Sunday, 11 August 2013

APA boleh cegah kebakaran merebak



KUALA LUMPUR - Memiliki alat pemadam api (APA) dalam kenderaan mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda dalam kes kenderaan terbakar ketika kemalangan, demikian menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat.
    
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPKL) Khiruddin Drahman berkata APA berkeupayaan untuk memadamkan kebakaran serta mengawal api pada peringkat awal kebakaran sementara menunggu kehadiran bomba.
    
Beliau berkata menurut teori 'Standard Temperature Curve' masa yang sesuai untuk memadamkan sesuatu kebakaran ialah antara satu hingga empat minit pertama.
    
"Dalam jangka masa yang kritikal ini adalah amat sukar bagi jabatan kami (bomba dan penyelamat) untuk sampai ke tempat kebakaran.
    
"Jadi sekiranya orang ramai ada percegahan dari awal, contohnya memiliki APA dan seterusnya tahu langkah-langkah yang boleh diambil ketika mengalami saat-saat genting, ini dapat membantu mereka," katanya kepada Bernama.


Khiruddin berkata statistik kenderaan yang sedang dipandu terbakar akibat kemalangan jalan raya sepanjang tiga tahun ini menunjukkan pada tahun 2011 sebanyak 178 kes manakala tahun berikutnya menurun kepada 79 kes.
    
Katanya sehingga Jun lepas, JBPKL mencatatkan 38 kes yang dilaporkan dan beliau percaya penurunan itu menunjukkan masyarakat sedar tentang kepentingan penggunaan APA dalam memadam kebakaran kecil.
 


   
"Malah statistik jumlah kematian akibat kebakaran kenderaan di jalan raya pada tahun 2011 dan 2012 hanya satu kematian dicatatkan dan sehingga Jun lepas,hanya satu kes dilaporkan kepada pihaknya," katanya.
    
Dalam pada itu, Khiruddin mengingatkan orang ramai supaya tidak leka, lalai dan lupa untuk mengambil langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah ketika bercuti.



    
Katanya antara langkah keselamatan yang perlu diambil adalah memastikan kesemua plug dari soket televisyen dan peralatan lain ditanggalkan serta kesemua bentuk punca api dipadam sepenuhnya sebelum meninggalkan rumah termasuk colok, lampu dan sebagainya.
    
"Kebakaran membawa kesan buruk, kealpaan boleh mengakibatkan kehilangan harta benda dan lebih buruk lagi kehilangan nyawa. Oleh itu, langkah pencegahan lebih awal amat perlu," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment