Friday, 9 August 2013

Sukarkah memohon maaf?

Sudah menjadi rutin setiap pagi raya sama ada sebelum atau selepas menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri, satu keluarga berkumpul di ruang tamu untuk mengambil giliran bermaafan antara satu sama lain.
Dimulai dengan yang lebih tua seperti datuk dan nenek atau ibu dan ayah, anak-anak beratur untuk menghulurkan tangan bersalaman dengan mereka bagi memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan selama ini.
Pada saat itu bermulalah adegan air mata walaupun pada peringkat permulaan semuanya seperti segan silu untuk mengeluarkan suara meminta maaf daripada ahli keluarga.

Ironinya, perkara mulia ini boleh dikatakan hanya berlaku pada Syawal ketika semua umat Islam menyambut Aidilfitri.

Perbuatan memohon serta memberi kemaafan sememangnya satu amalan yang mulia di sisi syarak. Oleh itu, ia sewajarnya bukan saja diamalkan pada hari raya saja malah sebaiknya pada setiap hari.

Justeru, sewajarnya untuk kita membincangkan bagaimana untuk menjadi seorang yang pemaaf secara hakiki ketika kehangatan sambutan Aidilfitri semakin terasa.

Lumrah manusia, adakalanya kita berasa sukar untuk memaafkan orang yang pernah melakukan kesilapan terhadap diri ini malah menyimpan dendam begitu lama sehingga menjejaskan hubungan dengan pihak berkenaan.

Erti memberi kemaafan apabila seseorang itu mampu untuk membalas kejahatan yang dilakukan terhadapnya atau menuntut sesuatu daripada mereka yang melakukan kesalahan namun dia tidak melakukannya malah dia memaafkannya secara ikhlas demi mengharapkan keredaan Tuhan.

Sikap pemaaf atau mudah memaafkan orang lain suatu akhlak yang mulia lagi terpuji dan ia tergolong dalam amalan yang amat digalakkan pelaksanaannya oleh Allah.

Terdapat beberapa kualiti yang perlu disematkan di dalam diri masing-masing sebelum dapat menjadi seorang yang pemaaf. Tanpa ciri-ciri berkenaan, tentu sekali amat sukar bagi sesiapa juga untuk memaafkan mahupun melupakan kesalahan orang terhadap dirinya.

Berikut antara ciri-ciri yang perlu ada dalam diri bagi membantu individu dekat dengan sifat pemaaf.


Bersabar

Boleh dikatakan sikap sabar adalah pokok bercambahnya segala akhlak yang mulia. Tanpa sifat sabar, sukar atau mustahil seseorang itu boleh meminta maaf mahupun memberi kemaafan.

Sekiranya seseorang membuat kesalahan terhadap kita lantas kita hilang sabar maka ia akan menimbulkan perasaan marah. Sekiranya perasaan marah ini pula tidak dibendung, ia akan menimbulkan pula perasaan dendam terhadap pelaku kesalahan terbabit.

Sebaliknya, jika kita mampu untuk bersabar terhadap perkara itu, lebih mudah untuk memaafkan serta melupakan segala kesalahan yang dilakukannya.


Kawal perasaan marah

Perasaan marah ialah satu senjata tipu daya syaitan untuk memporakperandakan hidup manusia.

Syaitan sememangnya sentiasa ingin melihat kehidupan manusia saling tidak sehaluan, berduka-cita, marah dan menghindari sikap saling bermaafan untuk mengeruhkan lagi suasana.

Oleh itu, penting bagi kita untuk mengawal perasaan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati terhadap kesalahan yang dilakukan pihak lain.

Sebaiknya, untuk meredakan perasaan marah terhadap seseorang hendaklah kita fokuskan jiwa dengan melihat sudut positif yang ada dalam diri orang yang kita marahkan itu.

Mungkin terdapat banyak perkara baik pernah dia lakukan terhadap kita yang sekiranya direnungkan secara mendalam akan memadamkan api kemarahan yang wujud di dalam jiwa.

Contohnya, apabila kita marah melihat kesalahan yang dilakukan oleh isteri, hendaklah kita fokuskan semua perbuatan baik yang pernah dilakukannya sepanjang tempoh perkahwinan.


Hilangkan perasaan dendam kesumat

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan dendam di dalam jiwa.

Hati akan berasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta ingin menjauhkan diri daripada orang berkenaan.

Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita ingin menghukum pihak yang melakukan kesalahan itu.

Panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan seumpamanya berkaitan individu itu akan cuba dielakkan sebaik mungkin. Jika bertemu secara tidak sengaja di mana saja, muka masam malah dipalingkan juga.

Hendaklah kita sedaya-upaya menghindarkan diri daripada membalas kejahatan yang dilakukan oleh orang lain dengan kejahatan.

Tinggalkan cacian, maki hamun, umpatan dan pelbagai lagi kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan.


Lemah lembut
Antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan sikap saling bermaaf-maafan adalah sikap kasar, keras kepala dan berhati batu.

Oleh itu, sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian ternyata akhlak yang terpuji dan mencerminkan budi pekerti luhur dan kewarasan jiwa.

Sikap lemah lembut ini juga membuatkan munculnya sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain.


Mohon maaf tiada tempoh atau had

Usah hadkan atau tentukan bulan tertentu saja untuk kita meminta maaf. Tentu sekali kita pernah berkata dalam diri, tidak mengapa melakukan kesilapan sekarang sebab tiba hari raya nanti, kita boleh meminta maaf.

Jujurnya, kalau difikirkan kembali ia satu pemahaman kurang tepat kerana sebagai manusia kita tidak tahu bila diri akan dipanggil Ilahi.

Tidak salahnya jika kita sudah terkasar bahasa atau menyinggung perasaan seseorang termasuk ibu bapa, hulurkan tangan dengan segera dan memohon keampunan daripada mereka.

Begitu juga sebaliknya jika perkara sama berlaku antara kita dengan ahli keluarga lain, rakan dan majikan. Sekurang-kurangnya, jika satu pihak beralah perkara seperti bermasam muka dan tidak bertegur sapa tidak berlarutan.

Selain itu, jangan menunggu sehingga usia sudah lanjut dan berlaku musibah, barulah mahu meminta maaf dan memberi kemaafan.


Jangan ego
Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Contohnya, bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi? Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.

Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sewajarnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.

Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesaikan masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan.


Bertenang

Sifat pemaaf lahir daripada jiwa dan hati yang tenang berterusan. Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikir sejenak, menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dulu.

Renungkan, adakah perkara itu juga berpunca daripada diri kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk mengenai tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. 

Pada ketika itu, syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah sebaliknya yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Justeru, hendaklah lafaz maaf zahir dan batin yang kita ucapkan pada hari lebaran nanti dilakukan dengan penuh keikhlasan dan bukan sekadar mengikut adat resam.

Jadilah seorang yang gemar memaafkan kesalahan orang lain kerana sifat ini mencerminkan akhlak dan peribadi mulia selain ia sangat dituntut oleh syarak.

Sikap saling memaafkan sepatutnya perlu wujud dalam masyarakat Islam terutama demi mengukuhkan perpaduan serta persaudaraan yang kian terhakis.


Credit: Hamizah Badiran

No comments:

Post a Comment