Wednesday, 5 December 2012

Lembaran rujukan generasi hadapan



MENJEJAKKAN kaki ke rumah Johan Nicholson, 70, di Jalan Gasing, Petaling Jaya bagaikan tidak percaya bahawa lelaki Inggeris berkenaan telah menetap di situ sejak 37 tahun lalu.
Keadaan kediaman yang kemas, susun atur perabot antik dan kehadiran hiasan berciri tempatan yang rapi di setiap penjuru memberi gambaran bahawa dia dan keluarganya serba tahu mengenai kehidupan masyarakat di Malaysia.
Namun, apa yang membuatkan kediamannya berbeza daripada kediaman lain di kejiranannya itu ialah khazanah yang dijaga dalam rumahnya. Bukan harta pusaka emas permata, tetapi koleksi peta lama simpanan Nicholson yang dimulakannya sejak tahun 2005.
Kira-kira 1,000 peta lama berlainan saiz dan reka bentuk miliknya itu disimpan rapi di sebuah bilik persendirian di tingkat bawah rumahnya.
"Saya seorang yang meminati sejarah. Daripada minat itu sendiri, telah terbit kepuasan untuk mengumpul peta-peta ini kerana bagi saya, peta-peta lama ini merupakan satu elemen sejarah yang besar nilainya," ujar Nicholson.
Baginya setiap peta lama yang menjadi sumber kajiannya itu begitu simbolik. Ia membawa makna tersendiri terutamanya bagi pihak yang memantau perkembangan fizikal sesebuah negara itu berbanding keadaan puluhan tahun sebelumnya.
Perjalanan kehidupan
Nicholson berasal dari sebuah bandar di England iaitu Norwich City dan telah berhijrah ke Malaysia pada tahun 1968.
Sebelum berhijrah ke Malaysia, dia telah menjelajah dua negara Asia iaitu Pakistan dan Hong Kong. Langkahnya ke negara-negara tersebut termasuk Malaysia adalah kerana tuntutan kerjayanya yang terlibat dalam bidang penerbitan buku-buku ilmiah dan sejarah.
Dia yang pada ketika itu menggalas tanggungjawab penting dalam perkembangan syarikat penerbitan yang terkenal dengan buku-buku ilmiah iaitu Oxford Press.
Ketika mula-mula berhijrah ke setiap negara, minatnya terhadap peta tidak begitu ketara memandangkan dia lebih terarah untuk mengumpul buku sejarah dunia dan buku ilmiah.
NICHOLSON menunjukkan lakaran peta Petaling Jaya terbitan Malaysian Airways pada tahun 1964.


"Hanya sejak bersara tujuh tahun lalu, saya mula mengumpul peta. Apa yang terfikir di benak fikiran saya adalah saya hanya mahu mencari hobi untuk mengisi masa dalam usia emas ini.
"Pada masa yang sama, saya juga menyimpan hasrat untuk menghasilkan buku sejarah yang menceritakan kegemilangan negara-negara Asia Tenggara dari tahun 1880 hingga 1941.
"Namun, ternyata saya memilih untuk mengumpul peta-peta lama ini," ujarnya yang menjawat jawatan sebagai ketua editor di Oxford University Press Malaysia ketika mula menjejakkan kaki ke Malaysia.
Menurutnya, pengalaman bekerjasama dengan syarikat penerbitan dari England dan Amerika Syarikat suatu ketika dahulu memudahkan segala urusannya untuk mendapatkan peta-peta antik itu.
Setiap peta antik miliknya diletakkan di dalam plastik sebagai langkah menjaga cetakan tulisan dan penunjuk arah yang tertera pada peta antik itu
Peta 100 tahun
Walaupun mempunyai pelbagai peta lama dalam koleksinya, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu menganggap peta antik Semenanjung Malaysia, Kepulauan Borneo dan Asia Tenggara merupakan peta yang paling disayangi olehnya.
NICHOLSON bersama anak serta cucunya, Maria dan Yaakob bersiar-siar di Kennington Park, London semasa percutian di negara itu awal tahun lalu.


Menurutnya, peta-peta tersebut seakan-akan dekat dengan dirinya dan disebabkan itu juga dia memilih untuk menetap di Malaysia.
Jika seseorang meneliti sebuah peta cetakan tahun 1970-an yang menunjukkan jalan utama di daerah Petaling Jaya, pasti tidak percaya bahawa bandar tersebut sememangnya sebuah bandar yang amat tersusun.
"Saya dapat mengenal pasti jalan baharu yang dibina oleh kerajaan sehingga kini kerana saya amat arif dengan setiap petunjuk arah dan jalan di sekitar daerah ini," ujarnya.
Walaupun ada antara peta-petanya itu bernilai mencecah sehingga ribuan ringgit, dia sanggup membelinya daripada pembekal dari England dan AS.
Peta yang termahal yang berada di dalam koleksinya ialah peta Tanah Melayu sebelum bergabung dengan Sabah dan Sarawak yang dihasilkan 100 tahun lalu oleh syarikat penerbitan Stamford.
"Peta tersebut telah dilakar oleh pihak British pada tahun 1913 dan ia diperbuat daripada kertas linen. Peta yang boleh dilipat itu mampu mencecah harga RM4,200 sekiranya dijual. Namun, masih tiada pembeli yang sanggup membelinya.
"Harga sesebuah peta antik itu bergantung kepada keadaan peta itu sama ada ia masih elok ataupun telah rosak. Paling penting ialah usia sesebuah peta itu. Semakin lama ia dicipta, semakin mahal harganya," terangnya.
Kesukaran untuk menjadi seorang pengumpul peta antik adalah untuk mencari peta-peta tersebut kerana kebanyakan peta-peta antik Malaysia dihasilkan di luar negara.
"Harga yang ditetapkan oleh pihak luar juga amat mahal. Ini menyukarkan untuk saya menjalani sesi jual beli bersama mereka.
"Begitupun, sekiranya harga yang ditawarkan berpatutan dengan keadaan peta itu, tidak menjadi masalah untuk saya membelinya," tambahnya yang telah memeluk agama Islam selepas berkahwin dengan isterinya, Nur Hayati Mohamed pada tahun 1968.
Ketika ditanya mengenai minat warga Malaysia masa kini mengenai bahan sejarah, dia menggambarkan bahawa rakyat negara ini kurang menghargai nilai sejarah. Pada pandangannya, sejarah amat penting untuk dijadikan lembaran rujukan pada masa akan datang.
"Generasi masa kini perlu bersyukur dengan setiap pembangunan yang berlaku di sini. Tanpa lakaran dan coretan pada peta antik ini, mereka tidak akan tahu mengenai gambaran pada masa dahulu. Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya yang telah lebih 40 tahun menetap di sini," ujarnya.
Menjual peta antik

LAKARAN peta dunia dalam bentuk hemisfera menunjukkan perincian struktur muka bumi.


Nicholson memberitahu, dia turut menjual peta antik kepada sesiapa yang mahu berkongsi minat dengannya. Semua itu dijual dibawah labelnya yang dikenali sebagai Popular Picture History. Sejak enam tahun lalu, dia juga aktif membuka gerai di acara-acara tertutup sekitar Lembah Klang.


Credit: Kosmo

No comments:

Post a Comment