Thursday, 8 August 2013

Fitrah manusia ingin hidup gembira

Batas berjenaka ada hak, tidak cela peribadi

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).” (Surah Al-Balad, ayat 4) 

Kehidupan adalah satu perjalanan yang getir dan dipenuhi kesukaran serta kesusahan. Pasti tidak ada manusia yang terlepas daripada merasa sedih berhadapan dengan kepayahan. Hakikatnya orang yang beriman lebih banyak menghadapi cabaran dunia berbanding orang lain.


Pernah satu ketika Nabi SAW ditanya: “Siapakah orang yang paling berat ujiannya? Maka Baginda menjawab: “Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka akan semakin keras ujiannya. Jika agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih daripada dosa.” (Riwayat Tirmizi) 


Berhibur rehat minda 

Justeru, manusia memerlukan perkara yang dapat merehatkan tubuh dan minda sehingga membuatkan mereka gembira, ketawa dan dapat bergurau senda. 

Antara bentuk hiburan yang dapat mencapai tujuan itu ialah nyanyian, gurauan, lawak jenaka atau apa saja yang boleh membuatkan seseorang ketawa dan menghilangkan kedukaan di hati. 

Islam adalah agama fitrah yang diturunkan untuk manusia. Kita tidak mampu untuk membayangkan bagaimana Islam boleh menghalang naluri manusia ketawa dan bergembira. Islam menerima semua perkara yang boleh menjadikan kehidupan itu lebih ceria dan bahagia. 
Islam juga mahukan orang Islam ceria dalam kehidupan. Teladan sebenar kita ialah Rasulullah SAW yang mana walaupun Baginda menghadapi pelbagai kerumitan, kesusahan dan kesedihan, Baginda tetap ada ruang untuk bergurau serta bersantai bersama sahabat. 

Sahabat menyifatkan Rasulullah SAW sebagai seorang manusia yang menyeronokkan dan kita dapat melihat sendiri melalui sirah bagaimana Rasulullah SAW bergurau dengan isteri Baginda serta mendengar cerita mereka. 

Rasulullah SAW suka membangkitkan keceriaan dan kegembiraan terutama dalam perayaan dan majlis perkahwinan. Ketika Abu Bakar mengherdik nyanyian dua orang hamba wanita di rumahnya serta ingin mengusir mereka pada satu hari raya, Rasulullah SAW bersabda kepada beliau, “Biarkan mereka berdua, ini adalah hari raya.” Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda, “Supaya orang Yahudi mengetahui bahawa agama kita mempunyai toleransi.” 

Rasulullah bergurau dengan wanita tua 

Pernah Rasulullah SAW bergurau dengan seorang wanita tua yang bertemu meminta Rasulullah SAW mendoakannya masuk syurga. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai ibu, syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua.” 

Lantas orang tua itu menangis kerana hanya memahami zahir daripada kata-kata Rasulullah SAW. Lalu Baginda menjelaskan kepadanya bahawa apabila dia masuk ke dalam syurga, dia tidak masuk dalam keadaan tua tetapi bertukar menjadi wanita muda yang cantik. 

Kemudian Rasulullah SAW membaca firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.” (Surah al-Waaqi'ah, ayat 35-37) 

Bergurau dan bergelak ketawa dengan penuh kegembiraan adalah sesuatu yang tidak dipertikaikan dari sudut keharusannya, tetapi perlulah dijaga batasannya. Antara syarat bergurau dan membuat lawak jenaka adalah tidak menjadikan pendustaan jalan untuk menjadikan orang lain ketawa. 

Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah bagi orang yang berdusta untuk berbicara untuk membuat satu kaum ketawa, celaka baginya, celaka baginya, celaka baginya.” (Riwayat Abu Daud) 

Jenaka tidak mengandungi celaan 

Jenaka itu tidak mengandungi celaan dan penghinaan kepada orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. 

(Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.” (Surah al-Hujuraat, ayat 11) 

Jangan pula jenaka itu menyebabkan ketakutan dan memberi kebimbangan kepada orang lain kerana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” (Riwayat Abu Daud) 

Jenaka itu bukan gurauan pada tempat yang serius dan saat yang diperlukan menangis. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan?” (Surah An-Najm, ayat 59-61) 

Bergurau dan ketawalah dengan kadar yang diterima oleh fitrah sejahtera. Islam menegah sikap berlebihan dan keterlaluan dalam semua perkara termasuk ibadah apatah lagi dalam soal bergembira, berhibur serta bergurau senda. 


Alangkah indahnya kehidupan jika kita bersandarkan kepada hikmah Al-Quran dan uswah hasanah Baginda SAW. 

Maka sikap orang yang mengaku berpegang pada agama dan memperjuangkannya tetapi wajah mereka sentiasa serius, muram dan sukar sekali melihat ukiran senyuman serta menganggapnya tuntutan agama adalah tidak tepat mengikut ajaran Islam sebenar. 



Credit: Ahmad Shukri Yusoff

No comments:

Post a Comment