Sunday, 4 August 2013

Tuisyen online percuma


KAEDAH tuisyen online itu mudah kerana ia hanya perlu menghasilkan video tutorial dengan menggunakan komputer dan kemudian dimuat turun ke YouTube.


SUDAH menjadi lumrah dunia, ramai orang yang berminat untuk menggunakan pelbagai bentuk perkhidmatan di internet yang boleh membantu mereka melakukan urusan seharian.
Urusan seharian itu semakin mudah selepas internet dicipta yang menyebabkan semua maklumat dan perkhidmatan boleh diperoleh menerusi hujung jari anda.
Justeru, pusat tuisyen secara online yang mengenakan bayaran turut diperkenalkan menerusi internet.
Cuma ibu bapa perlu mempunyai wang yang mencukupi untuk menggunakan perkhidmatan itu.
Namun, bagi seorang lelaki, Edmond Yap yang berumur 33 tahun, dia telah memperkenalkan platform unik iaitu pusat tuisyen online secara percuma sejak pertengahan tahun 2012.
Menerusi laman web www.edunation.my, para pelajar sekolah menengah tingkatan dua hingga lima dapat mempelajari subjek Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Prinsip Akaun, Biologi dan Kimia secara tutorial di internet tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Laman web www.edunation.my mengandungi video untuk para pelajar dan diajar dalam bahasa Melayu.
Pertemuan dengan Edmond baru-baru ini di pejabatnya merungkaikan segala persoalan tentang perkhidmatan itu.
Suasana di E203A, Tingkat 2, Sayap Timur, Metropolitan Square, Damansara Perdana, Selangor tempat pejabat tuisyen online itu cukup sunyi.
YouTube
Hanya Edmond, isterinya, Tasha Ong dan Ketua Pendidikan Edunation, Sugain Maniam yang kelihatan.
"Guru-guru atau sukarelawan yang terdiri daripada pensyarah atau pelajar universiti hanya menghantar video kepada kami.
"Mereka tidak perlu datang ke sini, mudah bukan," jelas Edmond.
Menerusi kaedah itu, para sukarelawan akan menghasilkan tutorial dengan menggunakan komputer meja, komputer bimbit atau tablet yang menggunakan perisian Camstudio, Smooth Draw, Quick Time atau Cam Studio.
"Sejurus sahaja siap, mereka akan menghantar video tutorial itu menerusi e-mel kepada kami.
"Video itu akan dimuat turun ke laman perkongsian video YouTube untuk diakses oleh orang ramai terutamanya pelajar secara percuma," jelas Edmond.
Setakat ini terdapat lebih 30 orang sukarelawan separuh masa yang membantu menyiapkan video tutorial ini di samping lapan orang pekerja sepenuh masa.
Namun, bagaimana lelaki yang gemar tersenyum ini memperoleh idea untuk mewujudkan tuisyen online secara percuma ini?
Kata lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam, Universiti Adelaide, Australia ini, dia pernah bekerja sebagai seorang jurutera selain memiliki perniagaan sendiri dalam bidang konsultan.
Kekurangan
"Walaupun gaji dan wang yang diterima agak lumayan tetapi dalam hati saya seperti terdapat kekurangan yang tidak boleh saya jelaskan kepada orang lain.
"Saya bekerja dan mempunyai bisnes tetapi masih tidak mendapat kepuasan,' katanya.
Sejarahnya bermula sejak lelaki ini bersekolah menengah lagi.
Dia sering datang ke rumah kebajikan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Namun terdapat satu peristiwa yang melibatkan seorang remaja lembam bernama John yang memerlukan bantuan saya untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah pada tahun 2009.
"John memerlukan bantuan tetapi saya tidak cekal malah melarikan diri dan sehingga sekarang saya tidak pernah pergi ke mana-mana rumah kebajikan kerana rasa bersalah yang menghantui diri.
"Entahlah, apa nasib John sekarang," katanya dengan nada sedih.
Namun, selepas menonton laman ucapan inspirasi www.ted.com mengenai Akademi Khan membuatkan dia teruja.
"Video itu agak ringkas iaitu kurang 15 minit tetapi ia adalah mengenai akademi itu yang menyediakan tuisyen online secara percuma kepada para pelajar di seluruh dunia.
"Saya tergamam selama 10 minit sambil merenung kembali video itu selama beberapa kali," cerita Edmond.
Tidak lama selepas itu, dia menubuhkan tuisyen edunation secara percuma iaitu pada Mei 2012.
Bagaimanapun, bukannya mudah untuk memperoleh dana bagi menjayakan cita-citanya itu.
Kata Edmond, dia perlu menjual perniagaan untuk memperoleh modal permulaan.
"Malah, untuk menjimatkan perbelanjaan, saya dan isteri hanya makan makanan di gerai yang harganya murah selain kami amat mementingkan setiap barangan yang kami beli.
"Perbezaan harga beras sebanyak 50 sen pun diambil kira,' katanya.
Dia juga hanya mempunyai aset iaitu sebuah kereta Honda Accord tahun 1996.
Edmond turut menumpang kondominium ayahnya.
Lebih 30 buah syarikat yang dikunjungi lelaki ini untuk mendapatkan dana.
"Ada wakil syarikat yang menyatakan saya gila dan melakukan perkara yang sia-sia.
"Pada akhirnya, saya menemui pengasas Kolej Asia Brickfields iaitu Raja Singam.
"Saya hanya membentangkan kertas kerja selama 10 minit. Dia (Raja Singam) diam sejenak sebelum bersetuju untuk memberikan bantuan.
"Dia menghulurkan dana sebanyak ratusan ribu ringgit setahun untuk membantu saya," katanya.
"Selain itu, dia juga berusaha mendapat bantuan dana daripada beberapa buah syarikat korporat.
Justeru, tuisyen secara online itu kemudian masih kekal bertahan sehingga kini.
Menyentuh dengan lebih lanjut tentang tuisyen itu, Maniam berkata, pihaknya akan memperkenalkan beberapa subjek video tutorial untuk pelajar sekolah rendah pada hujung tahun ini.
"Selain itu, kami juga akan memaksimumkan penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter bagi membolehkan para pelajar bertanya mengenai mata pelajaran tertentu secara maya.
"Lebih mudah, lagipun laman sosial itu dapat digunakan untuk perkara yang berfaedah dan bukan sia-sia," katanya.

No comments:

Post a Comment