Friday, 23 August 2013

Tiga waktu dilarang ziarah

Kunjungan pada awal pagi, tengah hari dan tengah malam tak sesuai kerana ia masa beristirahat

Pada bulan Syawal yang mulia ini, umat Islam masih dengan kehangatan menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Dalam keghairahan menyambut Syawal, pelbagai aktiviti disusun untuk memeriahkan sambutan seperti amalan berziarah, mengadakan kenduri, rumah terbuka dan sebagainya.
Amalan berziarah amat dituntut dalam Islam, apatah lagi dalam bulan Syawal sempena sambutan hari raya ini. Bahkan, Aidilfitri memberi peluang dan ruang yang luas untuk kita mempraktikkan ajaran Islam melalui konsep berkenalan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama Muslim.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim”.

Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

Oleh yang demikian, amalan ziarah bukan saja untuk mengeratkan hubungan sesama Muslim, tetapi ke arah pembentukan semangat perpaduan di kalangan umat Islam itu sendiri. 

Satu-satu kaum itu tidak dapat bersatu padu sekiranya tiada semangat perpaduan dan tidak wujud perasaan hormat-menghormati sesama Muslim atau bukan Muslim.

Nabi SAW menggambarkan bagaimana rapatnya hubungan antara individu Muslim dengan orang lain. Keimanan seorang Muslim itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dan tidak dapat dipisahkan dengan kasih sayang antara mereka. 
Jika tidak wujud kasih sayang antara anggota masyarakat, sudah pasti sukar untuk membentuk perpaduan yang kukuh. Malah, perasaan kasih sayang sesama Muslim akan mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama mereka.

Amalan ziarah dapat merapatkan hubungan yang renggang, mendekatkan yang jauh, mendamaikan antara individu yang bersengketa, mempertautkan kasih-sayang, mengikis perasaan benci dan menghilangkan segala hasad dengki.

Walaupun demikian, sudah menjadi lumrah anak dibiarkan oleh ibu bapa untuk menonton televisyen di rumah berbanding diajak bersama untuk menziarahi sanak saudara.

Sedangkan tindakan itu, bukan saja menjauhkan anak kita daripada mengamalkan sunnah Nabi SAW, malah secara tidak langsung merenggangkan hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain. 

Kurang ambil berat renggang hubungan

Bahkan menyebabkan anak-anak juga tidak memandang berat mengenai hubungan kekeluargaan serta menyisihkan diri daripada bergaul dengan orang lain.

Oleh itu, peranan ibu bapa amatlah penting bagi mendidik anak-anak supaya memandang berat soal hubungan silaturahim sesama ahli keluarga dan sanak-saudara.

Jika orang sihat pun disuruh untuk menziarahi apatah lagi orang yang sakit. Apabila amalan ini dipraktikkan, sudah pasti individu yang sakit itu akan merasakan bahawa dirinya diingati dan dihargai. 

Dengan lahirnya perasaan gembira di dalam hati pesakit sudah pasti boleh membawa kepada ketenangan jiwa dan cenderung kepada kesembuhan daripada penyakit yang dialami.

Bukankah banyak hadis Nabi SAW yang menceritakan mengenai galakkan untuk menziarahi orang yang sakit? 

Bukankah dengan berziarah kita sebenarnya menyempurnakan hak yang patut diperoleh oleh saudara kita?

Hayatilah hadis ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah ra, bermaksud: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima iaitu: menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan atau jemputan dan mendoakan orang yang bersin”.

Adab dalam memenuhi tuntutan ziarah

Dalam memenuhi tuntutan menziarahi, kita perlulah memelihara adabnya supaya pelaksanaan tuntutan itu sejajar dengan kehendak syariat. Antaranya, pertama: Meletakkan niat ziarah kerana Allah SWT untuk mengeratkan lagi hubungan, silaturahim tidak kira antara orang kaya ataupun miskin. 

Menghubungkan silaturahim itu adalah satu tuntutan dan mempunyai banyak kelebihannya. Dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Anas bin Malik ra berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim”.

Kedua, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah sama ada menziarahi orang sakit, jiran tetangga, adik-beradik atau sahabat handai. Elak daripada mengunjungi pada awal pagi, tengah hari dan tengah malam. 

Hal ini kerana pada kebiasaan waktu tersebut adalah waktu beristirahat atau persiapan untuk keperluan ahli keluarga. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 58:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah solat Isya’, itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).

Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) dan (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ketiga, apabila bertemu dengan tuan rumah, digalakkan untuk mendahului dengan mengucapkan salam dan seterusnya berjabat tangan dengan tuan rumah, dalam hadis riwayat Abu Daud, daripada al-Barra’ ra, Rasulullah bersabda:

“Tidaklah dari kalangan dua orang Islam yang bertemu, lalu berjabat tangan bersalaman kecuali kedua-dua mereka diampunkan dosa sehingga sebelum mereka berpisah”.

Keempat, bertanya khabar dan tidak bercakap perkara yang mencemarkan kesucian menyambut Aidilfitri sehingga menimbulkan rasa tidak senang orang yang dikunjungi. 

Kelima, memelihara diri daripada perlakuan dan tindakan yang tidak baik sewaktu menziarahi kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu atau tidak disenangi oleh tuan rumah.

Keenam, elakkan daripada bersikap sombong, riya’, takabbur dan bongkak. Sewajarnya perasaan bangga diri dan bersikap menunjuk-nunjuk kesenangan yang ada. 

Khutbah dipetik dari laman web Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

No comments:

Post a Comment