Google+ Followers

Wednesday, 21 August 2013

1,300 maut serangan gas beracun di Syria

Foto

Aktivis dakwa tentera bedil roket, Rejim nafi guna senjata kimia
Beirut: Lebih 1,300 orang terbunuh apabila tentera Syria menggempur pinggir Damsyik dengan senjata kimia semalam, kata pembangkang yang menyifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai dan menggesa campur tangan antarabangsa.


“Angka itu pasti meningkat. Serbuan dan serangan berterusan,” kata Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) yang beribu pejabat di Britain dan mengumpulkan maklumat daripada aktivis dan pasukan perubatan.

SOHR berkata, serangan amat sengit dan disasarkan ke pinggir bandar Zamalka, Arbeen dan Ein Tarma di timur Damsyik.

Ia memetik aktivis sebagai berkata tentera rejim membedil roket dengan peledak berisi gas beracun dalam serangan itu.

Sebuah kumpulan pemerhati dari Britain sebelum itu berkata sekurang-kurangnya 100 maut dalam serangan tentera ke atas kubu kuat pejuang pembebasan di pinggir ibu kota Syria semalam, dalam apa yang didakwa sebagai serangan gas beracun.
Foto
Seorang lelaki meratapi kematian ahli keluarga yang terbunuh 
dalam serangan di bandar Douma di pinggir Damsyik, semalam. - Foto AP

Ratusan maut diserang 


Satu kumpulan lain, Jawatan-kuasa Penyelarasan Tempatan, berkata beratus-ratus maut atau cedera dalam serangan itu. Perbezaan angka daripada kumpulan aktivis adalah perkara biasa di Syria, terutama dengan kerajaan mengehadkan laporan luar dan domestik.

Dakwaan dibuat ketika pasukan senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan 20 anggota, diketuai pakar Sweden, Ake Sellstrom, berada di Damsyik sejak Ahad lalu untuk menyiasat tiga kawasan yang didakwa serangan senjata kimia dilancarkan.

Kawasan yang disiasat adalah kampung Khan al-Assal di barat Aleppo dan dua lagi lokasi yang dirahsiakan atas alasan keselamatan.

Berikutan laporan semalam, SOHR menggesa pasukan PBB di Syria dan semua pertubuhan antarabangsa melawat kawasan yang teruk terjejas dan memastikan bekalan perubatan dan bantuan tiba kepada penduduk secepat mungkin. 

Ia juga menggesa siasatan terhadap serangan itu.

Sementara itu, pihak berkuasa Syria menafikan dakwaan tentera menggunakan senjata kimia.

“Laporan penggunaan senjata kimia palsu. Ia cubaan menghalang pasukan PBB menjalankan misi mereka,” lapor agensi berita SANA.

Akhbar Al-Watan melaporkan kerajaan Syria berjanji untuk bekerjasama dan memudahkan kerja pasukan penyiasat PBB yang melancarkan misi di negara itu kelmarin. 

Britain sementara itu berkata ia akan merujuk dakwaan penggunaan senjata kimia kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dakwaan itu belum dapat disahkan. - AFP/AP