Friday, 2 August 2013

Guru Wanita Kerugian Hampir RM280,000 Ditipu 'Tukang Tilik Nasib'



    LABUAN: Gara-gara terperdaya promosi iklan tilik nasib, seorang guru wanita kerugian hampir RM280,000.
    Guru berumur 41 tahun itu membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu berikutan tukang tilik lelaki itu terus meminta duit sedangkan ramalan sebelumnya tidak memberi pulangan seperti dijanjikan.
    Ketua Polis Daerah Labuan Supt Adzhar Othman berkata menurut laporan dibuat wanita itu pada Khamis lepas, dia menerima iklan tilik nasib dalam peti surat rumahnya pada November tahun lalu.
    Katanya wanita itu yang tertarik dengan iklan itu telah menghubungi suspek di nombor telefon pada iklan itu dan suspek memaklumkan dirinya seorang sami dan "master" ilmu tilik dan mampu mengubah nasib wanita itu.
    "Suspek mengatakan kepada mangsa yang beliau mempunyai nasib baik dan bakal beroleh keuntungan besar. Terpengaruh dengan ramalan, mangsa bersetuju untuk satu upacara sembahyang dicadangkan suspek dengan wang pendahuluan RM600 yang dimasukkan ke dalam akaun suspek.
    "Selepas upacara sembahyang itu, suspek telah mengirim gambar keputusan nombor ekor 4-digit yang kononnya mangsa telah memenangi hadiah pertama.
    "Ekoran daripada itu, tuntutan wang berterusan daripada suspek kepada wanita berkenaan berlarutan sehingga hampir RM280,000 dengan alasan untuk upacara sembahyang," katanya.
    Adzhar berkata polis sedang memburu suspek dan menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan promosi atau bentuk iklan yang mencurigakan yang boleh merugikan mereka sendiri. - BERNAMA

    No comments:

    Post a Comment