SHAH ALAM - Waktu terbaik untuk orang ramai menyaksikan hujan meteor ialah selepas bulan terbenam bermula 11 malam ini.

Menurut Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mhd Fairos Asillam, fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus dijangka dapat dilihat di ruang angkasa sehingga subuh esok.

Beliau berkata, pancuran meteor Perseid antara paling menarik kerana cahayanya terang dan boleh dilihat dengan mata kasar di kawasan lapang.

"Pancuran meteor berlaku apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera bumi.

"Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang 26 kilometer," katanya.