Friday 1 February 2013

PENYELUK SAKU PROFESIONAL..AWAS!!


Polis tahan seorang lelaki Filipina dipercayai terbabit 10 kes seluk saku


JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki rakyat Filipina yang dipercayai terbabit dengan lebih 10 kejadian seluk saku ketika sedang melakukan jenayah berkenaan di sebuah kompleks beli belah di bandar raya ini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata lelaki berumur 58 tahun itu yang kerap keluar masuk ke negara ini ditahan pada jam 3 petang dengan bantuan orang awam yang melihat kejadian.


"Dalam kejadian itu, mangsa menyedari telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam beg diambil seseorang. Mangsa kemudian menjerit meminta tolong lalu orang awam menahan lelaki terbabit sebelum menghubungi polis," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini. 


Zainuddin berkata, siasatan mendapati modus operandi lelaki itu adalah berpura-pura menarik perhatian dengan membantu mangsanya sebelum mengambil barangan mangsa apabila mendapati mangsa leka. 

Beliau berkata, barang terbabit kemudian akan diserahkan kepada rakan yang lain bagi mengelakkan dirinya ditangkap. 

"Polis kini menahan reman lelaki terbabit untuk siasatan lanjut berhubung penglibatannya dalam sindiket seluk saku itu. Setakat ini, dia mengaku melakukan jenayah itu lebih 10 kali," katanya. 

Sehubungan itu, Zainuddin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap orang yang tidak dikenali bagi mengelakkan kejadian sama berulang. 



No comments:

Post a Comment