Sunday, 3 February 2013

Ketahui tanda awal leukemia


Ibu bapa, cuba perhatikan sama ada anak anda mudah letih, nafas pendek, mudah terkena jangkitan penyakit, lebam di badan dan hilang selera makan. Jika jawapannya ya, segera bawa anak berjumpa doktor kerana ia mungkin tanda awal penyakit leukemia.
Leukemia ialah satu daripada barah yang berpunca daripada pertambahan sel darah putih. Ini memudaratkan kesihatan kerana boleh menyebabkan kerosakan sel darah merah. 
Ini memudahkan jangkitan, mengurangkan sel darah putih matang selain membantutkan pertumbuhan platelet iaitu bahan utama dalam kandungan darah.
 Pakar Pediatrik Hospital Columbia Asia, Dr Khairul Zaman Omar berkata, tiada sebab mutlak seseorang diserang leukemia, namun ia boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.
“Antara faktor kanak-kanak dijangkiti leukemia ialah sejarah keluarga yang mengalami sakit sama atau barah, pernah terkena jangkitan virus Epstein-Barr (tidak semua), selepas membuat rawatan kemoterapi dan mengalami penyakit sindrom Down, sindrom fragile-X (sindrom reput-X) serta sindrom Fanconi.
“Jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan maut. Meskipun selepas rawatan, perlu sentiasa diawasi kerana leukemia menyebabkan sistem imunisasi pesakit lemah dan tidak normal, malah mudah terkena jangkitan kuman, misalnya fungus,” katanya, baru-baru ini. 
Menurutnya, seawal bayi lahir, ia mempunyai risiko dijangkiti leukemia, malah antara lelaki dan wanita, risiko diserang leukemia adalah sama. 
“Leukemia boleh berlaku kepada sesiapa saja, sama ada kanak-kanak mahupun dewasa. Orang dewasa lebih berisiko mendapat penyakit ini apabila sering terdedah kepada sinaran. 
“Ini termasuk orang yang terselamat dalam letupan bom atom di Jepun, mereka yang terdedah kepada sinaran radiasi selepas bencana loji nuklear Chernobyl, dan mereka yang menerima sinaran pada jumlah banyak sewaktu menjalani rawatan perubatan tertentu pada masa lalu,” katanya. 
Di kawasan tertentu dunia, seperti barat daya Jepun, bahagian Afrika dan Caribbean, sejenis leukemia tertentu boleh merebak di kalangan penduduk tempatan disebabkan virus dikenali sebagai Human T cell lymphotropic virus (HTLV). 


Jenis leukemia 

Leukemia boleh terjadi dalam beberapa bentuk. Sesetengah bentuk timbul serta-merta dan berkembang dengan cepat dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu yang dipanggil leukemia akut. 

Manakala yang berkembang dengan kadar perlahan dalam masa beberapa bulan atau beberapa tahun pula dipanggil leukemia kronik. 

Penyakit leukemia dinamakan mengikut jenis sel darah putih yang terbabit. Leukemia mieloid ialah yang membabitkan granulosit (satu daripada sekumpulan darah putih yang mengandungi bintil dalam sitoplasma); leukemia limfoid membabitkan limfosit (sel darah putih di nodus limfa, limpa, kelenjar timus, dinding usus dan sumsum tulang). 


1) Leukemia limfoid akut (Acute lymphoid leukaemia) 

Leukemia limfoid akut lebih lazim pada kanak-kanak dan peratusan yang kecil di kalangan orang dewasa. Ia menjejaskan limfosit yang belum matang. 

Limfosit yang normal bertanggungjawab melawan jangkitan apabila bakteria atau virus menyerang tubuh, limfosit bertindak balas dengan menghasilkan antibodi atau sel pembunuh limfosit yang khas. 


2) Leukemia limfoid kronik (Chronic lymphoid leukaemia) 

Leukemia ini juga menjejaskan limfosit tetapi berkembang dengan lebih perlahan daripada leukemia limfoid akut. Penyakit ini menyerang orang dewasa, tetapi tidak dikesan pada kanak-kanak. 

Penyakit ini berkembang dengan lebih perlahan, oleh itu sel normal tidak terhimpit dan ditolak keluar dengan cepatnya berbanding leukemia limfoid akut. 

Jika menghidapi leukemia limfoid kronik, anda mungkin tidak mengalami sebarang gejala hinggalah peringkat lanjut penyakit ini. 


3) Leukemia mieloid akut (Acute myeloid leukaemia) 

Leukemia ini biasanya menyerang orang dewasa, tetapi boleh terjadi pada kanak-kanak dan remaja. Ia menjejaskan sel mieloid yang dipanggil granulosit. 

Penyakit ini menghasilkan sel mieloid yang masih muda dalam jumlah yang berlebihan dan menyebabkan kekurangan sel mieloid matang. Sel ini boleh menyekat saluran darah. 


4) Leukemia mieloid kronik (Chronic myeloid leukaemia) 

Leukemia jenis ini boleh terjadi pada semua peringkat umur tetapi paling jarang dikesan pada usia di bawah 20 tahun. Ia menghalang sel mieloid daripada berfungsi dengan betul. 

Ia berlaku dalam dua peringkat iaitu berlakunya pembahagian sel abnormal secara perlahan. Kemudian, ia boleh dengan cepatnya berubah ke peringkat akut. 

Rawatan 

  • Kemoterapi. 
  • Rawatan komplikasi seperti jangkitan kuman memerlukan antibiotik. 
  • Rawatan pemindahan sum-sum tulang.
  • No comments:

    Post a Comment