Monday, 4 February 2013

MESTI BERANI BERSAING


pix_topright
Biarpun ada pi­hak berpendapat, penarafan bukan satu keutamaan dalam mengukur kemampuan sesebuah institusi, namun tiada siapa mampu menyangkal kepentingan dan prestijnya anugerah itu.
Dilihat sebagai standard institusi membina nama di persada dunia pendidikan tinggi, penarafan sama ada berstatus tempatan mahupun antarabangsa sering kali menimbulkan komentar sokongan ataupun kritikan

Simboliknya, ada berang­gapan penarafan hanya satu pengiktirafan di atas sehelai sijil dengan tidak mungkin memudaratkan tanggungjawab sedia ada.

Ada pula bertanggapan, ia bukan semata-mata melonjakkan imej institusi, malah memberi kelebihan berganda dalam usaha menjadikannya lebih dikenali.

Foto
KECEMERLANGAN sistem pendidikan negara perlu melalui penilaian tertentu bagi memastikan kualiti yang ditawarkan menepati standard dan mendapat kepercayaan masyarakat.

Jadi, sejauh mana kepentingan penarafan itu?

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata, kepentingan penarafan boleh ditakrifkan sebagai penanda aras bagi memacu kewibawaan institusi ke arah lebih profesional dan diperakui.

Beliau berkata, meskipun ada pihak mempertikaikannya, penarafan menjadi pemangkin terhadap usaha dilakukan bagi memartabatkan penguasaan ilmu serta peningkatan kualiti.

“Justeru, pemberian penarafan itu memang penting kerana sebahagian besar aspek akan dinilai dan diberi penanda aras bagi menentukan piawaian.

“Bukanlah bermakna jika tiada penarafan institusi tidak bagus tapi ini adalah pencapaian. Jadi bagi mereka yang mempertikaikannya, lihat daripada skop luas betapa perlunya penarafan ini.

“Pengiktirafan itu adalah simbol kekuatan, kejayaan dan kesungguhan institusi dalam setiap usahanya,” katanya.

Beliau juga tidak me­nyangkal isu penarafan sering dipolemikkan terutama institusi yang dikatakan hanya gah di peringkat tempatan, namun gagal menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Minda kita sering dimomokkan dengan tanggapan negatif seperti institusi kita tidak setanding, kurang keupayaan dan bertahap sederhana.

“Seharusnya mentaliti ini tidak ada sebab ini adalah institusi kita. Seharusnya kita bangga kerana institusi kita berani menyahut cabaran dan bersaing untuk memperoleh kedudukan yang baik.

“Biarpun tahu tahap masih jauh, itu bukan penghalang mereka mencuba. Sekurang-kurangnya mereka dapat belajar untuk mengatasi dan memperbaiki kelemahan,” katanya yang turut kesal apabila penarafan dibuat seolah-olah diperle­kehkan.

“Ini bukan soal kalah menang atau mampu memperoleh kedudukan baik. Ini soal peningkatan kepercayaan, kemahuan bersaing juga penambahbaikan kelemahan.

“Kita perlu melihatnya dari sudut positif, jangan asyik membina prasangka yang bukan-bukan.

“Institusi juga perlu belajar dan sentiasa belajar untuk mencapai kemajuan. Lagipun, ini soal pendidikan jangka panjang dengan pembabitan bukan saja untuk institusi, malah semua pihak,” katanya.

Setiap usaha untuk mencapai penarafan, juga adalah rentetan untuk memperoleh perkongsian pengalaman, ilmu, kerjasama serta me­nyahut cabaran.

“Sebab itu, jangan ada pihak mengatakan penarafan institusi tidak penting. Ia sebenarnya sebahagian eksperimen untuk melihat sejauh mana keupayaan sistem pendidikan kita berfungsi dari semasa ke semasa.

“Mungkin mereka yang menidakkan ini juga merasakan, ia hanya berkaitan nombor kedudukan yang bukan menjadi satu masalah besar.

“Masalahnya, kita berurusan dengan kepercayaan masyarakat yang boleh berkata apa saja. Justeru, peningkatan sistem pendidikan tinggi mesti diambil kira untuk kita nilaikan di mana tahap kemampuan sedia ada,” katanya.

Beliau menegaskan, pemberian penarafan sama ada dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi melalui Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara) atau luar negara seperti Times Higher Education (THES) bukanlah untuk mengkritik atau membandingkan sesebuah institusi.

Sebaliknya sebagai ‘ama­ran’ supaya institusi memperbaiki kelemahan sedia ada dan berusaha melonjakkan potensi ke tahap paling tinggi.


Foto

“Dunia pendidikan hari ini sangat kompleks, persaingan juga pilihan wujud di mana-mana. Akses pendidikan juga tidak terbatas.

“Penilaian untuk penarafan diberikan agar kita mahu berubah dan berusaha melangkau kemampuan.

“Kita tentu mahu institusi tempatan menjadi buah mulut orang luar, jadi jangan banyak ragam atau rungutan kerana ia sangat merugikan,” katanya.

Biarpun kebelakangan ini isu berkenaan kurang mencetuskan reaksi masya­rakat, masih dianggap antara keutamaan dalam nadi dunia pendidikan tinggi negara.

Penarafan berkenaan turut diiktiraf sebagai kayu pengukur dalam menentukan kemampuan institusi negara menyahut cabaran pendidikan global selain meninggikan lagi status sedia ada ke tahap sasaran.

Mengulas mengenai perbandingan penarafan diberi iaitu tempatan dan antarabangsa, beliau berkata, penilaian biarpun berbeza namun masih mengekalkan ciri-ciri sama.

Menurutnya, setiap ciri itu pastinya menekankan mengenai aspek tertentu seperti bilangan pelajar, pensyarah, pengantarabangsaan, jurnal dan budaya kerja menjadikan kedua-duanya tetap serupa biarpun berbeza taraf.

“Setiap penilaian melihat komposisi atau spesifikasi tertentu, namun sama ada tempatan ataupun antarabangsa, aspek dinilai tidak banyak bezanya.

Foto
PENILAIAN Setara adalah antara mekanisme yang digunakan untuk menilai standard dan mutu institusi pendidikan tinggi negara

“Ia disesuaikan dengan keperluan mengikut kelas penilaian serta penilai tertentu bagi mematuhi kriteria ditetapkan.

“Keutamaannya ialah mahu melihat bagaimana keberkesanan institusi terbabit melaksana dan mencapai piawaian mengikut garis panduan ditetapkan. Boleh atau tidak,” katanya me­nyangkal standard tempatan lebih rendah.

“Itu tanggapan tidak tepat. Memang kalau sudah bertaraf antarabangsa, standard ditetapkan tinggi dan profesional.

“Tapi tidak bermakna tempatan tidak mempunyai standard kerana penilaian dibuat juga berstatus tinggi.

“Jika tidak, masakan ha­nya ada beberapa institusi saja mampu memperoleh tahap (tier) lima daripada ratusan institusi tempatan sedia ada. Ini menunjukkan penarafan tempatan juga bukan mudah diperoleh,” katanya.
Foto
PENARAFAN juga memberi peluang institusi belajar dengan institusi luar yang lebih berpengalaman

Walaupun kedudukan institusi tempatan dalam penarafan antarabangsa dikatakan tidak konsisten, masih belum terlambat untuk memperbaiki kedudukan.

“Dalam aspek pendidikan, tiada istilah terlambat atau tercepat kerana proses pengembangan ilmu sentiasa berlaku.

“Yang perlu digerakkan ialah memperbaiki kelemahan, menetapkan sasaran, berani berfikir di luar kotak dan melakukan perubahan.

“Pada masa sama, kita berikan juga penghormatan sewajarnya kepada institusi negara supaya mereka sentiasa kuat untuk bersaing,” katanya.


Crredit: Ruhaiza Rusmin.

No comments:

Post a Comment