Sunday 9 December 2012

Bekas Buruh Paksa (Jepun 1942-1945) Tuntut wang pampasan



Tuntut wang pampasan
Ahli Persatuan bekas buruh dan warisan buruh binaan landasan keretapi Siam-Burma (1942- 1946) merayu kerajaan memberi tindak balas terhadap tuntutan wang pampasan.
KOTA BHARU - Persatuan bekas buruh dan warisan buruh binaan landasan keretapi Siam-Burma (1942-1945) merayu pihak kerajaan agar memberi tindak balas terhadap tuntutan wang pampasan yang dilakukan.

Setiausahanya, Mohd Sattar Harun berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Kementerian Sumber Manusia dan Pejabat Perdana Menteri pada 19 November lalu.

“Namun sehingga sekarang ia sepi tanpa khabar berita dan kami mewakili persatuan berharap agar usaha tersebut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya ketika ditemui semasa mesyuarat agong kedua persatuan tersebut di sini, semalam.

Menurutnya, tuntutan tersebut sudah lama diusahakan namun sehingga sekarang mereka tidak diberi kata putus.

Beliau berharap agar pihak kerajaan tidak menghampakan hasrat mereka dan mengambil berat terhadap bekas-bekas buruh serta waris yang terlibat.

Mohd Sattar berkata, setakat ini persatuan tersebut mempunyai 3,904 orang ahli yang mendaftar di seluruh negara.

“Kelantan mempunyai ahli paling ramai iaitu 2,731 orang manakala Terengganu 964 dan selebihnya di negeri-negeri lain,” katanya.

Kata Mohd Sattar, pihak persatuan masih membuka pendaftaran kepada mereka yang masih belum melakukannya dan berharap bekas buruh serta ahli keluarga mereka dapat tampil memberikan maklumat terperinci kepada persatuan.
   
Credit: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

No comments:

Post a Comment