|
SEKALI imbas, tiada apa yang istimewa apabila berbicara mengenai banglo dua tingkat yang terletak di Lot 707, Jalan Raja Uda, Kampung Baru, Kuala Lumpur ini.
Jika dibandingkan dengan bangunan lain di sekitarnya ia nampak sunyi seakan-akan tidak berpenghuni.
Bagaimanapun, menjengah ke ruang dalam banglo yang telah diubah suai menjadi pusat bantuan kemanusiaan Malaysian Relief Agency (MRA) itu suasananya jauh berbeza.
Di tingkat atas banglo yang sudah agak berusia itu, telefon tidak berhenti berdering.
Beberapa petugas kelihatan tekun melakukan tugas masing-masing. Ada yang membelek fail-fail yang tersusun, ada juga yang sedang menaip sesuatu di komputer.
"Macam inilah rutin kami setiap hari. Apa sahaja perkembangan misi kemanusiaan MRA di seluruh dunia, semua digerakkan di sini," kata Pengarah Bantuan Kecemasan MRA, Khairil Annuar Khalid, 52.
Lelaki yang berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang ini berkata, minatnya sebagai sukarelawan timbul sejak di bangku sekolah lagi.
Katanya, disebabkan itu dia tidak kekok melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kesukarelawan ketika menuntut di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dalam jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan dahulu.
Sebaik sahaja menamatkan pengajian, seperti rakan-rakannya yang lain Khairil Annuar ditawarkan pekerjaan di sebuah syarikat bertaraf antarabangsa.
Biarpun begitu, jawatan dan pendapatan yang mencecah empat angka ketika itu tidak mampu memberi kepuasan terhadap dirinya.
"Saya memang gemar berdikari dan sukakan sesuatu yang lasak dan mencabar. Sebab itu selepas lima tahun saya mengambil keputusan untuk berhenti dan terlibat sepenuh masa sebagai sukarelawan dan pekerja bantuan.
"Ketika itu ramai yang memandang sinis, termasuk ketua saya sendiri. Semua perasaan itu saya ketepikan disebabkan minat di samping mahu membantu masyarakat dunia yang memerlukan bantuan," katanya.
Tambah Khairil Annuar, disebabkan ketika itu tidak banyak organisasi bantuan kemanusiaan tempatan, dia memohon menjadi sukarelawan dengan sebuah organisasi antarabangsa.
Misi pertamanya ialah menguruskan dan menyelamatkan pelarian perang di Kemboja.
Bagaimanapun, dia bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada beberapa sukarelawan kanan di sana mengenai operasi dan pengurusan bantuan kemanusiaan.
"Selama hampir dua tahun saya merahsiakan perkara itu daripada keluarga. Tambahan mereka juga tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap bulan atau dua bulan sekali saya akan kembali ke tanah air.
"Keluarga hanya tahu apabila saya mendapat tawaran berkhidmat di Amerika Tengah membantu pelarian perang di El Salvador. Biarpun terkejut dan menentang pada peringkat awal, akhirnya saya mendapat restu," jelasnya yang menetap di Bukit Puchong, Selangor.
Pada tahun 1995, Khairil Annuar berhadapan tugas getir apabila dihantar ke Bosnia-Herzegovina yang bergolak akibat perang.
Selain bertanggungjawab menguruskan bantuan kemanusiaan seperti makanan dan ubat-ubatan dari Malaysia, dia juga membantu kerajaan membuka kedutaannya di Sarajevo.
Turut serta dalam misi itu ialah pasukan kemanusiaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
"Risikonya sangat tinggi. Bayangkan dalam tempoh tiga tahun konflik berlangsung, ramai dalam kalangan sukarelawan dan pekerja bantuan yang terbunuh.
"Namun, demi nasib umat Islam, saya bertekad melakukannya. Saya terpaksa mengubah identiti dengan menggunakan pas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mengaku sebagai warganegara Filipina untuk mengelak daripada ditangkap," katanya yang turut fasih berbahasa Rusia untuk berkomunikasi dengan penduduk setempat.
Sepanjang di sana, dia melihat sendiri kekejaman tentera Serb yang melancarkan kempen penghapusan etnik terbesar terhadap penduduk Islam Bosnia.
Katanya, apa yang berlaku merupakan jenayah terancang. Ratusan ribu penduduk Islam dibunuh, dirogol dan dihalau dari kediaman masing-masing. Tentera Serb bertindak kejam terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira lelaki, wanita, kanak-kanak atau warga emas.
"Bekalan makanan sangat kurang, malah semua kawasan seperti Lapangan Terbang Sarajevo juga dikuasai tentera Serb.
"Bunyi bom dan tembakan mesingan sentiasa kedengaran di sana di sini. Demi keselamatan kami terpaksa menaiki kereta perisai PBB jika mahu ke mana-mana," ceritanya.
Siapa sangka, ketika bertugas di sana dia bertemu jodoh dengan isterinya, Dr. Norhasimah Hashim, 43, seorang sukarelawan tempatan.
Selepas perang tamat, kedua-duanya masih berkhidmat di sana. Malah anak sulung mereka, Muhammad Khairil Asyraf turut dibesarkan di Sarajevo sehingga berusia lima tahun.
Selain di Bosnia-Herzegovina, dia juga pernah berkhidmat di Asia Tengah ketika konflik di Chechnya dan beberapa negara lain di bawah Kesatuan Soviet seperti Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan dan Tajikistan.
Selepas menyertai MRA, Khairil Annuar semakin aktif. Berbekalkan pengalaman luasnya, dia diberi kepercayaan melakukan misi di Afghanistan, Palestin, Pakistan, Iraq, Myanmar dan Lebanon.
Tanggungjawab sebagai sukarelawan tidak sekadar terhad di negara-negara konflik semata-mata. Dia pernah terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan di beberapa negara yang musnah akibat bencana alam seperti Acheh dan Padang di Indonesia dan Jepun.
"Walaupun tidak diancam peluru dan bom, bertugas dalam keadaan serba kekurangan, ketiadaan logistik, terputus kemudahan asas seperti air dan elektrik sebenarnya lebih mencabar.
"Di situ seseorang sukarelawan diuji bagaimana untuk bertindak dan membuat keputusan bagi memastikan bantuan yang dihantar sampai kepada kumpulan sasaran," ujarnya.
Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, biarpun sudah lebih 23 tahun menjadi sukarelawan dan pekerja bantuan kemanusiaan, dia mengakui tidak pernah bosan dengan apa yang dilakukannya.
"Mungkin rakan-rakan saya dahulu kini selesa dengan jawatan dan pendapatan yang tinggi di organisasi masing-masing, namun saya tidak pernah menyesal.
"Pengalaman yang dikutip selama ini ternyata terlalu berharga dan mungkin tidak ditemui di mana-mana.
"Sungguhpun faktor usia menyebabkan saya tidak lagi selincah dahulu, saya tidak akan berhenti menabur bakti selagi diperlukan," katanya mengakhiri perbualan.
Credit: Kosmo
No comments:
Post a Comment