Wednesday, 21 August 2013

Perangkap cinta Muka Buku

SAYA tertarik dengan berita mengenai seorang kanak-kanak yang dilaporkan diculik, tetapi akhirnya ditemui di Pulau Pinang di rumah keluarga orang yang melarikannya.

Lelaki yang dikatakan melarikan kanak-kanak itu ialah teman lelaki ibu anak tersebut.

Si ibu mengenali lelaki itu melalui laman sosial Facebook. Hanya dengan perkenalan cara itu, wanita yang bergelar ibu itu sanggup melepaskan anaknya kepada seorang lelaki yang dia tidak kenali.

Malahan menurut ceritanya, dia juga memberi wang kepada lelaki tersebut untuk dijadikan modal berniaga.

Apabila lelaki tersebut tidak datang seperti yang dijanjikan untuk mereka pergi membeli-belah persediaan majlis perkahwinan, baru wanita itu merasa dia tertipu dan anaknya dilarikan.

Cerita orang muda berkenalan melalui Facebook ini bukan perkara baru. Malahan suatu masa dahulu, semasa rakyat Malaysia baru mengenali komputer dan penggunaan Internet, sembang atas talian adalah perkara yang menjadi kegemaran generasi muda.

Kemudian, datang pula telefon canggih yang boleh e-mel, khidmat pesanan ringkat (SMS), berbual dan bersidang video, maka mereka beralih ke arah telefon pula.

Akhir-akhir ini Facebook dan Twitter menjadi trend generasi muda berkenalan dan meramaikan kawan-kawan.

Hari ini melalui telefon yang canggih, boleh berfacebook atau bertwitter. Boleh chat, boleh hantar e-mel dan sebagainya. Akhirnya hidup generasi muda hari ini berkisar dengan media baharu ini sehinggakan makan, tidur, kerja, berehat mesti dengan telefon.

Berkenalan melalui laman sosial bukan lagi suatu yang mengejutkan. Hari ini ramai yang menggunakan kaedah ini untuk mencari kawan atau pasangan hidup.

Jika dulu kita mendengar cerita anak gadis dikahwinkan oleh ibu bapa dengan pilihan keluarga dan gadis itu tidak kenal bakal suaminya.
Ada yang menangis kerana tidak mahu berkahwin tetapi takut bergelar anak derhaka, maka akur dan perkahwinan tersebut kekal hingga akhir hayat.

Hari ini, muda-muda memilih pasangan hidup mereka sendiri. Ini bermakna mereka mengambil inisiatif berkenalan dengan pasangan yang ingin dikahwini.

Ramai antara kenalan ini dikenali melalui Facebook. Perkenalan amat mudah. Pihak lelaki kadang-kadang memohon untuk menjadi kawan dan pihak gadis menerima salam perkenalan itu hanya dengan melihat latar belakang yang terhad itu.

Semua orang tahu, ramai tidak memberi maklumat yang betul dalam Facebook. Ada yang sudah berkahwin mengaku bujang. Kononnya berjawatan tinggi tetapi sebenarnya seorang penganggur. Sebahagian hidupnya duduk di hadapan komputer. Ada juga yang menjadikan laman sosial itu untuk memperdayakan wanita.

Walaupun telah banyak kali diingatkan,wanita tetap terlupa dan terpedaya. Tentunya apabila seorang lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin, si gadis sangat mempercayai keikhlasannya.

Si gadis membawa si lelaki ke rumahnya, berkenalan dengan ibu bapa. Ibu bapa hari ini pula tidak seperti ibu bapa dahulu.

Ibu bapa dulu, banyak soal jawabnya jika anak gadis membawa lelaki pulang ke rumah. Ada yang tidak berani membawa lelaki pulang bertemu ibu bapa. Tetapi membawanya ke rumah ibu saudara atau datang semasa hari raya atau masa kenduri kendara.

Ibu bapa akan menghantar wakil atau agennya membuat siasatan mengenai latar belakang lelaki pilihan anak. Jika maklumat yang diperoleh tidak begitu menarik, ibu bapa akan memberi pelbagai alasan untuk menolak pilihan anak.

Berbeza dengan ibu bapa hari ini yang tidak banyak menyiasat latar belakang bakal menantu. Malah lebih mempercayai sumber yang diberikan oleh anaknya sendiri. Sedangkan anak gadis itu sendiri tidak membuat sebarang siasatan.

Dia tidak pernah dibawa pulang ke rumah teman lelakinya malah tidak pernah tahu di mana asalnya atau alamat sebenarnya. Malahan ada yang tidak tahu nama sebenar lelaki yang baru dikenalinya itu.

Hari ini ibu bapa nampaknya sama seronok apabila anak gadis membawa lelaki pulang ke rumah dan menerima bakal menantu seadanya.

Biasanya si lelaki akan berjanji menghantar wakilnya masuk meminang. Ada juga yang menggunakan khidmat rakan kongsi untuk masuk meminang. Ramai juga yang memberi beberapa alasan untuk menangguhkan majlis pertunangan. Antaranya si lelaki perlu ke luar negara kerana urusan perniagaan mengalami masalah atau pelbagai alasan lain.

Kebiasaannya melibatkan wang dan si gadis percaya dan merasa kasihan belas kepada bakal suaminya itu.

Maka mereka sanggup berbuat apa sahaja demi membantu lelaki pilihan hati. Asalkan perkahwinan yang dirancang jadi.

Apatah lagi jika ibu bapa sudah pukul canang memberitahu sanak saudara yang anak gadisnya akan berkahwin dengan orang ada-ada.

Ada yang berhabisan berpuluh ribu yang dipinjamkan atau didahulukan kepada bakal menantu dan apabila sampai masanya bakal menantu hilang entah ke mana.

Ada yang membuat laporan polis, tetapi ramai yang tidak berbuat apa-apa kerana malu. Mereka akan lebih malu jika anak gadis kemudiannya didapati mengandung atau bukan gadis lagi. Musnahlah harapan ibu bapa dan musnahlah masa depan si gadis.

Persoalan yang sering saya timbulkan ialah kenapa hari ini ramai gadis-gadis menerima dan mempercayai seorang lelaki yang baru dikenali terutama menerusi laman sosial? Kenapakah tidak disiasat latar belakang lelaki yang ingin dinikahinya? Kenapa tak minta kad pengenalan untuk mendapatkan identitinya yang sebenar? Kenapa tidak melawat tempat kerjanya sedangkan dalam tempoh perkenalan mereka telah ke sana ke mari berdua-duaan?

Kenapa pula ibu bapa boleh terima bulat-bulat tanpa soal siasat latar belakang lelaki yang sering dibawa pulang oleh anak gadis mereka?
Hanya kerana lelaki itu sangat beradab sopan, bahasanya baik, budinya tinggi, keretanya mewah dan orangnya pemurah, maka ibu bapa menerima sahaja lelaki tersebut tanpa banyak soal jawabnya. Kenapa mudah percaya dan diperdaya?

Wahai anak gadis, janganlah mudah jatuh cinta, percaya dan terpedaya. Kembalilah kepada Allah SWT dan mohonlah keredaan-Nya. Cinta atas talian sangat berbahaya.



No comments:

Post a Comment