Google+ Followers

Sunday, 3 February 2013

Jerat Hari Kekasih


OTHMAN Mustafa (duduk, tengah) bersama Che Mat Che Ali (duduk, 
dua kiri) dan sebahagian daripada sukarelawan Sosial Islam bagi kempen 
Hindari Menyambut Hari Kekasih di Masjid Al-Syakirin, Kuala Lumpur, semalam

Remaja hindar rai Hari Kekasih


KUALA LUMPUR 2 Feb. - Sebanyak 300 sukarelawan dipilih untuk berdakwah kepada masyarakat, khususnya remaja dan belia dalam menghayati nilai-nilai murni ke arah membina budaya sihat, sekali gus menjauhi maksiat.

Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Saimah Mukhtar berkata, jika sebelum ini, sukarelawan hanya mengikuti ceramah tetapi kali ini menerusi program 'temu seru' sempena Kempen Jerat Hari Kekasih, mereka akan turun padang menemui masyarakat dan menjalankan aktiviti kesedaran.

Menurutnya, program ini diadakan bukan untuk melarang masyarakat berkasih sayang, sebaliknya ingin menyedarkan bahawa masyarakat Islam diharamkan menyambut Hari Kekasih.

"Sukarelawan itu terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Ulama Malaysia Wilayah Persekutuan, Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Sekretariat Pemuda Masjid, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Nisa' Wilayah.

"Fungsi sukarelawan ini adalah untuk berdakwah kepada masyarakat tentang merayakan Hari Kekasih yang bercanggah dan tidak pernah dianjurkan dalam Islam kerana bercampur dengan perbuatan maksiat," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas kempen Jerat Hari Kekasih yang dirasmikan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha di Masjid As-Syakirin Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.

Menurut Saimah, dalam Islam, kasih sayang bukan untuk seminit atau sehari, tetapi sepanjang hayat.
"Tidak perlu sambut Hari Kekasih untuk menunjukkan kasih sayang kepada pasangan masing-masing," katanya.