Friday 14 December 2012

Lelaki mengamuk cedera 22 murid di China

Beijing: Seorang lelaki bersenjatakan pisau mencederakan 22 kanak-kanak dan seorang dewasa di luar sebuah sekolah rendah di tengah China, semalam. 

Kejadian berlaku ketika pelajar tiba dan masuk ke kelas dalam serangan terbaru di sekolah dan tadika negara itu. 

Serangan di perkampungan Chengping, wilayah Henan, berlaku menjelang jam 8 pagi, kata pegawai polis daerah Guangshan. 


Penyerang, Min Yingjun, 36, penduduk kampung kini dalam tahanan polis, kata pegawai yang enggan dikenali. 

Seorang pentadbir hospital Guangshan berkata, Min mula-mula menyerang seorang wanita tua dan seterusnya pelajar sebelum ditahan pengawal keselamatan. 

Katanya, tiada kematian di kalangan sembilan pelajar yang dirawat, walaupun dua pelajar yang parah dipindahkan ke hospital lebih baik di luar daerah. 

Seorang doktor di hospital perubatan China di Guangshan berkata, tujuh pelajar dirawat tetapi tiada yang tenat. 
Tidak jelas usia kanak-kanak terbabit, namun murid sekolah rendah di China biasanya berumur antara enam hingga 11 tahun. 

Satu notis dihantar di laman web pihak berkuasa Guangshan mengesahkan jumlah mangsa dan berkata satu pasukan maklum balas kecemasan ditubuhkan untuk menyiasat serangan. 

Tiada motif diberi untuk serangan itu, yang menyamai beberapa siri serangan sama ke atas murid sekolah pada 2010 yang mengorbankan hampir 20 dan mencederakan lebih 50 orang. 

Serangan terbaru seperti itu berlaku Ogos lalu, apabila seorang lelaki bersenjatakan pisau memecah masuk ke sebuah sekolah menengah rendah di bandar selatan Nanchang dan menikam dua pelajar sebelum lari. 

Kebanyakan penyerang mempunyai masalah mental yang terbabit dalam pertelingkahan peribadi atau gagal menyesuaikan diri dengan perkembangan pesat perubahan sosial di China. AP

No comments:

Post a Comment