Saturday, 10 August 2013

Puasa Syawal kembali nostalgia

Kemeriahan menyambut Syawal yang mulia, marilah bermuhasabah kembali ibadat puasa yang dilaksanakan Ramadan ini. Kita perlu menghayati maksud sebenar hari raya dan sejauh mana Ramadan terkesan dalam kehidupan. 

Umat Islam perlu berusaha mengekalkan prestasi ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadan dalam bulan berikutnya supaya ia selari dengan matlamat khusus Ramadan. Apa yang jelas, tarbiah Ramadan terbukti mampu melahirkan manusia yang memiliki keperibadian tinggi.


Hari raya membawa kita kepada fitrah, kembali kepada kesucian. Kita memasuki Syawal dengan roh yang suci kerana telah dibersihkan selama sebulan pada Ramadan yang disudahi amalan mengeluarkan zakat fitrah bertepatan Aidilfitri atau disebut juga hari raya fitrah. 


Kembali kepada fitrah 

Kita juga kembali kepada fitrah penggunaan akal yang dikurniakan untuk berfikir perkara yang baik dan beramal salih. Ibnu Abbas juga mendefinisikan fitrah dengan agama Islam dan tauhid. Ini bererti fitrah manusia memang adalah untuk melakukan kebaikan seperti yang terkandung dalam agama Islam. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Fitrah Allah yang menjadikan manusia mengikut fitrah serta tiada perubahan kepada apa yang diciptakan. Itulah agama yang betul.” (Surah Rum, ayat 30) 

Ia juga membawa kita kepada petunjuk al-Quran yang diturunkan khas pada Ramadan. Amalan yang membuat syaitan putus asa ialah menjaga benteng hati, pendengaran dan penglihatan daripada dimasuki tipu daya syaitan. 
Kita mestilah melangkah serentak dengan terus melakukan ibadah di samping mengekalkan perkara berikut bagi mengekalkan istiqamah amal soleh selepas Ramadan antaranya, sentiasa memohon pertolongan Allah supaya terus diberi hidayah dan keteguhan iman. 

Allah sentiasa memuji serta menghormati orang yang sering berdoa supaya sentiasa diberikan hidayah. Firman Allah SWT bermaksud: “(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jugalah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 8) 

Sentiasa menghadiri majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah. Sabda Baginda SAW: “Keluarlah untuk menuntut satu bab daripada ilmu pengetahuan sesungguhnya ia adalah lebih baik daripada solat seribu rakaat.” 

Berusaha mengenali dan menghayati sejarah hidup sahabat, generasi selepasnya (tabii’n) dan orang salih kerana mereka adalah orang yang dapat melihat dan mendapat ilmu daripada Baginda SAW secara langsung. Mereka hampir dengan Allah SWT kerana sentiasa mendapat petunjuk Allah SWT. 

Menjaga dan memelihara solat lima waktu dan mengqada puasa Ramadan yang ditinggalkan, memperbanyakkan berzikir kepada Allah, beristighfar kerana ia amalan yang mudah dilakukan, mempunyai kelebihan besar serta dapat menguatkan dalaman kita. 

Melakukan taubat nasuha supaya tidak kembali kepada dosa lampau. Allah SWT sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. 

Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang istiqamah (berterusan atau konsisten) walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Oleh itu, amalan sunat berkaitan puasa yang masih terbuka untuk kita lakukan kebajikan dan amal soleh adalah puasa enam hari Syawal di mana fadilat atau keutamaannya sangat besar. 

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa berpuasa Ramadan, kemudian diiringi dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun.” (Riwayat Muslim) 



Kembali nostalgia Ramadan 

Mungkin kita terlanjur dengan melayan nafsu secara berlebihan ketika Syawal. Maka dengan puasa enam hari Syawal akan dapat mengembalikan nostalgia Ramadan serta dapat mengawal semula kerenah nafsu yang melonjak ketika Ramadan. 

Cara terbaik melakukannya ialah secara berturut-turut dan disegerakan dengan dimulakan pada hari kedua Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut. Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari Syawal diniatkan berserta puasa qada Ramadan. 

Diriwayatkan oleh Muslim, daripada Abi Qatadah, Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Puasa tiga hari pada setiap bulan, Ramadan ke Ramadan itulah puasa sepanjang masa.” 

Puasa tetap relevan dan menjadi fungsi utama mengawal hawa nafsu. Fitrah yang dianjurkan agama hendaklah dilaksanakan ketika sambutan hari raya. Perhatikan amalan anda selepas Ramadan bagi mengukur keberkesanan tarbiah Ramadan dilalui.





Credit: Zamanuddin Jusoh/NSTP

No comments:

Post a Comment