Tuesday, 27 August 2013

Rahsia di sebalik huruf basmallah

UCAPAN basmalah berasal daripada ayat yang berbunyi Bismi Allah ar-Rahman ar-Rahim. Ayat ini biasa diertikan 'dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang".

Basmallah merupakan satu daripada tiga bahagian al-Quran. Dua bahagian yang lainnya adalah surah al-Fatihah dan isi al-Quran itu sendiri secara keseluruhan yang berjumlah 113 surah, daripada surah al-Baqarah sehingga surah an-Nas.

Atas dasar pembahagian itu, maka ada mufassir dan ulama yang menyebut basmalah sebagai ayat tunggal. Jika surah al-Fatihah disebut oleh para mufassir dan ulama sebagai intisari al-Quran, maka basmalah disebut sebagai intisari al-Fatihah. Dengan demikian dalam ayat basmallah terkandung intisari al-Quran.

Setiap pekerjaan yang baik, sunat dimulai dengan membaca basmallah. Hal ini didasarkan pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: "Setiap perbuatan baik yang tidak dimulai dengan basmalah adalah kurang berkat."

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Apabila hamba-Ku memulai pekerjaannya dengan menyebut nama-Ku, maka menjadi kewajiban-Ku untuk menyempurnakan seluruh pekerjaannya serta Ku-berkati seluruh keadaannya."

Ada ulama yang berpendapat bahawa basmallah bukan bahagian daripada surah al-Fatihah, melainkan ayat tersendiri. Kerana itu, di Mekah dan Madinah, imam yang mengetuai solat tidak membaca basmallah ketika membaca al-Fatihah.

Pendapat itu didasarkan kepada riwayat Imam Malik bahawa para sahabat Nabi SAW tidak membaca basmallah ketika membaca surah al-Fatihah.

Pandangan serupa dikemukakan Imam Abu Hanifah yang menilai sahih beberapa hadis yang memberitakan bahawa Nabi SAW dalam mengerjakan solat tidak mendengar membaca basmallah.

Pandangan yang kemudian dianut secara rasmi oleh Mazhab Hanafi adalah bahawa basmalah boleh dibaca dalam solat tetapi tidak dengan suara nyaring.

Sebahagian ahli tafsir, seperti Ibrahim al-Biqa'i, menyatakan bahawa huruf-huruf dalam basmallah yang berjumlah 19 itu memiliki rahsia tersendiri.

Di antaranya adalah sebagai simbol penghindaran seseorang daripada ancaman para penjaga neraka yang menurut al-Quran jumlahnya 19 malaikat (rujuk al-Muddaththir: 30).

Dengan demikian, jika kita sering membaca basmalah, kita akan terhindar daripada azab neraka. Ucapan untuk menolak perkara yang buruk, iaitu la haula wa la quwwata illa bi Allah, juga terdiri daripada 19 huruf.

Ketika membaca surah-surah dalam al-Quran, dianjurkan untuk memulainya dengan basmallah, kecuali membaca surah at-Taubah.
Basmallah pada surah at-Taubah dibaca di tengah surah atau beberapa ayat setelah ayat pertama.

Hal ini kerana surah at-Taubah berisi kemarahan Tuhan dan pernyataan perang kaum Muslim terhadap orang-orang musyrik, sedangkan bacaan basmalah mengandung perdamaian dan cinta kasih Allah SWT.

Pendapat lain mengatakan bahawa para sahabat tidak dapat memastikan apakah surah at-Taubah merupakan surah tersendiri atau bahagian daripada surah al-Anfal.

Pemisahan yang kemudian dilakukan menjadi surah sendiri adalah hasil kompromi para mufassir ketika penyusunan mushaf Uthmani.

No comments:

Post a Comment