Google+ Followers

Sunday, 9 December 2012

Pemimpin kena pikul amanah rakyat

Individu rasai tidak layak laksana tugas lebih baik undur diri

Imam al-Mawardi dalam kitabnya yang masyhur al-Ahkam as-Sulthaniyyah mendefinisikan al-imam atau pemimpin sebagai pengganti Rasulullah SAW untuk menjaga dan memimpin dalam urusan berkaitan keagamaan serta keduniaan. 


Berdasarkan definisi Al Mawardi, tugas pemimpin adalah suatu amanah, bukan pangkat untuk dimegahkan. Apabila dikaitkan dengan amanah bererti kepemimpinan itu akan disoal oleh Allah SWT. 


"Dengar dan taatlah kepada pemimpin Muslim dalam hal yang engkau sukai atau tidak, selama dia tidak memerintahkan engkau untuk menderhakai Allah. (Apabila dia menyuruhmu menderhakai Allah) maka janganlah engkau dengar dan jangan pula engkau patuhi perintahnya" - Riwayat al-Bukhari


Sabda Baginda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, katanya: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Seorang ketua negara akan diminta pertanggungjawaban perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang mengurus rumah tangga akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu atau pekerja yang bertugas memelihara barangan milik majikannya juga akan ditanya perihal yang dipimpinnya. Dan kamu sebagai pemimpin akan ditanya (diminta pertanggungjawaban) atas kepemimpinannya’.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Oleh kerana beratnya tanggungjawab seseorang pemimpin terutama pemimpin peringkat negara, maka Rasulullah SAW seperti hadis daripada Abdur Rahman bin Samurah, katanya: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: ‘Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu’.” (Riwayat Muslim) 

Selain itu, Baginda SAW juga banyak memberi amaran yang ditujukan kepada pemimpin, antaranya sabda Baginda: “Sesiapa yang diserahkan oleh Allah akan sesuatu urusan daripada beberapa urusan pemerintahan kaum Muslimin, lalu ia tidak mempedulikan keperluan, kesusahan dan penderitaan mereka. Nescaya Allah tidak akan mempedulikan keperluan, kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat nanti.”

Seterusnya sabda Baginda SAW: “Akan lahir selepas aku beberapa pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan yang melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh kamu. Sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah apakah yang engkau hendak perintah di kalangan kami ini sekiranya terdapat perkara seperti itu?’ Baginda SAW menjawab: “Hendaklah kamu menunaikan tanggungjawab kamu dan memohon kepada Allah segala hak-hak yang kamu perlukan.” 
Sekarang ini, banyak diperkatakan mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 mengenai calon pemimpin. Oleh itu, pemimpin hendaklah ingat pesanan Rasulullah SAW dan ingatlah bahawa pelantikan kita sebagai pemimpin bukan disebabkan undi yang diberikan rakyat kepada kita. Hakikatnya, pelantikan kita adalah ketentuan dan takdir yang ditetapkan Allah SWT buat kita. 

Kitab suci al-Quran menyebut sebanyak 12 kali perkataan al-imam atau pemimpin dengan sebutan yang berlainan tapi membawa maksud kepemimpinan. 

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah (setelah itu) berfirman: Sesungguhnya Aku menjadikanmu imam bagi seluruh manusia. Ibrahim berkata: (Dan saya mohon juga) daripada keturunanku. Allah berfirman: Janji-Ku (ini) tidak berlaku untuk orang zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 124) 

Bagi yang ingin menjadi pemimpin, Nabi SAW adalah contoh teladan terbaik. Baginda telah melalui semua pengalaman sebagai pemimpin, bermula sebagai pemimpin rumah tangga seterusnya pemimpin dalam masyarakat sehingga digelar al-Amin.

Kemuncaknya Baginda SAW pernah melalui pengalaman sebagai Ketua Negara Madinah. Keseluruhan perjalanan hidup Baginda SAW boleh dicontohi terutama dalam menjalani liku-liku kehidupan sebagai seorang pemimpin di semua peringkat.

Seterusnya dalam konteks sebagai manusia yang dipimpin, kita semestinya berusaha menjadi rakyat yang taat setia kepada pemimpin dalam semua perkara selagi mana pemimpin itu tidak mengajak ke arah kemungkaran dan kemaksiatan.

Baginda SAW mengingatkan manusia yang dipimpin menerusi hadis daripada Ibnu Umar yang bermaksud: “Dengar dan taatlah kepada pemimpin Muslim dalam hal yang engkau sukai atau tidak, selama dia tidak memerintahkan engkau untuk menderhakai Allah. (Apabila dia menyuruhmu menderhakai Allah) maka janganlah engkau dengar dan jangan pula engkau patuhi perintahnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Islam sejak awal-awal lagi telah meletakkan garis yang jelas berhubung dengan kepemimpinan dan insan yang dipimpin. Individu yang layak memimpin sewajarnya dilantik sebagai pemimpin tetapi individu yang tidak layak sebaiknya mengundur diri dan reda dengan ketentuan Ilahi serta bersedia menjadi pengikut setia kepada pemimpin.


Credit: Asri Md Saman @ Osman IPG, Kampus Darul Aman, Jitra, Kedah.