Google+ Followers

Monday, 12 August 2013

Surau dijadikan tokong: Pengusaha resort ditahan

Surau jadi tokong Seorang sami mengetuai upacara keagamaan dalam surau yang bergantungan bingkai ayat al-Quran di sebuah resort di Kota Tinggi.

JOHOR BAHRU 12 Ogos - Polis menahan seorang lelaki yang merupakan pengusaha resort di Sedili Besar, Kota Tinggi untuk membantu siasatan mengenai sebuah surau di premis tersebut yang dijadikan tempat ritual keagamaan oleh bukan Islam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 petang di resort berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, satu pasukan khas turut diwujudkan dan diketuai Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Ismail Yatim bagi menyiasat kes tersebut.

"Pada pukul 3.25 petang kelmarin, pihak polis telah menerima laporan daripada orang awam mengenai satu kejadian sebuah surau disalah guna oleh penganut agama lain dan ekoran laporan berkenaan, polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk membuat siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.