Monday, 26 August 2013

Keganasan agama kembali tercetus di Myanmar

photo_1373259918556-1-HD.jpg

YANGON 25 Ogos - Keganasan agama tercetus semula di Myanmar apabila sekumpulan perusuh anti-Islam di tengah Myanmar bertindak membakar premis perniagaan dan rumah-rumah penduduk Islam dalam konflik terbaharu di negara ini, kata polis hari ini.

Menurut pegawai polis wilayah, sebanyak 38 buah rumah, sembilan premis perniagaan dan sebuah kilang beras dibakar dalam kejadian malam tadi, yang bermula selepas seorang lelaki beragama Islam ditahan kerana disyaki cuba merogol seorang wanita Buddha di sebuah kampung di Kanbalu, wilayah Sagaing.



“Kira-kira 150 orang berkumpul di balai polis malam tadi dan meminta polis menyerahkan suspek. Apabila polis enggan berbuat demikian, mereka membakar kedai-kedai berhampiran.

“Kedai-kedai itu dipercayai milik penduduk Islam, tetapi kami masih cuba mengesahkannya. Perusuh dipercayai beragama Buddha dan berasal dari dua kampung berdekatan,’’ kata pegawai itu yang enggan dikenali.
Seorang jurucakap polis, Win Nyi berkata, sebanyak 12 anggota perusuh ditangkap dan dihantar ke pusat tahanan polis.



Saksi berkata, antara 500 dan 1,000 perusuh beragama Buddha membawa batang kayu dan pedang menyerang rumah penduduk Islam di kampung Htan Kone dan membakar beberapa bangunan.

Polis dan askar yang tiba pada waktu petang ke kawasan kejadian, bertindak melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan rusuhan.
Penduduk kawasan berkenaan berkata, beberapa orang penduduk Islam melarikan diri ke kampung berdekatan atau sekolah agama bagi mencari perlindungan ekoran kejadian itu.

 

Seorang penduduk beragama Islam, Saya Soe, 32, berkata, rumah-rumah sudah hangus terbakar apabila polis dan askar tiba ke kawasan kejadian.
“Perusuh hanya bersurai selepas pukul 12 tengah malam apabila pasukan keselamatan melepaskan empat atau lima das tembakan ke udara," katanya. - AFP/REUTERS

No comments:

Post a Comment