Saturday, 24 August 2013

Apabila ibadat jadi adat

Sepanjang Ramadan, masjid atau surau sentiasa dipenuhi dengan umat Islam yang sentiasa hadir untuk menunaikan ibadah selain dilihat masing-masing tekun melakukan amalan.

Tetapi sesudah Ramadan melabuhkan tirai, ruang-ruang rumah Allah kosong dan tidak lagi meriah seperti sebulan sebelumnya dan hanya tinggal imam, bilal mahupun tok siak serta sebilangan kecil jemaah yang tidak sampai 10 orang.

Di manakah jemaah lain yang setiap kali azan berkumandang mereka sentiasa memenuhi saf masjid sepanjang Ramadan? Adakah amalan tadarus al-Quran hanya berlaku pada penghulu segala bulan itu sahaja?
Situasi sama juga berlaku terhadap anak-anak yatim apabila mereka hanya mendapat perhatian dalam bulan Ramadan tetapi dalam bulan-bulan lain, kebajikan golongan itu dikesampingkan.

Bukan hendak menafikan atau mempertikaikan amalan-amalan itu, apatah lagi setiap ganjaran dan keikhlasan semuanya dihitung oleh Allah dan tidak siapa boleh mempersoalkan. Namun dikesalkan adalah ia berlaku secara bermusim atau disimpulkan sebagai ‘ibadah bermusim’.

Ketika diajukan persoalan berkenaan kepada Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Sukki Othman merumuskan bahawa situasi berkenaan berlaku apabila umat Islam menjadikan ibadat sebagai adat.

Jelas Mohd. Sukki lagi, amalan memuliakan bulan Ramadan sudah semestinya mendapat ganjaran besar daripada Allah. Tetapi jika dijadikan adat, umat Islam akan meninggalkannya sesudah Ramadan berlalu.

Beliau menegaskan, ibadah akan berterusan atau istiqamah sehingga bila-bila masa kerana merebut keredaan Allah yang dijadikan sebagai satu sandaran berbanding adat.

“Apabila dijadikan sebagai adat atau tradisi yang bersifat sementara, maka ibadah dilakukan dalam tempoh singkat bukan berpanjangan. Soal sama terjadi dalam bulan Ramadan.

“Amalan yang dilakukan itu diumpamakan peribahasa ‘hangat-hangat tahi ayam’. Maka boleh dikatakan proses didikan Ramadan terhadap golongan itu adalah gagal," ujar Mohd. Sukki.

Sehubungan itu, tambah Mohd. Sukki, Rasulullah SAW mengajak umat Islam untuk berpuasa enam dalam bulan Syawal seperti mana dijelaskan oleh sepotong hadis diriwayat oleh Imam Muslim bermaksud: Barang siapa yang puasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Ramadan, ganjaran seperti puasa setahun penuh.

Ketika menjelaskan objektif penganjuran puasa enam, Mohd. Sukki berpendapat ibadat itu bertujuan untuk mengajak umat Islam istiqamah dalam beribadat walaupun Ramadan telah berakhir.

“Sebagai satu kesinambungan daripada bulan Ramadan, puasa enam bererti betapa istiqamahnya amalan puasa tidak terhenti begitu sahaja, bahkan ia sebagai usaha berterusan.

“Maka sebab itu Rasulullah mengatakan ganjaran amalan sunat berkenaan seperti berpuasa selama setahun walaupun berlangsung selama enam hari. Ia seolah-olah menunjukkan kita beribadat bukan kerana kewajipan tetapi kerana bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada-Nya," jelas Mohd. Sukki.



Credit: JANI MUNIR ABU BAKAR

No comments:

Post a Comment