Saturday, 3 August 2013

4 selamat, 40 masih hilang

Kota Tinggi: “Saya hanya terbayang wajah anak dan isteri di kampung untuk menguatkan semangat ketika tubuh tidak berdaya lagi, manakala kedua-dua tangan cedera akibat digigit ikan.
“Ketika itu saya hanya mampu menguatkan semangat untuk terus berpaut pada tong petrol, manakala badan melecur akibat cuaca panas kerana terapung di tengah laut,” kata Edey Muliadi, 26, seorang daripada empat mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam di Tanjung Siang, Sedili Besar di sini, malam Khamis lalu.
Difahamkan, mereka bergerak pulang ke Batam jam 7 malam sebelum bot pancung dinaiki mereka terbalik jam 10 malam di kawasan berhampiran sebelum empat daripada 44 penumpang bot itu ditemui nelayan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), jam 12 tengah hari semalam.
Edey dan tiga rakannya antara 44 penumpang yang menaiki sebuah bot pancung dan dalam perjalanan ke Batam, Indonesia, untuk pulang berhari raya menggunakan laluan tikus dari Tanjung Sedili, di sini.
“Saya serik menggunakan khidmat bot pancung. Apakan tidak, nyawa hampir melayang selepas bot dinaiki bersama penumpang lain dipukul ombak besar.
“Apabila bot terbalik, saya berenang mencari tong untuk berpaut sebelum bertemu beberapa mayat terapung di kawasan berhampiran sejam selepas itu.
Foto
MANGSA menunjukkan kecederaan badan mereka di Pangkalan APMM Tanjung Sedili, semalam.
“Saya sempat melaungkan azan dan iqamah sebelum dihanyutkan ombak ke kawasan lain sebelum sekumpulan nelayan datang menyelamatkan saya, 15 jam kemudian,” katanya ketika ditemui di Pengkalan APMM Tanjung Sedili, di sini, semalam.
Edey yang bekerja sebagai buruh binaan di Puchong, Selangor dalam perjalanan pulang berhari raya di kampungnya di Surabaya, Indonesia.
Menurutnya, dia membayar RM1,100 untuk pulang ke kampungnya sempena Aidilfitri dan dijangka pulang ke Malaysia beberapa minggu kemudian.
Mangsa Mohamad Saiful Bahari Nur, 34, berkata, dia menaiki bot pancung dengan bayaran RM1,300 pada jam 8 malam Khamis lalu dari Tanjung Sedili ke Batam untuk pulang ke kampungnya di Lombok Indonesia.
“Kami terpaksa meredah air hingga paras pinggang selama 15 minit dalam gelap sebelum menaiki bot pancung yang menunggu di tengah laut.
“Ketika dalam perjalanan di tengah laluan kapal besar, bot kami tiba-tiba berhenti dan air mula masuk ke dalam bot.
“Kerana panik, semua penumpang beralih ke sebelah kanan bot, mengakibatkan bot hilang kawalan lalu terbalik,” katanya.
Menurutnya, semua penumpang panik dan mencari tempat berpaut, manakala dia bernasib baik kerana dapat berpaut pada sebuah tong petrol.
Katanya, keadaan gelap menyebabkan dia tidak nampak penumpang lain kecuali jeritan meminta tolong sebelum semua terpisah akibat dihanyutkan.
“Saya menetap di negara ini sejak 13 tahun lalu dan bekerja di sebuah ladang sawit di Taiping, Perak. Sebelum ini, saya pernah berjanji akan pulang berhari raya bersama keluarganya kerana sejak berada di sini saya tidak pernah pulang.
“Ini kali pertama saya pulang kerana ingin menjenguk anak yang dipelihara ibu selepas isteri meninggal dunia. Saya tidak menduga kejadian ini berlaku kepada bot yang saya naiki,” katanya.
Edey dan Mohamad Saiful bersama dua lagi mangsa berjaya diselamatkan nelayan tempatan dan APMM pada jam 12 tengah hari semalam.


Credit:  MAHAIZURA ABD MALIK

No comments:

Post a Comment