Sunday 13 January 2013

46 maut tanah runtuh di China



PEKERJA penyelamat menggali timbunan lumpur selepas tanah runtuh melanda Kampung Gaopo di daerah Zhenxiong, dalam wilayah Yunnan kelmarin.


BEIJING - Usaha mencari tiga orang yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di barat daya China berakhir semalam apabila mayat mereka dikeluarkan dari dalam lumpur dengan angka kematian keseluruhan bencana berkenaan kini 46 orang, kebanyakannya kanak-kanak.
Pihak berkuasa Wilayah Yunnan memberitahu, mayat tiga mangsa terakhir itu ditemui pagi semalam selepas 1,000 pekerja penyelamat melancarkan usaha mencari selama semalaman di Kampung Gaopo.
Agensi berita Xinhua melaporkan, mereka yang tertimbus dalam tanah runtuh tersebut termasuk 27 orang dewasa dan 19 kanak-kanak.
Menurut agensi berita tersebut, dua lagi mangsa dimasukkan ke hospital selepas bencana itu menimpa pagi kelmarin dengan menyebabkan 16 kediaman tertimbus,
Usaha mencari dan menyelamat segera dikerahkan dengan disertai sejumlah anggota tentera, polis, bomba dan pekerja penyelamat serta dibantu 20 jentera berat.
Seorang wanita, Li Yongkju berkata, dia mendengar bunyi dentuman tanah runtuh itu ketika membersihkan halaman rumahnya.
Yongkju, 50, memberitahu, dia dan beberapa penduduk kampung lain bergegas ke lokasi bencana itu dengan membawa penyodok dan cangkul.
"Kami mengeluarkan beberapa mangsa, seorang daripada mereka sukar bernafas. Dia mati tidak lama kemudian," dia dipetik sebagai berkata oleh Xinhua.
Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Zhou Benju menangis ketika menceritakan kejadian itu.
"Beberapa saudara-mara ibu bapa saya termasuk nenek, saudara lelaki, bapa saudara dan anggota keluarga ibu saudara saya terbunuh," katanya.
Satu klip video yang disiarkan di sebuah laman jaringan sosial China menunjukkan sekumpulan penduduk kampung menemui satu mayat ketika menggali lumpur dan serpihan. Mayat itu kemudian dibawa keluar menggunakan pengusung.
Menurut Xinhua, tanah runtuh itu berpunca daripada hujan dan salji tanpa henti selama 10 hari.
Menurut pihak berkuasa, tanah runtuh itu melitupi kawasan sepanjang 120 meter, dan selebar 110 meter.
Wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Myanmar, Thailand, Laos dan Vietnam merupakan kawasan miskin dengan rumah-rumah dibuat menggunakan bahan murah.
Gaopo terletak di daerah Zhenxiong, timur laut Yunnan dengan kawasan pergunungannya cenderung dilanda tanah runtuh dan gempa bumi. 
Credit: AFP

No comments:

Post a Comment