Friday 7 December 2012

KASIH SAYANG NILAI KEMANUSIAAN


Prinsip persaudaraan manusia di dalam Islam meletakkan seluruh manusia  dalam satu keluarga besar yang berasal dari nabi Adam. Pengertian ini dapat difahami daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan aku menjadi saksi bahawa semua manusia adalah saling bersaudara” (Hadis riwayat Abu Daud).
Satu daripada prinsip dan nilai persaudaraan sesama manusia ialah  ‘kasih sayang’ (al-mua’akhah bi al-mawaddah) yang harus disuburkan umat manusia secara tulus dan suci. Pada prinsipnya kasih sayang adalah sebahagian daripada ‘integriti moral’ yang menjadi petunjuk kemuliaan  manusia.
Ia adalah sifat yang mendorong jiwa menyempurnakan keluruhan akhlak yang terpuji dan sekali gus menjadi hiasan kemanusiaan. Dalam masyarakat beragama seperti Malaysia, penghayatan terhadap ajaran agama secara positif akan mengarah kepada perilaku secara positif termasuk sikap kasih sesama insan.
Dalam konteks negara kita yang berbilang kaum, nilai kasih sayang sesama insan dapat mencambahkan nilai-nilai toleransi, penerimaan dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Melalui penghayatan nilai-nilai asas kemasyarakatan itu maka akan terbinalah solidariti sosial (ulfah jamai’ah) yang padu dan mampu membina interaksi rakyat ke arah melakukan kebaikan dan kebajikan serta keramahan dan kemesraan dalam pergaulan.
Harus dimengerti bahawa perasaan kasih sayang adalah fitrah yang dikurniakan Tuhan kepada manusia. Ini dapat difahami dari firman Allah SWT yang bermaksud, “ Maka kalau tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya atas kamu nescaya kamu tergolong orang yang rugi” (Al-Baqarah:64).
Justeru jangan digersang atau dimatikan nilai tersebut dari kalbu kita. Sifat kasih sayang adalah sebahagian daripada sifat Allah SWT. Sifat ini terkandung dalam beberapa Asma’ atau nama-nama Allah seperti Al-Rahman (Maha Pemurah) Al-Rahim (Maha Pengasih), Al-Salam, Al-Muhaiminin (Maha memelihara), Al-Ghaffar (Maha Pengampun) dan Al-Wahab (Maha Pemberi). Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah maha pengasih dan penyayang kepada manusia (Al-Baqarah:143).
Sifat rahmat dan kasih sayang adalah termasuk dalam keutamaan akhlak Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana tingginya nilai dan perasaan kasih sayang yang dimiliki rasulullah maka baginda tidak mahu mendoakan kebinasaan kepada musuh walaupun musuh melakukan kejahatan terhadapnya seperti yang berlaku dalam peristiwa Taif.
Baginda terpaksa meninggalkan tempat tersebut setelah dakwah baginda ditentang keras oleh kabilah Tsaqib. Ketika Rasulullah meninggalkan tempat tersebut lalu seorang lelaki memohon kepada baginda agar nabi berdoa untuk kebinasaan mereka. Namun, baginda yang memiliki sifat kasih sayang tidak berbuat demikian. Sebaliknya nabi memohon agar Allah memberikan petunjuk kepada kabilah itu.
Demikian juga dalam satu peperangan ada sahabat nabi yang meminta nabi melaknat musuh yang sedang dihadapi itu. Namun, baginda menjawab: “Sesungguhnya aku diutus sebagai rahmat dan bukan sebagai pelaknat”.
Begitulah keperibadian Rasulullah yang memiliki sifat kasih sayang tidak tergamak untuk memohon kebinasaan untuk musuhnya. Kemuliaan hati nabi yang penuh kasih sayang itu adalah kurniaan Allah SWT seperti maksud firman-Nya, “Maka disebabkan rahmat dari Allah maka kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari kamu” (Ali-Imran: 159).
Individu akan hilang keseimbangan diri apabila nilai kasih sayang tidak wujud dalam dirinya. Mereka yang gersang hatinya dari nilai kasih sayang sesama manusia biasanya gagal menggunakan akal dan hati yang dikurniakan Allah kepadanya.
Kalbu kemanusiaannya mungkin terkunci rapat menyebabkan ia mudah melakukan penderaan, keganasan, penganiayaan dan keganasan ke atas orang lain. Jika dia seorang suami atau bapa yang tandus nilai kasih sayang maka ia akan cenderung melakukan penderaan ke atas isteri dan anak-anaknya.
Jika ia seorang majikan atau ketua jabatan yang tidak ada belas ihsan dan kasih sayang kepada pekerjanya maka ia akan menzalimi atau menganiaya pekerja bawahannya. Jika dia seorang pemerintah yang kontang perasaan kasih sayangnya maka dia akan berlaku zalim kepada rakyatnya.
Hakikatnya, kita disuruh mengamalkan dan menyuburkan nilai kasih sayang sesama insan, hatta sesama haiwan sekali pun. Rasulullah ketika  melihat seekor himar yang telah diberi tanda pada mukanya dengan besi panas telah menentang perbuatan pemilik haiwan itu. Baginda bersabda: “Allah SWT melaknat orang yang menyeksa haiwan dengan memotong anggota badannya”.
Baginda juga pernah berpesan dengan pesanan ‘takwa’ supaya berlaku baik kepada binatang seperti maksud hadis: “Bertakwalah kamu kepada Allah di dalam memperlakukan binatang, menjadikannya sebagai kenderaan dan sembelihlah ia dengan cara yang baik”. Baginda juga bersabda: “Siapa yang memiliki kasih sayang walaupun terhadap burung sembelihan maka dia akan disayangi Allah pada hari kiamat’. 
Kesimpulan, nilai kasih sayang adalah kurniaan Tuhan yang wajar disuburkan sepanjang masa dan sepanjang zaman. Ia adalah sebahagian daripada unsur penting bagi membina masyarakat penyayang dan bermoral.
Justeru, sebagai masyarakat yang beragama dan bertamadun, marilah kita sama-sama  menyubur dan mengamalkan sifat kasih sayang. Hentikanlah segala bentuk kezaliman, keganasan, penderaan dan penganiayaan sesama manusia kerana ia boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. 

No comments:

Post a Comment