Friday 14 December 2012

Lima sifat perosak iman punca kufur

Iman asas berdirinya peribadi mukmin. Ia umpama pokok dan iman ialah tunjang bagi menjamin kekuatan pokok itu. Iman boleh diibaratkan seperti sebuah rumah di mana iman ialah tapak yang menjadikan rumah berdiri dengan teguh. 

Amal soleh serta kewajipan yang ditunaikan adalah isi rumah sebagai pelengkap kepada binaan itu. Perkara sunat yang dilakukan akan menambahkan koleksi kecantikan supaya ia tersergam indah menjadi tarikan mata yang memandang sehingga menjadi impian setiap insan memilikinya. 


Namun, segala kekuatan dan kecantikan akan pudar dengan amalan maksiat seterusnya meruntuh serta membinasakan binaan itu. 


Begitulah perumpamaan iman dalam jiwa Muslim yang perlu dibaja setiap masa. 

Rukun Iman adalah kekuatan yang dimaksudkan, namun rukun yang menyebabkan manusia menjadi kufur mesti dikenal pasti dan diingati supaya kita sentiasa berwaspada terhadap amalan meruntuhkan keimanan. 


Sifat merosakkan iman 

Penyakit yang sudah dikenal pasti sebagai virus perosak kepada keimanan adalah: 
l Sombong (Kibr), amalan iblis sejak turun temurun yang menyebabkan ia diisytiharkan kafir oleh Rabbul Jalil. Firman Allah SWT: “Apakah yang menghalangmu daripada sujud kepada Adam? Iblis menjawab, Aku adalah lebih baik darinya kerana aku diciptakan daripada api dan Adam diciptakan daripada tanah yang kotor.” (Surah al-A’raf, ayat 12) 

l Kedegilan (I’nad) yang menyaksikan Firaun menolak kebenaran seruan Nabi Musa. Akhirnya kedegilan ini meletakkan Firaun ke peringkat mengisytiharkan dirinya sebagai Tuhan. Kematian yang menyakitkan dihadapi Firaun ketika tenggelam dan akhirnya mengaku kenabian Musa selepas nyawa berada di penghujung ternyata sudah terlewat. 

l Nifaq (perbuatan orang munafik) yang menyembunyikan permusuhan mereka terhadap agama di sebalik kata-kata manis yang diucapkan. Kelakuan mereka juga berbeza daripada apa yang dipamerkan di khalayak. 

Dua bahagian nifaq iaitu besar (Akbar) dan kecil (Asghar). Nifaq Akbar dikaitkan dengan aqidah di mana seseorang menyembunyikan kekafirannya. Nifaq Asghar pula dikaitkan dengan akhlak dan kelakuan. 


Tak diampun dosa 

Syirik yang meletakkan kuasa lain mengatasi kekuasaan Allah SWT. Syirik adalah sebesar-besar dosa di sisi Allah SWT dan tidak akan di ampunkan dosanya. 

Syirik juga merangkumi kepercayaan adanya sesuatu yang boleh memberi pengaruh selain Allah SWT di alam ini, baik berupa bintang, jin, arwah atau hantu serta mempercayai bomoh dan pendusta. Syirik moden hari ini lebih berbahaya apabila mengagungkan manusia atau ideologi bercanggah dengan Allah SWT dan Rasul-Nya. 

l Derhaka terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya dengan meninggalkan segala perintah dan melakukan larangan tanpa segan silu. Mereka akan mendapat ancaman berat daripada Allah SWT kerana perbuatan itu. 

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah SWT menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: Wahai fulan, semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah SWT menutupi dosa itu semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Lima penyebab manusia kufur 

Kelima-lima perkara itu berkeupayaan besar membawa manusia menjadi kufur semula selepas mereka beriman. 

Oleh itu, kita mesti mencari satu alternatif untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dengan menyuburkan keimanan sehingga menjadi satu kemanisan. 

Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara, barang siapa yang tiga perkara itu ada pada dirinya, ia akan dapat kemanisan iman: Menjadikan Allah SWT dan Rasul-Nya yang paling ia cintai daripada yang lainnya, mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana Allah SWT dan membenci untuk kembali kepada kekafiran selepas Allah SWT menyelamatkannya seperti ia membenci untuk dilemparkan ke neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).


 Credit: Zamanuddin Jusoh/NSTP.

No comments:

Post a Comment