Saturday 17 August 2013

Mufti Perlis ceritakan 5 jam tunggu rawatan di HUS



KUCHING 17 Ogos - Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya hari ini menceritakan bagaimana beliau yang menjadi mangsa rompak di rumahnya di Samariang di sini awal pagi semalam, terpaksa menunggu berjam-jam untuk menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Perkhidmatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) harus dipertingkatkan kerana ramai pesakit yang terpaksa menunggu hingga berjam-jam bagi mendapatkan rawatan.

"Saya sendiri terpaksa menunggu hampir lima jam di Bahagian Kecemasan hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan akhirnya hanya menerima panadol serta ubat luka," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Dr. Juanda meminta kerajaan menempatkan lebih ramai anggota polis di Balai Polis Gita di sini bersesuaian dengan peningkatan jumlah penduduk dan keluasan kawasan kawalan.

Dalam kejadian semalam, beliau mengalami detik-detik cemas apabila kediamannya di Samariang dirompak dua lelaki bersenjatakan pedang samurai, awal pagi semalam.

Beliau kerugian kira-kira RM50,000 selepas wang tunai serta pelbagai barangan kemas termasuk cincin perkahwinan dilarikan perompak.

No comments:

Post a Comment