Thursday 6 December 2012

Terapi melalui doa


Berdoa

Doa merupakan terapi perubatan yang sangat mujarab dan berkesan. Doa adalah medium komunikasi kita dengan Allah.

Semasa berdoa, kita sebenarnya sedang bercakap dan mengadu kepada Allah. Siapa lebih layak untuk kita mengadu selain Allah? Hanya Allah sahajalah sebaik-baik pendengar.

Dengan berdoa, hati dan jiwa kita akan lebih tenang. Seperti mana yang kita sedia maklum, ketenangan amat penting dalam proses penyembuhan kanser.

Ingat, kita berdoa, Allah pasti makbulkan, dengan syarat kita berdoa dengan penuh pengharapan dan keyakinan dan bukan kerana arahan atau suruhan sesiapa.

Berdoa daripada hati dan jiwa yang ikhlas, pintalah, Allah Maha mendengar. Sabda Nabi SAW ;
"Hai manusia, tenangkanlah diri kamu, sesungguhnya kalian bukanlah berdoa kepada yang tuli dan tidak pula kepada yang ghaib, sesungguhnya kamu sedang berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Dia selalu bersama kamu.."
(Riwayat Bukhari dan Muslim melalui Abu Musa r.a.)

Berdoalah kepada Allah. Tidak semestinya doa di dalam bahasa Arab. Berdoalah dalam apa jua bahasa. Berdoalah dari hati dan lisan, serta tangan yang menadah mengharapkan perkenan dari Allah. Dalam sebuah hadis sahih nabi SAW bersabda.

"Sesungguhnya tuhan kalian itu adalah Dzat Yang Maha Pemalu dan Maha Pemurah, Dia merasa malu terhadap hamba-Nya yang menadahkan tangannya kepada-Nya kemudian Dia mengembalikannya dengan hampa"
(Hadis riwayat Ibnu Majjah)

Yakinlah kepada Allah, berdoalah kepada-Nya kerana kuasa mutlak penyembuh ada pada Allah.
Jika kita berusaha berubat ke seluruh dunia pun, tanpa doa daripada kita dan perkenan-Nya, maka penyakit tetap tidak akan sembuh.

Kerana itu, dalam rawatan kanser menggunakan ayat Al-Quran, doa adalah 'ubat' terpenting selepas bacaan rangkaian ayat syifa' kanser daripada Al-Quran.

No comments:

Post a Comment