Wednesday, 7 August 2013

Falsafah Aidilfitri perlu dihayati

SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa tersebut.

Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya tersebut, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang telah diwarisi secara turun-temurun daripada datuk nenek mereka terdahulu.

Lalu Rasulullah SAW telah menyatakan kepada masyarakat Arab Madinah bahawa Islam telah menggantikan dua hari raya yang diraikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya Korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau disebut Aidilfitri.



Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu merupakan satu ibadat.

Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang-orang yang telah dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.
Kemenangan itu bukan saja menang kerana telah berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga kemenangan kerana seseorang yang telah mengerjakan puasa tersebut dengan sendirinya dapat menghalang diri daripada melakukan apa jua perkara yang dilarang. Sekiranya dilakukan juga maka akan terbatallah puasanya.

Kerana itulah Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan tersebut. Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah, iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal, Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.



Oleh kerana ini dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan esok adalah hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat dengan memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani daripada Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari Kiamat."



Pada pagi hari raya biasanya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhuwah dengan kunjung mengunjung di kalangan 
saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya berlebih-lebih atau melampaui batas dalam menyambut apa sahaja perayaan.
Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya pada hari raya dengan pakaian yang mahal dan kuih-muih yang terlalu banyak.

Pada zaman Rasulullah, telah datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: "Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat menyambut hari raya Aidilfitri." Lalu baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki tersebut pun berkata: "Kerana saya tidak ada baju baru." Rasulullah kemudiannya bertanya beberapa sahabat yang lain, agar sesiapa yang mempunyai baju yang baru dapat kiranya diberikan kepada lelaki tadi.



Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa sahaja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru untuk dipakai pada hari tersebut.

Lalu, digalakkan sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa sahaja kepada orang-orang yang tidak berupaya.




Credit: WAN MARZUKI WAN RAMLI

No comments:

Post a Comment