Wednesday, 28 August 2013

Orang beriman itu bersaudara



KEHIDUPAN di dunia ini ibarat suatu bangunan mengukuhkan antara satu sama lain. Umat Islam diseru supaya sentiasa bersatu dengan berpegang kepada tali Allah SWT iaitu dengan takwa dan keimanan yang kukuh.

Tanpa kekuatan iman dan perpaduan yang kuat, umat Islam dengan mudah akan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam.

Sikap benci-membenci dan juga berpecah-belah ini bukan sahaja melemahkan kekuatan ummah malah boleh menghancurkan perpaduan dan kekuatan Islam. Perpaduan dan kekuatan ummah ini mestilah dibina daripada keluarga yang bahagia, masyarakat yang sejahtera dan negara yang aman serta makmur.

Rasulullah SAW melarang beberapa sikap yang boleh membawa permusuhan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Sikap tersebut ialah dengki, menipu, benci-membenci, bermusuhan, menjual atas jualan orang lain dan menghina sesama Islam.

Malah adalah haram bagi seseorang Islam menjatuhkan maruah atau kehormatan saudaranya kerana perbuatan tersebut membawa keburukan kepada individu dan masyarakat Islam seluruhnya.

Berkaitan hal ini, sabda Nabi SAW yang bermaksud: Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, tidak menzalimi saudaranya dan tidak mengecewakannya (membiarkannya menderita) dan tidak merosakkannya (kehormatan dan nama baiknya). (riwayat Muslim).

Antara faktor yang boleh memecah-belahkan umat Islam termasuklah dengki (Al-Hasad). Benci-membenci (Al-Ghadab), berpaling muka, menipu (An-Najasyu) dan jual beli di atas jualan orang lain.

Al-Hasad ialah perasaan dengki, iri hati atau kurang senang dengan kelebihan orang lain atau berharap nikmat tersebut hilang dan berpindah kepadanya. Orang yang dengki berharap orang yang menerima nikmat mendapat bala.

Islam melarang umatnya berhasad dengki kerana hasad dengki akan menghilangkan segala amal kebajikan yang dilakukan. Nabi SAW bersabda: "Berwaspada terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu." (riwayat Abu Daud).

Selain itu, sifat ini boleh menimbulkan pergaduhan dalam kalangan orang Islam. Seterusnya, wujud suasana benci-membenci antara satu dengan yang lain. Akhir sekali, menyebabkan jiwa dan perasaan seseorang itu resah, tidak tenteram dan benci melihat kesenangan orang lain.

Benci-membenci pula ialah perasaan marah dan tidak menyenangi orang lain. Perasaan ini lahir daripada sifat angkuh dan sombong yang mendorong seseorang itu memfitnah, menghina dan menyakiti orang lain.

Sikap saling membenci sesama Islam mendatangkan akibat buruk terhadap individu dan masyarakat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Paling kuat tali hubungan keimanan ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah." (riwayat Ath Thabrani)

Islam turut melarang umatnya berpaling muka antara satu sama yang lain. Orang yang berpaling muka hidup mementingkan diri sendiri, tidak bertegur sapa, megah diri dan tidak menghiraukan orang lain sangat dibenci oleh Islam.

Perbuatan menipu dilarang kerana bersikap tidak jujur dalam menjalankan muamalat, sama ada melalui tutur kata atau tingkah laku. 

Perbuatan ini hanya bertujuan untuk menyusahkan orang lain. Sikap menipu juga akan menyebabkan orang lain menjauhkan diri dengan si penipu.

Jual beli di atas jualan orang lain dilarang kerana ia membatalkan suatu jualan atau pembelian orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Jual beli cara ini mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang lebih murah kepada pembeli yang sedang berurusan dengan penjual yang lain.

Orang Islam adalah bersaudara. Setiap orang mempunyai hak dan kewajipan terhadap saudaranya yang lain. Ini kerana setiap Muslim tidak boleh dizalimi, didustai, dihina dan sebagainya.

Oleh itu, sifat kasih sayang mesti dipelihara bagi mewujudkan ikatan persaudaraan yang teguh dalam kalangan orang Islam.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat-Nya. 

Peringatan ini seharusnya dijadikan pedoman dan panduan dalam kehidupan kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Barang siapa mengikuti Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah serta bertakwa, mereka itulah orang yang menang. (an-Nur: 52).


Credit: Dr Aminuddin Mansur

Ops Piramid II berjaya, 583 enggan pulang - MKN

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Seramai 2,796 daripada 3,379 rakyat Malaysia yang didaftarkan berada di Mesir berjaya dibawa pulang ke tanah air menerusi Ops Piramid II yang berakhir hari ini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, baki 583 rakyat Malaysia yang masih berada di negara tersebut adalah atas keinginan dan pilihan mereka sendiri.

Ops Piramid II yang bertujuan membawa keluar rakyat Malaysia di Mesir berikutan situasi keselamatan di negara tersebut telah berjaya dilaksanakan.

"Operasi ini yang bermula pada 21 Ogos dan berakhir pada hari ini merupakan satu usaha kerajaan bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Mesir terus diberi keutamaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamed Thajudeen, kesemua rakyat Malaysia yang terlibat dalam operasi itu dibawa balik menerusi 49 penerbangan menggunakan perkhidmatan 13 syarikat penerbangan.

Amerika, Syria di ambang perang

Amerika, Syria di ambang perangPemberontak melancarkan serangan balas terhadap tentera rejim ketika bertempur di Khanasser, kelmarin. - Foto AFP
Amman: Diplomat Amerika dan sekutunya sudah memaklumkan kepada pemberontak Syria bahawa Kuasa Barat boleh menyerang negara itu dalam tempoh beberapa hari saja lagi. 

Beberapa sumber yang menghadiri mesyuarat antara pemimpin pembangkang Syria dengan diplomat dari Washington serta kerajaan negara lain di Istanbul semalam berkata pemberontak diberitahu bahawa mereka boleh menjangka tindakan ketenteraan dan diminta bersedia untuk rundingan damai.


Pembangkang dimaklumkan bahawa tindakan untuk menghalang rejim Assad daripada terus menggunakan senjata kimia akan dilakukan seawal beberapa hari lagi dan mereka dikehendaki bersedia untuk mengadakan rundingan damai di Geneva, kata sumber itu. 


Sumber itu juga menyatakan Presiden Pakatan Kebangsaan Syria Ahmad Jarba menemui wakil daripada 11 negara yang menyokong pemberontak termasuk duta Amerika ke Syria, Robert Ford di Istanbul. 

Serangan gas beracun 

Pada masa sama, Setiausaha Pertahanan, Chuck Hagel, berkata tentera Amerika di wilayah itu sudah bersedia untuk menjalankan tugas ketika Washington bersama sekutunya di Eropah dan Asia Barat menyediakan rancangan untuk menghukum Presiden Bashar al-Assad didakwa melancarkan serangan gas beracun yang mengorbankan lebih 1,000 orang minggu lalu. 

Pemeriksa dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata mereka menemui bukti bahawa rejim Assad bertanggungjawab dalam serangan senjata kimia membabitkan gas saraf ke atas rakyatnya. 
Bagaimanapun tentangan daripada Russia dan China menyukarkan usaha untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa, pemimpin Barat mungkin menangguhkan rancangan itu. 

Perdana Menteri Britain David Cameron memanggil satu mesyuarat tergempar parlimen untuk membincangkan mengenai isu Syria esok. 

Beliau bersama Presiden Amerika, Barack Obama dan Presiden Perancis Francois Hollande berdepan persoalan sukar mengenai sejauh mana batas campur tangan, kemungkinan besar serangan udara akan berakhir dan sama ada mereka bersedia menyerahkan kuasa kepada pemisah Islam yang anti Barat jika Assad digulingkan. 

Pasaran saham merudum 

Sementara itu di Asia, pasaran saham merudum manakala harga minyak meningkat awal semalam disebabkan kebimbangan berlaku satu lagi peningkatan dalam perang di Syria yang sudah menjangkau 29 bulan. 

Bercakap di Washington dan sekutunya bersedia melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sasaran Syria, Setiausaha Negara Amerika, John Kerry, menuduh rejim Presiden Bashar al-Assad cuba menyembunyikan sesuatu. 





AFP/REUTERS

Tuesday, 27 August 2013

Idea gila Abott hina rakyat Indonesia

Jakarta: Seorang ahli perundangan kanan Indonesia semalam menyifatkan pelan calon yang diramalkan menang dalam pilihan raya Australia supaya membeli bot usang rakyat Indonesia bagi menyekat kebanjiran pemohon suaka ke negara itu sebagai gila. 

Tony Abott, yang mendahului Perdana Menteri Kevin Rudd, dalam tinjauan pendapat menjelang pilihan raya 7 September ini, mendedahkan pelan itu minggu lalu, berkata ia akan menghalang kapal kayu yang bocor jatuh daripada ke tangan penyeludup manusia.


Beribu-ribu pelarian mengharungi perjalanan melalui laut yang bahaya setiap tahun dari Indonesia dalam usaha tiba di Australia. Ramai yang maut apabila kapal karam. 


Tidak faham diplomasi 
Namun ketua suruhanjaya hal ehwal luar Parlimen Indonesia, Mahfudz Siddiq, berkata: Ini idea gila. Idea ini merendahkan dan menghina maruah rakyat Indonesia. Jelas Abbott tidak faham diplomasi atau kerjasama dua hala. 

Skim Abbott bernilai AUS$440 juta (RM1.3 bilion) termasuk pelan kerajaan membeli balik kapal selain sagu hati kepada warden Indonesia di 100 kampung bagi memberikan maklumat kepada Australia dan bayaran ganjaran bagi maklumat yang membawa kepada sabitan penyeludupan yang berjaya. 

Siqqid juga kritikal mengenai pelan Abbott untuk menggunakan penduduk kampung sebagai ejen. 


Indonesia bukan tanah jajahan Australia yang rakyatnya boleh dibeli untuk kepentingan negara lain, katanya. 

Beliau berkata, membeli bot daripada nelayan di pantai selatan Jawa, lokasi banyak bot pemohon suaka berlepas ke Australia akan memusnahkan kehidupan. 
AFP

Tentera, polis Mesir cabuli protokol Geneva

TINDAK-tanduk dan taktik serangan merupakan identiti kepada tentera atau pihak yang menyerang. Sepertimana seorang manusia dikenali identitinya melalui cara dia berinteraksi dengan manusia lain. Begitulah sekelompok tentera atau pihak yang menyerang dikenali, iaitu melalui cara mereka 'berinteraksi' atau taktik serangan mereka ke atas pihak yang diserang.

Sebagai contoh, sikap menghormati rumah ibadat dan strategi tidak menghapuskan tanaman telah menjadi identiti kepada tentera Islam semenjak zaman Rasulullah SAW.

Tentera Islam dikenali membawa rahmat dan keadilan, bukannya menghancurkan dan memusnahkan segala yang dimiliki pihak lawan.
Dalam penggempuran kejam yang berlaku pada 14 Ogos lalu di Medan Rabaah dan Nahdhah, pelbagai bentuk serangan telah berlaku.

Selain penembakan rambang dan penembakan spesifik menggunakan penembak tepat (sniper), taktik serangan yang juga dilakukan ialah taktik menghapuskan dan merosakkan atau scorched earth dan demolition.
Strategi scorched earth ialah penghapusan sebarang bentuk infrastruktur atau aset yang menjadi kekuatan pihak lawan.

Strategi itu dilaksanakan melalui pembakaran atau merobohkan (demolition) infrastruktur dan sumber (air/elektrik/perubatan) yang dijangka memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Strategi itu dilarang menurut salah satu protokol dalam Konvensyen Geneva 1977.

Hanya beberapa negara yang tidak mengikuti larangan ini antaranya Amerika Syarikat dan Israel disebabkan mereka tidak terikat dengan peraturan tersebut. Strategi itu amat kerap digunakan oleh mereka terutamanya dalam peperangan-peperangan yang terkini seperti yang terjadi ke atas Iraq, Afghanistan dan Gaza.

Strategi berkenaan juga telah digunakan oleh ramai pemerintah kejam seperti Stalin pada 1941, Hitler pada 1945 melalui Nero Decree dan yang terkini oleh Bashar Al-Assad di dalam perang sivil yang sedang berlaku di Syria.


Melampaui batas

Strategi ganas dan tidak berperikemanusiaan itu didapati digunakan oleh tentera dan polis di Mesir yang menyerang Medan Rabaah dan Nahdhah. Mereka melampaui batas apabila Masjid Rabaah Al-Adawiyah yang berada di Medan Rabaah juga turut dibakar hangus.

Perkara ini mengejutkan seluruh rakyat Mesir dan warga dunia. Yang pertama kerana ia merupakan salah satu strategi kejam yang hanya digunakan oleh tentera yang dikenali tidak berperikemanusiaan seperti tentera Israel.

Yang kedua kerana pada peristiwa ini, bukan rumah biasa yang dibakar. 

Mereka telah membakar rumah Allah, binaan yang mulia di atas muka bumi.

Hal ini mendedahkan betapa sebenarnya pasukan keselamatan di Mesir mempunyai kaitan dengan tentera-tentera lain yang menggunakan strategi kejam yang sama, khususnya Amerika Syarikat dan Israel.

Ini sama ada mereka menerima arahan langsung untuk bertindak sedemikian ataupun mereka telah dilatih untuk melakukan strategi yang sama ke atas umat Islam di Mesir.

Melalui penggunaan strategi ini, pasukan keselamatan Mesir telah meletakkan diri mereka pada baris yang sama dengan tentera dan pemerintah kejam yang lain di dunia ini, yang telah banyak melakukan kemusnahan dan bertindak kejam ke atas umat Islam.

Hal ini sepatutnya mengundang respons segera dan tindakan yang keras daripada seluruh warga dunia dan badan-badan hak asasi manusia yang bertaburan di pelbagai negara. Malangnya bukan itu yang berlaku.
Ternyata sesetengah negara dan badan yang kononnya memperjuangkan hak asasi tidak menyatakan sebarang pendirian keras terhadap kerajaan tidak sah yang berlaku kejam di Mesir.

Sikap double-standard dunia terhadap mereka yang berhimpun secara aman dan dizalimi serta dibunuh kejam di Medan Rabaah ini harus berakhir. Mereka harus disokong dan kerajaan pampasan kuasa Mesir harus segera didakwa dan dibicara.


Credit: SYED AHMAD ISRAA' SYED IBRAHIM

Rahsia di sebalik huruf basmallah

UCAPAN basmalah berasal daripada ayat yang berbunyi Bismi Allah ar-Rahman ar-Rahim. Ayat ini biasa diertikan 'dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang".

Basmallah merupakan satu daripada tiga bahagian al-Quran. Dua bahagian yang lainnya adalah surah al-Fatihah dan isi al-Quran itu sendiri secara keseluruhan yang berjumlah 113 surah, daripada surah al-Baqarah sehingga surah an-Nas.

Atas dasar pembahagian itu, maka ada mufassir dan ulama yang menyebut basmalah sebagai ayat tunggal. Jika surah al-Fatihah disebut oleh para mufassir dan ulama sebagai intisari al-Quran, maka basmalah disebut sebagai intisari al-Fatihah. Dengan demikian dalam ayat basmallah terkandung intisari al-Quran.

Setiap pekerjaan yang baik, sunat dimulai dengan membaca basmallah. Hal ini didasarkan pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: "Setiap perbuatan baik yang tidak dimulai dengan basmalah adalah kurang berkat."

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Apabila hamba-Ku memulai pekerjaannya dengan menyebut nama-Ku, maka menjadi kewajiban-Ku untuk menyempurnakan seluruh pekerjaannya serta Ku-berkati seluruh keadaannya."

Ada ulama yang berpendapat bahawa basmallah bukan bahagian daripada surah al-Fatihah, melainkan ayat tersendiri. Kerana itu, di Mekah dan Madinah, imam yang mengetuai solat tidak membaca basmallah ketika membaca al-Fatihah.

Pendapat itu didasarkan kepada riwayat Imam Malik bahawa para sahabat Nabi SAW tidak membaca basmallah ketika membaca surah al-Fatihah.

Pandangan serupa dikemukakan Imam Abu Hanifah yang menilai sahih beberapa hadis yang memberitakan bahawa Nabi SAW dalam mengerjakan solat tidak mendengar membaca basmallah.

Pandangan yang kemudian dianut secara rasmi oleh Mazhab Hanafi adalah bahawa basmalah boleh dibaca dalam solat tetapi tidak dengan suara nyaring.

Sebahagian ahli tafsir, seperti Ibrahim al-Biqa'i, menyatakan bahawa huruf-huruf dalam basmallah yang berjumlah 19 itu memiliki rahsia tersendiri.

Di antaranya adalah sebagai simbol penghindaran seseorang daripada ancaman para penjaga neraka yang menurut al-Quran jumlahnya 19 malaikat (rujuk al-Muddaththir: 30).

Dengan demikian, jika kita sering membaca basmalah, kita akan terhindar daripada azab neraka. Ucapan untuk menolak perkara yang buruk, iaitu la haula wa la quwwata illa bi Allah, juga terdiri daripada 19 huruf.

Ketika membaca surah-surah dalam al-Quran, dianjurkan untuk memulainya dengan basmallah, kecuali membaca surah at-Taubah.
Basmallah pada surah at-Taubah dibaca di tengah surah atau beberapa ayat setelah ayat pertama.

Hal ini kerana surah at-Taubah berisi kemarahan Tuhan dan pernyataan perang kaum Muslim terhadap orang-orang musyrik, sedangkan bacaan basmalah mengandung perdamaian dan cinta kasih Allah SWT.

Pendapat lain mengatakan bahawa para sahabat tidak dapat memastikan apakah surah at-Taubah merupakan surah tersendiri atau bahagian daripada surah al-Anfal.

Pemisahan yang kemudian dilakukan menjadi surah sendiri adalah hasil kompromi para mufassir ketika penyusunan mushaf Uthmani.

Mata kena cungkil

Beijing: Seorang kanak-kanak dicungkil matanya selepas dilapor diculik oleh seorang penyeludup organ.
Anggota keluarga menemui kanak-kanak berkenaan berlumuran darah tiga hingga empat jam selepas dia hilang ketika bermain di luar rumah.

Mata mangsa ditemui berhampiran tetapi korneanya hilang, menunjukkan seorang penyeludup organ bertanggungjawab terhadap serangan ngeri itu.
Polis menawarkan hadiah 100,000 yuan (RM52,800) kepada mereka yang dapat memberi maklumat hingga suspek, yang dipercayai wanita, dapat ditangkap.

“Mukanya berlumuran darah ketika ditemui. Matanya dicungkil,” kata bapa mangsa kepada Televisyen Shanxi.

Rakaman televisyen itu menunjukkan bahagian mata mangsa yang berbalut dibawa keluar dari bilik pembedahan dan ditempatkan di sebuah katil hospital, meraung kesakitan sementara anggota keluarganya menangis di sisi katil.
Foto
MANGSA (kiri) terlantar di hospital dengan matanya berbalut.
Budak itu didiberi dadah menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum penyerang mencungkil matanya, lapor stesen televisyen CCTV menerusi lamannya di Sina Weibo, versi Twitter China.

Budak itu bermain bersendirian di luar rumahnya apabila dia diculik petang kelmarin. Ibu bapanya menyedari dia hilang selepas memanggilnya untuk masuk ke rumah kira-kira jam 8 malam. Selepas dia tidak muncul, ibu bapanya melancarkan gerakan mencari dengan dibantu oleh sanak saudara lain dan akhirnya menemuinya di sebuah padang berhampiran, kira-kira tiga jam kemudian.
“Kami tidak menyedari matanya hilang apabila menemuinya. Kami menyangka dia jatuh dan cedera di muka,” kata bapa mangsa.

Kehilangan mata mangsa hanya diketahu apabila dia dirawat di hospital.

Perdagangan organ secara haram didorong oleh permintaan yang begitu banyak. Kira-kira 300,000 orang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan pemindahan organ sedangkan hanya 10,000 pembedahan dilakukan setiap tahun. - Agensi

2 lelaki capai kata sepakat kongsi isteri

Nairobi: Dua lelaki bermusuhan menandatangani satu perjanjian bertulis baru-baru ini untuk berkongsi seorang wanita yang sama-sama mereka cinta.
Perjanjian itu dibuat selepas wanita berkenaan enggan memilih seorang daripada mereka.
Kedua-dua lelaki itu baru-baru ini menyedari wanita terbabit menjalinkan hubungan sulit dengan kedua-dua mereka selama empat tahun. 
Bagaimanapun, masing-masing-masing enggan memutuskan hubungan dengan wanita berkenaan kerana tidak sanggup untuk berpisah dengannya.
Seorang daripada lelaki itu, Sylvester Mwendwa, ketika ditemui wartawan mengaku bersetuju berkongsi wanita itu dengan lelaki bernama Elijah Kirmani.
Menurutnya, mereka sama-sama mencintai wanita itu dan perjanjian berkenaan bertujuan untuk menjadi garis sempadan selain memastikan mereka tidak bergaduh.
“Wanita itu seperti pengadil. Dia akan menentukan sama ada dia akan tidur dengan saya atau Kirmani,” kata Mwendwa.
Kedua-dua lelaki itu akan membiayai kehidupan wanita itu dan anak yang akan dilahirkan pada masa depan.
“Kami akan membesarkan anak dilahirkannya seperti anak kami, tidak kiralah siapa bapanya sebenar,” katanya.
Di Kenya, poligami dibenarkan. Begitu juga dengan poliandri (wanita dua suami). Tetapi ia jarang berlaku. - Agensi

Monday, 26 August 2013

Profesor mati dipukul isteri dengan koleh

Tokyo: Seorang suri rumah memukul suaminya yang berusia 70 tahun hingga mati dengan koleh kopi selepas mendapat tahu lelaki itu bermain kayu tiga.
Akhbar Asahi Shimbun melaporkan, wanita berusia 61 tahun itu menyerang pasangannya selepas mendapat tahu lelaki terbabit mempunyai hubungan sulit, memukulnya berulang kali di muka dan kepala dengan koleh di kediaman mereka di barat daya Tokyo tengah hari kelmarin. 
Yasuo Hirose, yang juga profesor kehormat di Universiti Kebangsaan Yokohama dikejarkan ke hospital tetapi kemudian disahkan meninggal dunia. 

“Dia ada hubungan sulit dengan wanita yang saya benci,” kata Emiko Hirose kepada polis.

“Saya berang dan memukulnya lebih 10 kali dengan koleh,” katanya.

Emiko kemudian ditahan atas tuduhan membunuh tanpa niat. - AF
P

AS bersekongkol gulingkan Mursi

AS bersekongkol gulingkan Mursi

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) akhirnya membuat pengakuan menerusi majalah The Week bahawa mereka berkomplot dalam rampasan kuasa tentera ke atas bekas Presiden Mesir digulingkan, Mohammed Mursi.

Dipetik laporan AP, majalah yang turut memaparkan gambar Jeneral Abdul Fatah Al-Sisi Al-Sisi dengan tajuk “Our Man in Cairo - Should US cut off aid to Egypt military?” itu turut menyiarkan kenyataan AS menyokong tentera walaupun sebelum ini mereka tidak mengiktiraf penggulingan Mursi secara rasmi.

AS yang merupakan dalang di sebalik pergolakan di Mesir kini dilihat cuba berselindung di sebalik gesaan supaya Mursi dibebaskan.

Sebelum ini, Washington turut mengenakan tekanan ke atas Mursi supaya membawa pembaharuan dalam sektor dan sistem demokrasi selepas pelantikan beliau pada tahun lalu

Dalam satu kenyataan lain, jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki memaklumkan mereka menghormati keputusan mahkamah membebaskan bekas Presiden Hosni Mubarak yang turut menerima sokongan kuat AS sepanjang 30 tahun pemerintahannya.

Keganasan agama kembali tercetus di Myanmar

photo_1373259918556-1-HD.jpg

YANGON 25 Ogos - Keganasan agama tercetus semula di Myanmar apabila sekumpulan perusuh anti-Islam di tengah Myanmar bertindak membakar premis perniagaan dan rumah-rumah penduduk Islam dalam konflik terbaharu di negara ini, kata polis hari ini.

Menurut pegawai polis wilayah, sebanyak 38 buah rumah, sembilan premis perniagaan dan sebuah kilang beras dibakar dalam kejadian malam tadi, yang bermula selepas seorang lelaki beragama Islam ditahan kerana disyaki cuba merogol seorang wanita Buddha di sebuah kampung di Kanbalu, wilayah Sagaing.



“Kira-kira 150 orang berkumpul di balai polis malam tadi dan meminta polis menyerahkan suspek. Apabila polis enggan berbuat demikian, mereka membakar kedai-kedai berhampiran.

“Kedai-kedai itu dipercayai milik penduduk Islam, tetapi kami masih cuba mengesahkannya. Perusuh dipercayai beragama Buddha dan berasal dari dua kampung berdekatan,’’ kata pegawai itu yang enggan dikenali.
Seorang jurucakap polis, Win Nyi berkata, sebanyak 12 anggota perusuh ditangkap dan dihantar ke pusat tahanan polis.



Saksi berkata, antara 500 dan 1,000 perusuh beragama Buddha membawa batang kayu dan pedang menyerang rumah penduduk Islam di kampung Htan Kone dan membakar beberapa bangunan.

Polis dan askar yang tiba pada waktu petang ke kawasan kejadian, bertindak melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan rusuhan.
Penduduk kawasan berkenaan berkata, beberapa orang penduduk Islam melarikan diri ke kampung berdekatan atau sekolah agama bagi mencari perlindungan ekoran kejadian itu.

 

Seorang penduduk beragama Islam, Saya Soe, 32, berkata, rumah-rumah sudah hangus terbakar apabila polis dan askar tiba ke kawasan kejadian.
“Perusuh hanya bersurai selepas pukul 12 tengah malam apabila pasukan keselamatan melepaskan empat atau lima das tembakan ke udara," katanya. - AFP/REUTERS

Sunday, 25 August 2013

Kenapa Kita Perlu Bersenam atau berolah raga

Image di atas diambil dari: Medimanage.com
Selalu kita dengar di tv dan di surat khabar mewarwarkan senaman sebagai gaya hidup sihat yang digalakkan oleh kerajaan dan institusi kesihatan. Tapi, betul ke kita faham kepentingan bersenam kepada diri kita? sesetengah orang berpendapat bahawa melakukan senaman tidak penting apabila berat badan unggul telah diperoleh, namun adakah ini betul?

Sebagaimana yang telah kita ketahui, orang ramai pada hari ini semakin sibuk dengan aktiviti harian mereka yang begitu mendatangkan tekanan (stres). Stres menyebabkan badan kita bertindakbalas meningkatkan kandungan gula dan lemak dalam darah, seterusnya menyebabkan banyak kesan negatif. Tekanan yang dialami pada masa yang singkat boleh mengakibatkan sakit kepala dan otot terutamanya di bahagian leher. Oleh sebab itu, kita merasa kekejangan otot di bahagian leher apabila berasa terlalu tertekan. Tekanan yang berpanjangan pula boleh menyebabkan banyak kesan kepada seseorang antaranya ialah kecenderungan kepada cirit birit yang berulang, aterosklerosis (pengerasan dinding salur darah), bertambah atau berkurangya selera makan, dan hipertension (darah tinggi). Masalah masalah ini berupaya mendatangkan penyakit lain yang lebih serius seperti sakit jantung, ischemia (kurang pengaliran darah di bahagian bahagian tertentu pada badan), dan aneurysma (salur darah mengembang dan berkemungkinan untuk pecah meletup menyebabkan pendarahan dalaman).


Image di atas diambil dari: i.telegraph.co.uk

Pada zaman dulu, manusia menggunakan tulang empat kerat mereka untuk menghadapi situasi stres seperti dikejar harimau, atau kekurangan makanan. Tapi pada hari ini lain, kebanyakan situasi stres yang dialami masyarakat tidak memerlukan aktiviti fizikal sebagai gerak balas. Misalnya, seorang pekerja kilang selalu dimarahi majikannya, namun dia tidak boleh menggunakan fizikalnya untuk menghadapi situasi stres yang dialaminya, sebaliknya dia di-expect untuk bersabar dan berdiam, bukan macam zaman dulu dulu, apabila orang dimarahi, mudah sahaja mereka bertumbuk dan bergaduh. Disebabkan stres pada masyarakat kita pada hari ini tidak dapat disalurkan kepada aktiviti fizikal, ia boleh mendatangkan kesan negatif pada badan.

gambar diatas dambil dari: blog.80millionmoviesfree.com

Bersenam dapat mengurangkan  kesan kesan stres terhadap badan apabila badan diarahkan untuk menggunakan gula dan lemak yang telah disediakan oleh badan untuk menghadapi situasi stres. Degan aktiviti senaman yang dilakukan, kita boleh mengurangkan kandungan gula dan lemak larut dalam darah seterusnya mengelakkan enapan lemak dan kolesterol dalam salur darah. Aterosklerosis (dinding salur darah yang mengeras dan tersumbat) dapat dielakkan dengan cara ini.

Bersukan juga berupaya menjadikan individu periang dan ceria sepanjang hari. Apakah??

Dengan bersukan, badan akan menghasilkan sejenis 'precursor hormone' sejenis protein dalam darah yang bernama preopiomelanocortin. Bahan ini ditukarkan oleh badan kepada endorphin, sejenis molekul yang bertindak sebagai bahan yang membawa ketenangan dalam fikiran dan jiwa seseorang setelah melakukan aktiviti senaman. Sebab itu lah, kita dapat merasakan keceriaan berpanjangan apabila kita melakukan senaman secara konsisten. Cuba tengok kawan kawan kita yang banyak sukan tu, happy jek sepanjang masa betul tak?

Ceria sepanjang hari
image dari: www.credit-aid.com
Selain itu, terdedah di bawah cahaya matahari dapat merangsang sejenis reseptor di dalam mata yang mengesan cahaya ultra ungu (UV light). Reseptor ini menghantar impuls ke bahagian otak bernama suprachiasmatic nuclei, dan seterusnya ke bahagian otak yang lain. Apabila otak mengesan kewujudan cahaya ultra ungu ini, otak akan menghasilkan sejenis hormon bernama serotonin yang dapat membawa rasa gembira ke dalam minda seseorang. Kekurangan cahaya matahari yang dialami oleh banyak warga eropah terutamnya di Norway telah mangakibatkan gejala kemurungan yang amat tinggi, seterusnya meningkatkan kes bunuh diri di negara negara tersebut.


Mungkin ada orang tanya: Saya ada sakit jantung dan berat badan, baik ke bersukan ni untuk saya?

Individu yang telah sedia menghidap penyakit jantung juga mendapatkan banyak manfaat daripada aktiviti senaman. Untuk individu yang menghidap aterosklerosis, bersenam dapat meingkatkan colaterals (bertumbuhan arteri baru) ke jantung seterusnya mengurangkan kebergantungan jantung pada arteri lama yang telah tersumbat. Ini terhasil sewaktu bersukan kerana sewaktu bersukan jantung memerlukan tenaga yang lebih banyak dan aliran darah yang lebih banyak. Oleh sebab arteri yang sedia ada tidak mencukupi untuk membekalkan banyak darah, jantung mengalami hypoxia (kekurangan oksigen untuk menghasilkan tenaga). Jantung seterusnya menghasilkan hormon VEGF (vascular endothelial growth factor) yang megarahkan pertumbuhan salur darah baru ke jantung. Oleh sebab salur darah baru terbentuk, risiko mengalami infarct (tisu jantung mati kerana terputus bekalan darah) dapat dikurangkan kerana salur darah baru yang dihasilkan berjaya mengekalkan bekalan darah ke jantung.

Tapi saya rasa malas nak bersukan =P

Rasa malas nak bersukan memang susah hendak dihilangkan. Saya juga mengalami masalah yang sama. Namun setelah berfikir panjang, saya telah menemui jalannya! Dengan memulakan dengan senaman yang ringan dan sekejap namun konsisten sepanjang minggu. Contohnya dengan berjalan kaki selama 15 minit di waktu petang atau waktu lapang yang lain, atau boleh juga mengayuh basikal excercise (basikal dalam rumah) atau basikal sebenar selama perlahan lahan selama 15 minit. Setelah berjaya melakukan aktiviti ini secara konsisten, kita boleh meningkatkan intesiti senaman kita dengan berjoging atau mengayuh lebih laju.


Credit: darahtinggi1001.blogspot.com