Google+ Followers

Thursday, 22 August 2013

Tembak-menembak dalam sekolah di Amerika


DIPINDAH KELUAR: Para pegawai polis membantu murid-murid sekolah 
menaiki bas yang membawa mereka keluar dari pekarangan sekolah. - Foto AP

Lebih 800 murid selamat dikeluarkan

MIAMI (Amerika Syarikat): Seorang lelaki bersenjata telah mencetuskan keadaan panik di sebuah sekolah rendah di bandar Georgia apabila dia berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan kelmarin sebelum dia menyerah diri.
Dalam kejadian itu, lebih 800 murid sekolah berkenaan telah berjaya dipindah keluar, dengan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Suspek, yang dikenal pasti sebagai Michael Brandon Hill, 20 tahun, dilaporkan telah melepaskan sekurang-kurangnya enam tembakan di sekolah Ronald E. McNair Discovery Learning Academy itu.
Jurucakap Polis Daerah DeKalb, Encik Cedric L. Alexander, berkata Hill kemudian menyerah diri dan pihak polis merampas beberapa senjata yang dibawanya.
Polis tidak mendedahkan motif insiden itu.
Awal dari itu, Hill dikatakan telah menawan seorang kakitangan di sekolah itu apabila dia memasuki sebuah pejabat di situ.
Kerani berkenaan, Cik Antoinetter Tuff, kemudian menghubungi stesen televisyen WSB-TV untuk memaklumkan bahawa suspek itu meminta beliau menghubungi stesen berkenaan dan pihak polis.
"Dia meminta maaf atas apa yang dia lakukan. Dia kata dia bersedia untuk mati," kata Cik Tuff.
Cik Tuff bagaimanapun telah berkongsi kisah hidupnya dengan suspek dan menceritakan bagaimana mahligainya runtuh selepas 33 tahun berumah tangga serta kesulitan yang dialami untuk memulakan perniagaan sendiri.
"Saya beritahu dia bahawa kita semua mengalami kesulitan dalam hidup. Semuanya akan okay. Jika saya boleh bangkit semula, dia pun mampu berbuat demikian," kata Cik Tuff.
Cik Tuff berkata beliau kemudian berjaya memujuk suspek agar meletakkan senjata dan menyerah diri kepada pihak polis.
Sehubungan dengan itu, superintenden kelompok sekolah di daerah DeKalb, Encik Michael Thurmond, memuji para guru kerana berjaya memindah keluar semua 870 murid dari peringkat tadika hingga ke darjah lima, dengan selamat dan tenang.
"Ini merupakan hari yang sangat bertuah. Semua guru dan murid berjaya keluar dengan selamat," kata Encik Thurmond dalam satu sidang akhbar.
Semua murid telah dibawa ke sebuah kawasan lapang sekolah berkenaan sebelum beberapa bas dikerahkan ke situ untuk membawa mereka ke tempat meletak kereta di pasar raya Wal-Mart berdekatan.
Di situ, ketibaan mereka selang tiga jam selepas insiden tembakan itu berlaku disambut dengan tangisan gembira serta sorakan ibu bapa murid-murid yang terlibat.
Seorang ibu murid tadika di sekolah itu, Cik Jonessia White, berkata mereka yang ingin masuk perlu melalui dua pintu sekolah dan menunjukkan kad pengenalan pada kamera sebelum kakitangan sekolah membuka pintu itu secara automatik.
"Saya menghantar anak lelaki saya ke sekolah pagi tadi dan saya perlu minta izin sebelum saya dapat masuk ke pekarangan sekolah. Jadi saya hairan bagaimana suspek boleh dapat masuk," kata Cik White.
Menurut polis, Hill dipercayai menyeludup masuk dengan mengekori individu yang diberi kebenaran untuk ke sekolah itu.
Hill telah didakwa menyerang seorang pegawai polis, membuat ancaman pengganasan dan memiliki senjata api secara tidak sah.
Sedang kejadian itu berlaku, secara kebetulan, Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, menulis Tweet tentang perlunya mengukuhkan undang-undang berkaitan pemilikan senjata di negara itu.
Sejak berlakunya beberapa kes tembakan di sekolah Amerika, pihak sekolah antara lain telah mengukuhkan kawalan keselamatan dengan menggajikan pengawal keselamatan atau memasang alat pengesan logam. - AP, AFP, Reuters.