Saturday, 24 August 2013

Martabat ibu tinggi di sisi Islam

Ibu melakukan pengorbanan amat besar kepada anak dan kedua ibu bapa umumnya. Allah SWT mewasiatkan kedua-duanya kepada kita dalam kitab-Nya dan Dia menjadikan berbuat baik kepada ibu bapa suatu kebajikan asasi yang dipersetujui semua agama. 

Allah SWT menceritakan mengenai Yahya dalam surah Maryam, ayat 14: “Dan banyak berbakti kepada kedua orang tuanya dan bukanlah dia orang yang sombong lagi derhaka.” 

Kemudian Allah SWT menyifatkan Isa menerusi kata-kata Isa sendiri sewaktu dalam buaian: “Dan berbakti kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka.” (Surah Maryam, ayat 32) 

Seterusnya Allah SWT menempatkan berbuat baik kepada kedua ibu bapa pada urutan kedua selepas menyembah Allah SWT: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (Surah an-Nisa’, ayat 36) 

Kemudian ibu mendapat keistimewaan luar biasa kerana dia yang bersusah payah mengandung anaknya, melahirkannya dan menyusukannya. Sebab itulah Nabi SAW mewasiatkan ibu hingga tiga kali sedangkan untuk bapa hanya sekali. 


Bahkan ibu yang tidak memberikan kasih sayang kepada anaknya dan meninggalkannya sejak kecil juga mempunyai hak iaitu hak keibuan kerana ibu tetap ibu dan seperti kata orang, darah tidak akan menjadi air. 

Orang yang berakhlak mulia akan mengamalkan nasihat ini: “Hubungkanlah silaturahim dengan orang yang memutuskan silaturahim denganmu. Bermurah hatilah kepada orang yang kedekut kepadamu. Berilah orang yang tidak memberimu. Berbuat baiklah kepada orang yang berbuat jahat padamu.” 

Berbuat baik kepada ibu 

Jika sikap ini yang patut dibuat kepada semua orang, apa lagi dengan kaum kerabat lebih-lebih lagi kedua ibu bapa. Bagaimana halnya dengan ibu yang telah dijadikan Allah SWT syurga di bawah telapak kakinya. 

Sebab itu kami nasihatkan kepada saudari yang bertanya, hendaklah berbuat baik kepada ibunya dan hendaklah ia mencurahkan pengorbanan dan kebaikan kepadanya. Janganlah ia mengikut hawa nafsu serta bersikap ego. 

Mudah-mudahan Allah SWT menyambungkan hubungan kedua-duanya yang telah terputus kerana ibu tetap ibu. Perlu diketahui pada ketika ini boleh jadi anak tidak memahami keadaan ibu dan mudah-mudahan dia dapat memahaminya pada masa akan datang. 

Allah SWT mewasiatkan supaya anak berbuat baik kepada ibu bapanya tetapi tidak mewasiatkan ibu bapa berbuat baik kepada anak kerana hati mereka sudah dicap dengan kasih sayang kepada anaknya. 

Jika seorang ibu keluar daripada kebiasaan yang sebenarnya pasti ada sebab atau faktor yang membuatkan dia bersifat ganjil. Justeru, sebagai anak, selami kenapa perkara itu berlaku dan cuba memahaminya.



Credit: Ust Dr Zahazan Mohamed

No comments:

Post a Comment