KEBENARAN mesti disingkap, namun aib mesti ditutup. Bagaimana jika satu kebenaran berkaitan dengan aib seseorang? Pada saat ini, hikmah kebijaksanaan sangat diperlukan.
Suatu hari, Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab memimpin solat berjamaah di masjid. Tiba-tiba beliau mencium bau busuk yang berasal daripada seorang makmum yang terbuang angin.
Setelah solat, Umar berkata: "Aku menggesa orang yang telah kentut tadi untuk berwuduk kembali dan mengulang semula solatnya."
Tiada siapa yang bangkit menyahut perintah ini. Umar mengulanginya berkali-kali. Namun, keadaan tetap tak berubah. Besar kemungkinan pelakunya enggan mendapat malu.
Kebetulan pada saat itu, Jarir bin Hazim turut sama dalam solat berjemaah. Beliau seorang tokoh pemimpin yang sangat berpengalaman dan bijak. Beliau faham dengan apa yang tengah berlaku.
"Wahai Amirul Mukminin. Janganlah anda perintahkan orang yang kentut itu seorang. Perintahkanlah kami semua. Mari kita wuduk bersama-sama lalu mengulangi solat kita. Maka solat ini bagi kita dikira sunnah, namun bagi orang itu dikira wajib," kata Jarir.
Cadangan itu sangat cerdas. Jarir tahu cara menyelesaikan masalah tanpa membuka aib sesiapa.
Umar berkata: "Semoga Allah merahmatimu, wahai Jarir. Sungguh engkau pemimpin ulung di masa jahiliah dan Islam. Aku perintahkan diriku dan anda semua berwuduk dan mengulang solat semula."
Kisah ini tercantum dalam beberapa kitab sejarah. Antaranya Tarikh Dimasyq, Siyar A'lam al-Nubala, Al-Bidayah wa Al-Nihayah dan lain-lain.
Sering kali, semangat menegakkan kebenaran membuat kita tidak peka dengan aib seseorang. Akhirnya kita membuka aib itu sengaja ataupun tidak sengaja. Sikap seperti ini tentu sahaja tidak bijaksana.
Membuka aib orang lain untuk memalukannya adalah haram di sisi Islam. Orang yang suka membincangkan aib orang lain diancam dengan hukuman berat di dunia dan di akhirat.
Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang menutupi keburukan saudara seislam, Allah akan menutupi keburukannya di hari kiamat. Dan sesiapa yang menyingkap keburukan saudaranya seislam, Allah akan menyingkap keburukannya sehingga ia akan terhina meskipun di dalam rumahnya sendiri." (Ibnu Majah).
Setiap kali seorang Muslim melihat kemaksiatan, mereka dituntut untuk menutupinya. Jika mampu, perlu menasihati pelakunya, juga digalakkan untuk melakukan sedemikian secara senyap-senyap.
Menghebahkan maksiat tidak akan menghapus maksiat itu. Malahan, hanya akan menggalakkan orang lain untuk menirunya. Selain itu, ia juga akan menciptakan imej buruk bagi masyarakat Islam.
Seorang ulama berkata: "Berusahalah untuk menutupi orang-orang yang bermaksiat. Sebab menzahirkan maksiat mereka menghitamkan muka umat Islam sendiri."
Tutup aib
Kita tidak hidup seorang diri di muka bumi ini. Kita juga tidak bersih daripada cacat dan cela. Maka, apabila kita mula menyebutkan aib orang lain, maka orang lain pula akan terdorong untuk menyebutkan aib kita.
Orang yang mencari-cari aib orang lain untuk disingkap hakikatnya tengah membuka aibnya sendiri untuk disingkap oleh orang lain. Jika ingin aib kita tertutup rapi, tutuplah aib orang lain.
Hasan Al-Basri berkata: "Aku pernah menemui seseorang yang tidak memiliki cacat. Setelah ia mencela orang lain, maka orang lain mula menemukan cacatnya. Aku pernah berjumpa dengan seseorang yang memiliki banyak kecacatan. Namun kerana dia diam daripada cacat orang lain, orang lain tidak pernah membicarakan cacatnya."
Semoga Allah memberikan kita kebijaksanaan sehingga dapat menjaga aib kita daripada lidah-lidah jahat manusia.
No comments:
Post a Comment