Tuesday, 27 August 2013

Tentera, polis Mesir cabuli protokol Geneva

TINDAK-tanduk dan taktik serangan merupakan identiti kepada tentera atau pihak yang menyerang. Sepertimana seorang manusia dikenali identitinya melalui cara dia berinteraksi dengan manusia lain. Begitulah sekelompok tentera atau pihak yang menyerang dikenali, iaitu melalui cara mereka 'berinteraksi' atau taktik serangan mereka ke atas pihak yang diserang.

Sebagai contoh, sikap menghormati rumah ibadat dan strategi tidak menghapuskan tanaman telah menjadi identiti kepada tentera Islam semenjak zaman Rasulullah SAW.

Tentera Islam dikenali membawa rahmat dan keadilan, bukannya menghancurkan dan memusnahkan segala yang dimiliki pihak lawan.
Dalam penggempuran kejam yang berlaku pada 14 Ogos lalu di Medan Rabaah dan Nahdhah, pelbagai bentuk serangan telah berlaku.

Selain penembakan rambang dan penembakan spesifik menggunakan penembak tepat (sniper), taktik serangan yang juga dilakukan ialah taktik menghapuskan dan merosakkan atau scorched earth dan demolition.
Strategi scorched earth ialah penghapusan sebarang bentuk infrastruktur atau aset yang menjadi kekuatan pihak lawan.

Strategi itu dilaksanakan melalui pembakaran atau merobohkan (demolition) infrastruktur dan sumber (air/elektrik/perubatan) yang dijangka memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Strategi itu dilarang menurut salah satu protokol dalam Konvensyen Geneva 1977.

Hanya beberapa negara yang tidak mengikuti larangan ini antaranya Amerika Syarikat dan Israel disebabkan mereka tidak terikat dengan peraturan tersebut. Strategi itu amat kerap digunakan oleh mereka terutamanya dalam peperangan-peperangan yang terkini seperti yang terjadi ke atas Iraq, Afghanistan dan Gaza.

Strategi berkenaan juga telah digunakan oleh ramai pemerintah kejam seperti Stalin pada 1941, Hitler pada 1945 melalui Nero Decree dan yang terkini oleh Bashar Al-Assad di dalam perang sivil yang sedang berlaku di Syria.


Melampaui batas

Strategi ganas dan tidak berperikemanusiaan itu didapati digunakan oleh tentera dan polis di Mesir yang menyerang Medan Rabaah dan Nahdhah. Mereka melampaui batas apabila Masjid Rabaah Al-Adawiyah yang berada di Medan Rabaah juga turut dibakar hangus.

Perkara ini mengejutkan seluruh rakyat Mesir dan warga dunia. Yang pertama kerana ia merupakan salah satu strategi kejam yang hanya digunakan oleh tentera yang dikenali tidak berperikemanusiaan seperti tentera Israel.

Yang kedua kerana pada peristiwa ini, bukan rumah biasa yang dibakar. 

Mereka telah membakar rumah Allah, binaan yang mulia di atas muka bumi.

Hal ini mendedahkan betapa sebenarnya pasukan keselamatan di Mesir mempunyai kaitan dengan tentera-tentera lain yang menggunakan strategi kejam yang sama, khususnya Amerika Syarikat dan Israel.

Ini sama ada mereka menerima arahan langsung untuk bertindak sedemikian ataupun mereka telah dilatih untuk melakukan strategi yang sama ke atas umat Islam di Mesir.

Melalui penggunaan strategi ini, pasukan keselamatan Mesir telah meletakkan diri mereka pada baris yang sama dengan tentera dan pemerintah kejam yang lain di dunia ini, yang telah banyak melakukan kemusnahan dan bertindak kejam ke atas umat Islam.

Hal ini sepatutnya mengundang respons segera dan tindakan yang keras daripada seluruh warga dunia dan badan-badan hak asasi manusia yang bertaburan di pelbagai negara. Malangnya bukan itu yang berlaku.
Ternyata sesetengah negara dan badan yang kononnya memperjuangkan hak asasi tidak menyatakan sebarang pendirian keras terhadap kerajaan tidak sah yang berlaku kejam di Mesir.

Sikap double-standard dunia terhadap mereka yang berhimpun secara aman dan dizalimi serta dibunuh kejam di Medan Rabaah ini harus berakhir. Mereka harus disokong dan kerajaan pampasan kuasa Mesir harus segera didakwa dan dibicara.


Credit: SYED AHMAD ISRAA' SYED IBRAHIM

No comments:

Post a Comment