tahun penjara. Sesiapa juga di Australia yang merekrut orang lain untuk berperang di negara asing boleh dipenjara tujuh tahun, kata jurucakap itu lagi. 
 

Sekurang-kurangnya tiga warga Australia dilaporkan maut di Syria termasuk seorang buruh dikenali sebagai Abu al-Walid al-Australi yang terbunuh minggu lalu selepas menyertai pemberontak di medan perang. 

Pengasas Majlis Arab Australia, Joseph Wakim berkata ramai orang yang pergi ke Syria mendakwa mereka memberi bantuan kemanusiaan di negara itu tetapi sebenarnya terbabit dalam perang. 
Saya percaya, kebanyakan mereka melakukannya kerana ia keputusan peribadi dan bukan untuk mendapat untung, katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC). 

 

Beliau juga menggesa pihak berkuasa meningkatkan pemeriksaan terhadap orang yang mahu ke sana. 

Tetapi, Carr berkata, sukar untuk mengikuti pergerakan seseorang di Syria. 
Negara itu hampir musnah dan komunikasi dalamannya amat teruk, katanya kepada ABC. 

 

Kami tahu, perang adalah antara militia dan militia tempatan menguasai sebahagian kawasan negara itu tetapi kami tiada keupayaan mengetahui kegiatan warga Australia di sana, katanya lagi. 

Credit:  AFP/BH

No comments:

Post a Comment