Friday 16 August 2013

Krisis Mesir: Kemasukan pelajar baru ditangguh

Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM – Ekoran krisis di Mesir yang masih belum reda, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penangguhan kemasukan pelajar baru untuk sesi 2013/2014.

Menurut Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pihaknya sedang berunding dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir agar kemasukan pelajar Malaysia ditangguhkan satu semester.

“Berdasarkan situasi semasa di Mesir, semua pemergian pelajar baru ditangguhkan untuk sesi 2013/2014 yang sepatutnya bermula pada September 2013.

“Pihak KPM sedang berunding dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir agar kemasukan pelajar Malaysia ditangguhkan untuk satu semester,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri meminta pelajar yang sedang bercuti agar menangguhkan kepulangan ke Mesir.

“Manakala pelajar yang sedang bercuti di Malaysia juga diminta menangguhkan kepulangan ke Mesir termasuk pelajar-pelajar yang perlu menduduki peperiksaan ulangan.

“Pihak KPM sedang berunding dengan semua universiti di Mesir untuk menangguhkan peperiksaan ulangan bagi tempoh yang munasabah,” katanya.

Tambahnya, “sekiranya keadaan di Mesir masih tidak membolehkan pelajar pulang untuk menduduki peperiksaan ulangan, pihak KPM sedang berusaha agar peperiksaan ulangan tersebut dapat diadakan di Malaysia.”

Pihaknya akan membantu agar pelajar terlibat mendapat penempatan baru di pusat pengajian lain.

“Namun begitu, sekiranya keadaan di Mesir tidak pulih dan tidak selamat bagi pelajar Malaysia untuk meneruskan pengajian di sana, maka KPM akan membantu pelajar-pelajar yang terlibat mendapatkan tempat pengajian di negara-negara lain yang selamat atau di institusi pengajian tinggi swasta dalam negara,” katanya.

Kerajaan perlu memikirkan keselamatan 3,200 pelajar Malaysia yang berada di Mesir dan mereka telah dipindahkan ke kawasan selamat.

“Pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Education Malaysia Egypt (EME) telah memindahkan pelajar-pelajar di kawasan panas ke kawasan yang lebih selamat.

“Mereka juga dinasihatkan agar berada di dalam rumah masing-masing, tidak melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan dan sentiasa mematuhi arahan KBMK dan EME,” katanya.

Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan agar tidak bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka di Mesir.

“Ibu bapa dinasihatkan agar tidak bimbang dengan keselamatan para pelajar Malaysia di Mesir kerana pihak KBMK dan EME sentiasa berhubung dan memantau keadaan keselamatan mereka di sana.

“Bagi tujuan penyelarasan berhubung pengajian pelajar, pihak penaja adalah dipohon supaya merujuk kepada KPM yang merupakan agensi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan pelajar di Mesir,” katanya.

Bagi memudahkan ibu bapa dan pelajar mendapatkan maklumat terkini, bilik operasi KPM telah dibuka mulai 16 Ogos 2013 dan boleh dihubungi untuk sebarang pertanyaan di talian 03-8870 6611 dan 03-8870 6627 atau e-mel :egyptcrisis@mohe.gov.my.

 

No comments:

Post a Comment