Google+ Followers

Friday, 7 December 2012

Menjadi spesies terbaik di dunia


TAHUKAH anda berapa banyak spesies terkandung dalam lautan sedunia?
Menurut angka terbaru yang tersiar dalam jurnal Current Biology dalam talian, jumlahnya hinggakan sejuta - daripada krustasia terkecil kepada paus terbesar.
Anggaran itu disokong World Register of Marine Species, satu pangkalan dalam talian mengenai spesies marin di seluruh dunia.
Daripada angka sejuta itu, cuba teka berapa banyak spesies ditemui dan dikaji sejauh ini?
Cuma 226,000 atau kurang suku.
Memang spesies baru sering ditemui tanpa henti. Bagi ketam saja, misalnya, 50 sehingga 60 spesies baru ditemui setiap tahun.
Maksudnya, jika anda ada hati menemui spesies baru dan menamakannya dengan nama anda, peluang masih terbuka luas! Bayangkan ketam bernama 'Al-Ketam Rahman Basrun'!
Masalahnya, banyak bahagian dunia belum dapat diteroka, misalnya di dasar laut yang begitu gelap dan besar tekanannya.
Nak sampai ke sana saja memerlukan kepakaran tinggi dan peralatan yang begitu mahal dan istimewa.
Itu baru jumlah hidupan dalam lautan. Bagaimana pula jumlah hidupan di seluruh dunia, baik di darat mahupun di udara?
Alahai, sukar menelaahnya.
Anggaran saintis berbeza-beza.
Namun, satu laporan dalam jurnal PLoS Biology menyatakan jumlah spesies sedunia kira-kira 8.7 juta.
Angka itu berdasarkan kaedah yang dikatakan paling tepat setakat ini oleh para saintis.
Itu pun tidak termasuk bakteria dan beberapa jenis mikrorganisme.
Yang menarik, daripada 8.7 juta spesies itu, hanya kurang 2 juta spesies telah dinamakan dan digolongkan dalam masa dua setengah abad yang lalu.
Nak menggolongkan kesemuanya - satu bidang digelar taksonomi - akan mengambil masa lebih 1,000 tahun lagi jika menggunakan kaedah sedia ada!
Ia sejajar ayat 109 Surah Al-Kahf - bahawa seluruh air lautan jadi dakwat pun tidak cukup menuliskan ayat-ayat atau ilmu Maha Pencipta.
Secara kasar, terdapat kira-kira 80,500 spesies haiwan jenis vertebrat (ada tulang belakang) - reptilia berjumlah 10,000 spesies, mamalia 5,500, unggas 10,000, amfibia 15,000 dan ikan 40,000.
Bagi haiwan invertebrat (tanpa tulang belakang) pula, serangga 5 juta spesies, araknik 600,000, moluska 200,000, krustasia 150,000, ekinoderma 14,000 dan lain-lain 791,830 - kesemuanya berjumlah 6,755,830.
Tumbuh-tumbuhan pula berjumlah 390,800 spesies - tumbuh-tumbuhan berbunga (angiosperma) 352,000, konifer (gimnosperma) 1,050, tumbuhan tidak berbunga (fern) 15,000 dan lumut (mosses) 22,750.
Sistem taksonomi yang rata-rata masih digunakan hari ini telah dibangunkan oleh ahli biologi Sweden, Carl Linnaeus, pada 1758.
Sistemnya itu menggolongkan spesies ke dalam genus, kemudian family (keluarga), kemudian order, kemudian class (kelas), kemudian phylum dan akhirnya kingdom.
Cendekiawan Islam Al-Jahiz dalam abad kesembilan pula telah secara saintifik menggolongkan haiwan secara teratur - bermula dengan yang paling mudah kepada yang paling rumit - dalam karyanya, Kitab Al-Hayawan, yang turut mengandungi bibit-bibit teori tentang evolusi sebelum Darwin lagi.
Begitulah ketelitian Allah swt dalam mencipta makhluk-Nya, bukan secara rambang, tetapi menurut struktur dan susunan yang pasti.
Bak firman-Nya dalam ayat 38 Surah Al-An'am:
"Tidak seekor binatang yang melata di bumi dan tidak seekor burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan (ia juga) umat seperti kamu."
Tiada satu pun diciptakan-Nya secara sia-sia; kesemuanya untuk manfaat manusia - termasuk sebagai sumber makanan, ubat, pengangkutan (kuda) dan riadah (kucing).
Yang mengagumkan, setiap jenis hidupan dalam alam ini berzikir kepada-Nya (ayat 44 Surah Al-Isra).
Dalam hadis riwayat Imam Bukhari, Abu Hurairah ra menukil sabda Nabi Muhammad saw:
"Ada seekor semut pernah menggigit seorang nabi, maka dia memerintahkan agar didatangi sarang semut, lalu dibakarlah sarang itu. Allah menurunkan wahyu kepada nabi itu: "Apakah kerana seekor semut menggigitmu, kamu membinasakan salah satu umat yang sentiasa bertasbih kepada Allah?"
Bezanya, manusia memiliki akal dan mampu membuat keputusan sendiri, sementara haiwan pula mengikuti rasa naluri mereka.
Lantaran itulah, haiwan terlepas daripada perhitungan di akhirat nanti dari segi dimasukkan ke syurga atau neraka.
Persoalannya, kita dijadikan sebagai spesies yang sebaik-baiknya (ayat 4 Surah At-Tin).
Namun, adakah kita menggunakan akal kelebihan kita itu dengan sebaik-baiknya - atau bertindak setakat menuruti naluri binatang?

Credit: http://cyberita.asia1.com.sg/